Gaya Hidup

“Saya Beruntung Dapat Suami Yang Rajin Masak & Suka Berkemas” – Farahanim

Dua figura ini mungkin tidak asing di media sosial. Dr Arif Aizudin Mohamed Shamsuri menerima tempias isterinya yang terlebih dahulu terkenal sebagai model Muslimah dan kini beralih ke bidang pengacaraan di stesen TV AlHijrah. Cinta pandang pertama kala melihat suri hatinya di Instagram, Pegawai Pergigian di Klinik Pergigian Padang Besar, Perlis, ini akhirnya mematerikan kasih suci dengan ikatan yang sah pada 17 Julai yang lalu.

Ketika di tebak tentang kejutan memiliki isteri sebagai personaliti TV, Dr Arif tersenyum sambil memandang isteri yang sedang membetulkan ikatan tudungnya. “Sejujurnya Anim seorang yang sangat sederhana dan biasa. Walaupun kami berbeza bidang pekerjaan, namun beliau seorang yang sangat memahami. Memang ramai orang yang beliau jumpa setiap hari tapi saya memahami dan selalu nasihat Anim supaya tidak berlebih dan jaga batasan sebagai seorang isteri dan menjaga maruah suami. Setakat ini Anim menjalankan tanggungjawab sebagai isteri kepada saya dengan baik,” jelas bekas pelajar Universiti Al Azhar, Kaherah dalam bidang pergigian dengan tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ini.

Baru tiga bulan melayari bahtera rumah tangga, pasangan ini masih berada dalam pasca berbulan madu. Walaupun terpaksa berjauhan lantaran tuntutan tugas masing-masing tetapi dugaan tersebut dijadikan pengikat kasih sayang buat pasangan yang sama cantik dan sama padan ini.

Ketika ditanya tentang perubahan dalam diri setelah mendirikan rumah tangga, jawab Anim, “memang saya akui banyak perubahan dan perbezaan setelah mendirikan rumah tangga kerana semasa bujang saya seorang yang sangat berdikari. Segala keputusan memang saya putuskan sendiri dan saya mencari duit poket sendiri sewaktu di universiti sebagai model sambilan kerana jarang minta duit daripada ibu bapa.

Saya sudah terbiasa dengan kehidupan sebegitu. Apabila berkahwin, segala keputusan saya perlu berbincang dengan suami dan mendengar pendapatnya terlebih dahulu.  Saya amat menghormati Arif sebagai suami dan orang yang paling disayangi. Saya perlu bertolak ansur dan merendahkan ego agar tidak berdegil.

Arif sangat menghormati Anim, keluarga Anim, keluarga Arif sendiri, adik beradik beliau dan sangat family man. Boleh diharap kalau nak suruh buat apa-apa termasuklah masak! Bila Anim malas masak, Arif la jadi chef di rumah! Rajin mengemas rumah. Arif juga menteri kewangan sebab Anim sangat boros dan Arif akan control, juga nasihat Anim mengenai kewangan!,” ujar Anim sambil tertawa mencuit suami tersayang yang duduk di sebelah.

KEMPEN PINK RIBBON

Kehadiran bulan Oktober begitu sinonim dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang diraikan seluruh pelosok dunia. Pink Ribbon

merupakan simbol antarabangsa yang melambangkan keprihatinan terhadap kanser payudara. Warna merah jambu pula dipilih melambangkan sifat feminin sebagai simbol sokongan moral dan solidariti terhadap pesakit kanser payudara. Kanser payudara merupakan penyakit kanser dengan jumlah pesakit tertinggi nombor dua di dunia.

Sokongan padu daripada syarikat korporat telah menyemarakkan lagi Kempen Perangi Kanser Payudara yang menyasarkan agar tiada wanita yang akan terpalit dengan penyakit ini. Malah sokongan individu turut sama berganding bahu merealisasikan impian setiap wanita agar bebas kanser payudara. Tidak terkecuali, Dr Arif sendiri yang turut terpanggil menyokong kempen Pink Ribbon ini.

“Sebagai ahli perubatan saya menyokong penuh kempen Pink Ribbon yang merupakan usaha untuk mengesan, mendiagnosis dan merawat kanser payudara. Sebagai ahli perubatan juga sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menyebarkan kesedaran apa itu kanser payudara dan cara pencegahan awal pada orang awam.

Mencegah itu jauh lebih baik daripada merawat. Sebagai langkah berjaga-jaga setiap wanita perlu mencegah kanser lebih awal. Mencari tanda-tanda awal kanser payudara amat penting kerana ia memberikan lebih banyak pilihan rawatan dan peluang yang lebih tinggi untuk terus hidup. Setiap wanita adalah disarankan untuk melakukan pemeriksaan payudara berkala. Hanya perlu sedikit masa untuk memeriksa tanda-tanda kanser semasa melakukan aktiviti harian seperti mandi, berpakaian, memakai losen badan atau hanya melihat cermin.

Ini adalah langkah awal dan amat penting untuk mengesan sebarang perubahan pada payudara. Pemeriksaan boleh dilakukan sendiri di rumah atau di klinik. Ikuti langkah yang betul. Semoga dengan usaha awal ini dapat membantu ramai golongan wanita untuk mendapatkan rawatan awal sekiranya menghidapi penyakit kanser,” ulasnya.

Mendengar saranan Dr Arif, Anim yang setia menemani suami di sisi turut menyokong usaha murni tersebut. “Saya turut menyokong Kempen Kesedaran Kanser Payudara ini kerana ia penyakit sangat berkait rapat dengan wanita. Salah seorang kenalan rapat saya merupakan survivor kanser payudara. Menyelami perasaannya ketika sedang berjuang melawan penyakit ini sangat menyentuh hati nurani.

Sayu hati saat mendengar cerita bagaimana peritnya ketika menjalani rawatan. Namun dengan berkat sokongan keluarga, dia mampu mengharungi dengan baik sehingga disahkan bebas kanser. Ini membuktikan, kekuatan wanita adalah amat luar biasa dan para wanita harus memberi sokongan 100 peratus dalam kempen ini supaya aura positif turut dirasai kepada semua pesakit kanser payudara,” ujar Pengacara Program Assalamualaikum terbitan TV AlHijrah ini.HAMIZATULMAIZANMOHAMED

 

IKLAN
Share