Anakanda sulung Perdana Menteri ketujuh ini sempat berkongsi bingkisan indah bersama keluarga tercintanya buat pembaca NONA. Pada usia 61 tahun, rupa paras isteri kepada Tara Sosrowardoyo dan ibu kepada tiga cahaya mata, Ineza Roussille, Haga Tara dan Shaista Mayada itu masih manis rupawan dengan karakter seorang feminin yang pintar.
Terus saja persoalan tentang watak ibu bapanya di rumah diajukan, lantas disambut dengan senyuman lebar oleh Datin Marina. “Secara jujur, saya melihat kedua orang tua saya sebagai pasangan yang paling ideal di dunia. Mereka seperti ditakdirkan bersama. Amat mesra dan saling melengkapkan antara satu sama lain. Meskipun kedua-duanya tidak ekspresif melahirkan rasa cinta, namun ia terserlah melalui perbuatan dan pandangan mata. Saya juga kenal perangai Ayah saya yang sangat bergantung pada Mak. Kalau ada sesuatu yang mengganggu fikirannya atau waktu dia menjalani rawatan di hospital dahulu, hanya isterinya yang dimahukan untuk berada di sisi.
Semasa kami semua membesar di Alor Setar, Ayah seorang yang garang dan tidak banyak bercakap. Kalau kami tak pergi ke sekolah, macam buat satu dosa besar bagi dia. Saya juga pernah teruk dicubit dan dimarahi apabila tukang kebun kami mengadu saya menjelir lidah kepadanya. Berkali-kali Ayah tekankan betapa pentingnya sikap tertib dan adab sopan terhadap orang lain. Itulah yang saya pegang dan menjadi prinsip hidup sampai sekarang,” cerita wanita yang mesra disapa sebagai Marina itu kepada penulis.
Tun Dr. Siti Hasmah pula, akui Marina turut bersikap tegas kerana beliaulah yang menguruskan semua hal berkaitan pendidikan anak-anak. “Dia memang lemah lembut dan mesra dengan semua orang. Tapi sewaktu kami kecil, dia seorang enforcer kerana mahu melihat kami semua berjaya. Sekarang tidak lagi. Mak merupakan individu paling rajin untuk mengatur percutian keluarga dan dialah yang sentiasa membuatkan kami sekeluarga berhubung antara satu sama lain.
Kami selalu dididik bahawa hajat tak akan tertunai tanpa usaha. Dalam dunia ni tak ada yang percuma. Semua orang mesti bekerja untuk mendapatkan hasilnya. Mereka juga selalu berpesan bahawa pendidikan itu sangat penting. Tak kisahlah kami mahu kerja apa nanti asalkan mesti habis belajar. Kerana tidak dipaksa, maka tak ada seorang pun di antara kami yang mengikut jejak langkah mereka dalam bidang perubatan. Mujurlah sekarang ada dua anak saudara yang menunjukkan minat sebagai doktor,” kata Datin Marina dengan mesra.
Kesibukan sentiasa menjadi halangan buat pemilik syarikat Mosaique Communication ini dan adik-beradik yang lain untuk selalu berjumpa ibu bapa di rumah. Sesekali tiba peluang berkumpul, itulah masanya untuk update hal keluarga masing-masing. “Percaya tak, kadang-kadang saya kena baca akhbar untuk tahu Mak dan Ayah berada di mana! Hakikatnya memang mereka berdua sibuk dengan pelbagai aktiviti di merata-rata tempat. Sebagai anak Perdana Menteri, kami dah biasa dengan situasi ini. Cuma kini agak risau kerana mereka sudah tua dan perlu banyak berehat.
Ads
Ayah sudah biasa bekerja. Sebenarnya kami sekeluarga sudah puas memujuk namun Ayah masih sayangkan perjuangannya. Sampai ke satu tahap, kami jadi putus asa. Selagi dia masih sihat, okaylah. Cuma jauh di sudut hati saya sangat kesian melihat Ayah kerana umurnya yang sudah meningkat,” kata Datin Marina dalam nada tertahan.
Tatkala Datin Marina atau ahli keluarganya yang lain dilemparkan pelbagai tohmahan, mereka sekeluarga mengambil inisiatif untuk saling menyokong satu sama lain. “Saya selalu menerima kritikan negatif tapi alhamdulilah semuanya diuruskan sendiri tanpa melibatkan Ayah atau sesiapa. Mungkin berkat pengalaman di bidang perhubungan awam dulu, saya jadi immune. Saya tak kisah apa orang nak kata. Mereka tak kenal saya tapi menilai dari media sosial saja. Di media sosial, golongan yang menghentam itu memang nampak hero tapi belum tentu mereka berani berdepan saya. Kita semua sama. Yang menghisab cuma Dia.”
Kini meskipun tidak lagi aktif dalam persatuan, kebanyakan masa Datin Marina masih lagi padat dengan pelbagai program seperti jemputan memberi ceramah di sektor korporat, universiti dan sekolah. Beliau juga masih memikul tugas ahli lembaga Yayasan Maybank dan ahli Asian University for Women (AUW) yang berpangkalan di Chittagong, Bangladesh.
Ads
Daripada pandangan mata penulis, sumbangan Datin Marina teramat besar dalam memperjuangkan hak asasi wanita. Beliau lantang menyuarakan pendapatnya walau ada kalanya disanggah beberapa pihak. Sebagai bekas Presiden Majlis AIDS Malaysia juga, Datin Marina giat membela nasib mangsa HIV/AIDS serta terkenal melalui Sisters In Islam kerana memperjuangkan keadilan serta menuntut kesaksamaan bagi wanita Islam
MERIAH
Ceritera Ramadan menyapa perbualan penulis yang seterusnya dengan Marina. Dibesarkan dengan gaya orang Kedah, Datin Marina sekeluarga biasanya akan mula berbuka dengan hidangan ringan seperti kuih-muih dahulu, sebelum bersolat Maghrib dan bersambung semula dengan menjamah nasi. “Amalan kami sama saja dengan keluarga lain. Saya sendiri berlatih berpuasa secara separuh hari. Sedikit demi sedikit, barulah pandai berpuasa sampai sehari dan alhamdulilah pada usia 8 tahun, sudah boleh berpuasa penuh di bulan Ramadan.
Ads
Bagi saya Ramadan adalah masa yang paling ideal untuk keluarga. Sambil itu juga, inilah masanya untuk merenung semula makna kebesaran bulan Ramadan dan to simplify our life. Kami sudah lama tak pergi berbuka puasa di hotel tapi cukuplah apa yang terhidang di atas meja saja. Inilah bulan yang paling quiet bagi saya, kurang bersosial, kurang marah-marah dan lebih masa untuk beribadah. Cukuplah menyibukkan diri pada bulan-bulan lain.
Sekarang bila keluarga dah bertambah besar dan ramai, kami sepakat adakan dua majlis wajib sewaktu bulan Ramadan. Semua ahli keluarga mesti berkumpul pada malam 1 Ramadan dan malam terakhir berpuasa. Masa inilah kami akan berbuka dan bertarawih sama-sama di rumah dengan keluarga,” imbau Datin Marina yang juga pernah menyambut Ramadan selama lima tahun di kota London.
Sewaktu negara di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir dulu, penulis teringat akan suasana meriah membuat persiapan raya sambil televisyen terpasang rancangan Perutusan Khas Aidilfitri daripada Perdana Menteri. Tatkala bercerita semula tentang kenangan itu kepada Datin Marina, beliau sebagai anak tentulah agaknya lebih teruja. Sambbil tertawa kecil. “Saya tidaklah sampai tertunggu-tunggu ucapan Ayah di depan TV. Bagi saya, itu biasa saja baginya yang sedang menjalankan tugas rasmi sebagai pemimpin.”
Mengakhiri perbualan ini, Datin Marina sempat berpesan kepada semua pembaca Nona agar jangan jemu menambah ilmu. “Pengetahuan adalah kuasa. Sebagai wanita, kita mesti tahu apa hak kita dan perkasakan diri dengan pengetahuan. Dengan itu kita lebih bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran atau kemungkinan yang mendatang,” katanya bersungguh-sungguh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pemain bola tampar Indonesia, Megawati Hangestri Pertiwi selamat melangsungkan pernikahan dengan pilihan hatinya yang juga seorang atlet, Dio Novandra Wibawa pada 4 Julai 2025.
Dio Novandra merupakan atlet finswimming lulusan Fakulti Undang-Undang Universiti Airlangga (UNAIR) salah sebuah universiti terbaik di Indonesia.
Pasangan atlet ini melangsungkan akad nikah di Masjid Roudhotul Muchlisin, Jember, Jawa Timur.
Berkongsi momen bahagia itu di Instagram peribadinya, Megawati Hangestri tampil anggun di hari pernikahan dengan mengenakan kebaya pengantin berwarna putih.
Melengkapkan busana pernikahannya, Megawati Hangestri menyarungkan tudung senada memberi kesan dramatik.
Kain batik Prada berwarna coklat keemasan turut melengkapkan penampilannya sebagai mempelai.
Megawati Hangestri tampak begitu cantik dengan solekan flawless dan segar dengan nuansa merah jambu menyerlahkan lagi seri wajahnya.
Sementara itu, Dio Novandra kelihatan segak dengan busana pengantin satin putih, lengkap dengan keris dan kalung yang dililit di bahunya.
Selamat melayari bahtera rumahtangga dan bahagia sampai syurga.
Untuk rekod, Megawati Hangestri Pertiwi menjadi atlet Muslim pertama dalam Liga Bola Tampar Korea.
Kejayaan luar biasa pasukan bola tampar Daejeon CheongKwanJang Red Sparks dalam Liga Korea Selatan membuktikan kehebatan Megawati Hangestri kian menyerlah di persada antarabangsa.
Perjalanan kariernya penuh inspirasi yang bermula sebagai hobi ketika di bangku sekolah menengah. Megawati memulakan karier profesionalnya pada usia 14 tahun.
Megawati yang dilahirkan pada 20 September 1999 memiliki ketinggian 185 cm dengan berat badan 65 kg.
Kemuncak kerjayanya dicapai apabila dia menyertai Daejeon CheongKwanJang Red Sparks di Korea Selatan pada 2023. Ini membuktikan bakat dan keupayaannya diiktiraf di peringkat global.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tumpang bangga dengan kejayaan yang diraih Tomok dan isterinya, Ayu. Bermula daripada bawah, mereka kini mampu tersenyum gembira apabila segala usaha dan kerja keras selama ini membuahkan hasil.
Dalam kesibukan mengurus kerjaya seni dan anak-anak, kedua-duanya bijak mengurus masa depan. Hasilnya, Tomok dan Ayu kini bergelar pemilik beberapa buah cawangan francais hanya dalam masa lima tahun! Tahniah.
Difahamkan Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail mula menceburi perniagaan francais Chatime pada tahun 2017. Cawangan pertama yang dibuka Tomok waktu itu ialah di AEON Mall Shah Alam, Selangor.
Melihat bisnes makin kukuh, bekas penyanyi kumpulan New Boyz ini berjaya membuka satu lagi cawangan Chatime pada Oktober 2022 di Setia Alam City Mall, Selangor.
Tidak cukup itu, menerusi perkongsian Tomok di media sosial miliknya, dia memuat naik gambar isteri tercinta di satu lokasi yang dipercayai cawangan terbaharu milik mereka kelak.
Kongsinya, “Assalamualaikum selamat pagi semua. Satu lagi berita gembira saya nak share dengan korang semua.
InshaAllah outlet seterusnya di Petron Setia Alam akan mula beroperasi November ini. Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Terima kasih atas sokongan semua.”
Melimpah ruah rezeki pasangan suami isteri ini. Makin rancak nampaknya Tomok dan Ayu merencana masa depan keluarga mereka.
Selain mengusahakan perniagaan francais Chatime, mereka turut menjadi pemilik satu lagi jenama francais pemanis mulut popular iaitu Street Churros. Tomok dan isteri tercinta memiliki cawangan tersebut di AEON Mall Seremban 2.
Sebelum menceburi kedua-dua perniagaan berkenaan, mereka pernah menjalankan bisnes tudung jenama Arriandra. Namun perniagaan yang sudah lima tahun diusahakan tersebut terpaksa dihentikan pada tahun 2020.
Terbaharu, selain memenangi sebuah program nyanyian Tomok turut melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya mengadakan konsert Newboyz Sejarah Mungkin Berulang. Memang gamit memori betul!
Sebelum mendirikan rumah tangga, isteri Tomok iaitu Rahayu Abbas merupakan pramugari MAS. Ayu dan Tomok berkahwin pada tahun 2011 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Arrianshah Akid, Andrashah Iman dan Siti Khadijah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
STRES adalah masalah paling utama yang dihadapi oleh pasangan suami isteri yang bekerjaya. Akibat daripada masalah tersebut, kedaan rumah tangga menjadi tidak tenteram, bahkan ia boleh membawa kepada perceraian. Bukan rumah tangga sahaja yang terancam, ia juga turut melibatkan prestari kerja. Ini kerana antara rumah tangga dan kerjaya mempunyai kaitan yang sangat rapat.Walau pun ada yang berkata, masalah rumah jangan dicampur-adukkan dengan masalah kerja, namun berapa peratus individu yang mampu melakukannya?
Hakikatnya, mereka yang berjaya dalam kerjaya datang daripada atau mempunyai keluarga yang bahagia. Jadi bagaimana kebahagiaan itu ingin dimiliki, hindarilah stress! Punca utama stres ialah konflik. Konflik yang timbul di antara sesuatu pasangan suami isteri yang tidak diselesaikan, akan menimbulkan masalah stres. Cara pengurusannya juga bebeza mengikut setiap individu. Punca atau faktor stres terbahagi kepada dua iaitu kehidupan dan pekerjaan:
FAKTOR KEHIDUPAN:
– Tragedi atau sesuatu peristiwa hitam yang tidak mampu dilupakan. Tidak kira sama ada ia melibatkan pasangan atau pun tidak.
– Karenah hidup seperti di rumah, masa, dalaman, persekitaran dan kewangan.
– Tekanan hidup.
FAKTOR PEKERJAAN:
– Tuntutan kerja.
– Konflik peranan.
– Kesamaran tugas atau bidang kerja yang tidak jelas.
– Terlalu banyak atau tidak ada kerja. Terlalu banyak mereka akan mearasa terbeban sebaliknya jika tidak ada kerja akan membuatkan dirinya seperti kera suumbang.
– Perubahan kerja. Seperti ditukarkan ke bahagian lain sedang dia masih gagal untuk menyesuaikan diri.
– Tanggung jawab.
– Kurang sokongan sosial.
– Persekitaran tempat kerja
Dalam menangani masalah ini,ianya tidak boleh dilakukan dengan cara yang sama di antara setiap orang. Ini kerana, setiap individu itu adalah berbeza. Antara perbezaan tersebut:
– Kebolehan mental. Ada orang yang mudah menerima idea atau pendapat orang lain. Tetapi tidak bagi sesetengah individu lain.
– Kemahiran komunikasi, pendengaran dan interpersonal.
– Personaliti, sikap dan nilai (ada yang positif dan ada juga yang negatif)
– Jantina (antara lelaki dan wanita – secara keseluruhannya adalah berbeza. Seperti tindakan, pemikiran, penampilan, pertuturan dan sebagainya.)
Jika masalah stres ini tidak diatasi dengan segera, ia boleh meninggalkan kesan yang negatif terhadap kesihatan dan emosi.
Kesan pada kesihatan:
• Pening kepala
• Migrain
• Jerawat
• Mual-mual / muntah
• Sakit perut
• Gastrik
• Darah tinggi
• Sakit jantung
• Sakit sendi
• Ekzema
• Ulser
Kesan ke atas emosi:
• Tertekan
• Resah
• Cepat marah
• Tiada selera makan
• Susah tidur
• Kurus kering
• Lemah mental
Tidak dinafikan, ada di kalangan individu yang gagal membezakan kedudukannya di antara di pejabat atau di rumah. Baik suami mahu pun isteri. Contohnya di pejabat isteri menjadi ketua jabatan, balik ke rumah pun dia masih terbawa-bawa kedudukannya itu. Perlu diingat, setiap pasangan suami isteri yang berkerja, mereka mempunyai dwi-fungsi peranan dan tanggung jawab. Iaitu antara kerjaya dan keluarga.
Dari segi peranan, mereka perlu membezakan, di rumah berperanan sebagai isteri dan di pejabat pula sebagai pekerja. Begitu juga dengan suami, di rumah sebagai suami dan di pejabat sebagai pekerja atau majikan. Begitu juga halnya dari segi tanggung jawab. Mereka perlu tahu apa tanggung jawab mereka di rumah dan apa pula tanggung jawab di pejabat.
Jika seseorang itu bijak dalam melakukan tugas-tugas di pejabat dan berjaya dalam kariernya, mengapa ianya tidak diaplikasikan di rumah? Mereka juga harus bijak dalam menguruskan rumah tangga. Sebenarnya tidak susah untuk mengaplikasikannya. Yang penting kebijaksanaan.
Apabila kita bijak, kita tidak akan stress.
Setiap pasangan suami isteri yang berkerjaya agar jangan sesekali masalah di pejabat di bawa pulang ke rumah. Dan masalah di rumah pula, tidak dibawa ke pejabat. Sudah tentu kita tidak mahu penyakit yang berpunca daripada stres itu membelenggu kehidupan kita dan mengganggu kebahagiaan rumah tangga kita. Jadi, berusahalah untuk menghindari stres.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.