“Saya Pernah Dihina & Hilang Kawan Hanya Kerana Memilih Untuk Berkahwin Dengan Pesakit Kanser” EYDHA

Siapa kita hendak mempersoalkan ketentuan takdir seseorang. Hanya kerana tidak diuji dengan nasib seumpama itu maka ada yang sanggup menghina dan memandang rendah takdir orang lain.

Inilah pengalaman perit yang dilalui oleh Eydha, 29 tahun apabila terpaksa berdepan dengan pandangan sinis dan kata-kata negatif kerana mengambil keputusan untuk berkahwin dengan suaminya, Amirullah Awi seorang pesakit kanser usus tahap 4.

LULUH

“Saya dapat tahu suami menghidap kanser usus tahap 4 pada awal Ramadan tahun lalu iaitu 6 Jun 2018. Kebetulan pula sama dengan tarikh hari lahir saya. Bukan saja sedih, lebih meluluhkan lagi perasaan saya apabila doktor memberitahu peluang untuk suami hidup hanyalah selama 6 bulan saja.

Saya terkedu dan menangis sepanjang masa. Berat betul ujian Allah SWT pada saya. Namun jiwa saya kembali tenang apabila terdetik keyakinan bahawa manusia hanya mampu meramal namun Allah SWT yang menentukan hidup dan mati seseorang.”

AMBIL RISIKO

“Kami memang merancang untuk bertunang tapi dalam masa yang singkat saja iaitu selama 2 bulan. Kami membuat keputusan untuk meneruskan pernikahan pada September 2018.

Pada mulanya saya hanya nak bernikah tanpa bersanding. Namun suami berhasrat untuk menjemput sahabat handai ke majlis persandingan kami. Demi melihat suami gembira saya turutkan hasratnya itu.

Tapi tak sangka pula, ada pihak yang tak bersetuju dengan keputusan saya untuk meneruskan perkahwinan ini hanya kerana alasan bakal suami saya menghidap kanser yang tidak tahu penghujungnya.

Namun ia sedikit pun tak melemahkan dan saya bersyukur kerana keluarga banyak menyokong terutama mak dan ayah saya. Mereka tak pernah membantah apa jua pilihan saya.

Mungkin di luar sana hanya sebilangan kecil wanita yang berani ambil risiko seperti ini. Semoga perkahwinan kami dapat memberi inspirasi dan semangat positif buat wanita-wanita di luar sana yang senasib dengan saya. Alhamdulillah selepas berkahwin keadaan suami makin sihat.

Pada Oktober 2018 suami menjalani pembedahan membuang cancer tumor. Walaupun kanser telah merebak ke hati dan paru-paru (tahap 4B) tapi berkat semangat dan kesabaran saya, suami selamat menjalani pembedahan. Tahap kansernya menurun dari 64 peratus ke 2.5 peratus.

Sepanjang menjaganya di hospital adakalanya saya tertidur kerana keletihan, menangis dalam diam tetapi saya terima dengan redha dan positif. Saya yang sentiasa bersamanya dapat melihat bagaimana suami yang ketika itu cengkung dan kurus melawan kesakitan dengan cara sentiasa sentiasa tersenyum.

Sikap positif dan janjinya yang akan menjaga saya membuatkan saya sebak bercampur gembira. Saya benar-benar tersentuh dan nekad untuk terus memberikannya semangat untuk melawan kanser  ”

PERKEMBANGAN

“Pada Mac 2019 selepas pemeriksaan lanjutan, doktor memberitahu kanser suami saya tidak aktif lagi. Berita ini amat menggembirakan saya. Kami juga tidak lupa tentang penjagaan pemakanan dan cara hidup sihat yang menjadi faktor penting jika mahu kanser ini hilang sepenuhnya.

Suami akan menjalani pembedahan kedua iaitu penyambungan usus selepas hari raya nanti. Dalam tempoh itu kami akan terus berdoa, bersikap positif dan mengamalkan pemakanan sihat seperti pengambilan habatus sauda, minuman lemon panas dan madu lebah asli.

Sepanjang menjaga suami dalam tempoh setahun iaitu bermula tahun lalu sampailah sekarang banyak pengalaman baru yang saya belajar. Inilah yang membuatkan saya menerima segala dugaan dengan pasrah. Saya yakin pasti ada hikmah yang baik dariNya,” akhiri Eydha yang bekerja sebagai perunding kecantikan sementara suaminya merupakan seorang usahawan.

Kredit Foto: Instagram Dhadha

IKLAN
Share