“Saya Pernah Jadi Murung & Sangat Tertekan Kerana Sering Diasak Soalan Berkaitan Zuriat” – HANI ELIA

Tiada pasangan suami isteri tidak menginginkan zuriat sebagai pelengkap keluarga. Ada pasangan yang bertahun-tahun kahwin namun masih menantikan kehadiran cahayamata. Apa pun segalanya berbalik kepada rezeki.

Pengasas jenama hijab Alhumaira, Hani Elia Rousli dan suami, tempoh dua tahun pertama perkahwinan merupakan detik paling mencabar buat mereka. Sering diasak dengan bermacam persoalan berkenaan zuriat cukup mencalar perasaan mereka.

Berkat kesabaran serta redha dengan percaturan Allah SWT, Hani dan suami kini mampu mengukir senyum bahagia dengan kehadiran dua cahayamata sekaligus melengkapkan kehidupan Hani sebagai seorang wanita.

DIUJI

“Kami mendirikan rumahtangga pada tahun 2009. Dua tahun pertama perkahwinan adalah detik paling sukar dan mencabar buat kami apabila ramai yang mula bertanya bila kami akan menimang cahayamata terutama apabila ada majlis-majlis keramaian saudara mara atau rakan-rakan.

Sebolehnya saya mencari alasan untuk tak menyertainya. Saya jadi murung dan tertekan serta kurang keyakinan diri. Rasa sedih tak mampu dibendung bila diajukan soalan berkaitan zuriat. Hanya mereka yang pernah atau sedang alami saja yang faham perasaan kami ketika itu. Alhamdulillah suami dan keluarga sentiasa memberikan saya semangat.

Bukan tak berikhtiar, berbagai cara saya dan suami dah cuba demi mendapatkan zuriat. Antaranya berjumpa pakar kesihatan wanita dan mencuba rawatan tradisional seperti urutan.”

BERTEMU PAKAR

“Pada tahun 2014 rezeki saya bertemu dengan Dr Marsita Mansor, Doktor Pakar Wanita di salah sebuah hospital di ibu negara. Saya bersyukur kerana akhirnya Allah SWT mendengar doa saya memandangkan waiting list sebelum ini terlalu lama.

Sebaik bertemu Dr Marsita, saya tak mampu lagi nak bendung perasaan sehingga saya menangis di depannya. Saya beritahu Dr Marsita nak buat IVF terus, berapa pun kosnya saya sanggup bayar asalkan saya dapat rasa untuk menjadi seorang ibu. Dr Marsita terus pegang tangan saya dan berkata, Hani kita ikhtiar semampu boleh, kita tawakal kepada Allah SWT.

After consultation, baru saya tahu yang saya mengalami retroverted uterus and cyst di bahagian rahim. Setelah berbincang dan bersetuju, saya menjalani pembedahan. Alhamdulillah ia berjaya. Saya ikut semua nasihat Dr Marsita antaranya mengamalkan pemakanan sunnah dalam tempoh yang disarankan.

Saya juga menjalani fasa berpantang walaupun tak melahirkan anak. Enam bulan pertama doktor sarankan untuk berehat. Saya dan suami bercuti ke Eropah agar fikiran saya betul-betul kosong dan tenang.”

DISAHKAN HAMIL

“Alhamdulillah, awal Mei 2014 saya disahkan hamil. Pada mulanya saya langsung tak syak apa-apa kerana tak terlalu berharap. Sehinggalah saya berkongsi dengan suami dan keluarga yang saya missed period

hampir seminggu dan rasa cramp di perut. Adik ipar saya belikan UPT untuk check kehamilan tapi saya cuba elak kerana takut kecewa.

Keesokan hari selepas tunaikan solat subuh, saya rasa ada satu kekuatan ‘luar biasa’ yang Allah SWT berikan. Lantas saya berdoa, Ya Allah apa jua keputusan aku harus kuat, selama ini aku mampu hadapi. Positif atau negatif keputusannya aku sentiasa bersangka baik denganMu.

Alhamdulillah lepas check sendiri, saya macam tak percaya lihat keputusannya. Strip tu ada dua jalur. Sukar saya gambarkan perasaan itu. Saya terus kejutkan suami dan dia tergamam. Kami sama-sama menangis. Momen itu kami masih ingat sehingga kini. Alhamdulillah, syukur ya Allah!

Sepanjang kehamilan atas nasihat doktor saya banyak berehat dan bedrest sambil amalkan pemakanan sihat. Setiap pagi saya amalkan minum sesudu minyak zaitun, pati delima dan madu. Saya banyak habiskan masa di rumah kerana alahan agak teruk. Masuk trimester kedua keadaan saya kian baik. Sepanjang kehamilan saya sentiasa berkomunikasi dengan doktor dan kerap membuat pemeriksaan.”

NASIHAT BUAT PASANGAN KHUSUSNYA WANITA

“Nasihat saya buat pasangan yang masih menanti zuriat, jangan putus asa. Allah SWT akan beri bila tiba masanya. Ikhtiar dan tawakal. Suami sentiasalah beri sokongan dan positif kerana isteri memerlukan sokongan sepenuhnya daripada insan-insan sekeliling terutama suami.

Dapatkan juga nasihat pakar. Jangan segan untuk bertanya keluarga atau sahabat yang boleh berkongsi info kehamilan. Saya bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan suami dan keluarga yang sangat supportive

. Terima kasih suamiku, Humaidi Fadzil.

Kini Allah SWT kurniakan kami dua cahayamata lelaki. Pertama, Haydar Humaidi berusia empat tahun. Anak kedua, Harris Humaidi berusia dua tahun. Anak-anaklah penawar segalanya.

Buat kaum wanita, kita perlu sentiasa kuat. Secara luaran mungkin kita nampak lemah lembut tapi percayalah, Allah SWT  akan beri kekuatan dalaman yang sangat hebat untuk kita. Jangan pernah putus asa, sentiasa berfikiran positif.

Masih saya ingat, dulu setiap kali mendengar perkhabaran saudara atau sahabat yang hamil atau menyambut cahayamata, saya akan turut gembira dan ucap tahniah sambil niat dalam hati, Ya Allah, harini aku gembira melihat kegembiraan orang lain, suatu hari nanti aku percaya masa kami akan tiba untuk merasai nikmat zuriat. Bersangka baik atas segala aturan Allah SWT.”

Kredit: Instagram Hani Elia

IKLAN
Share