“Saya Tak Perlu Tayang Kecantikan Untuk Dihormati,” Wardina Safiyyah Tentang MAKNA HIJAB Buat Dirinya

Apakah lagi yang mahu dibicarakan tentang hijab? Sehelai kain di atas kepala, dililit, disarung, dibungkuskan… aduh, sekarang memang sudah macam-macam! Macam-macam gaya, warna dan rupa. Tudung, hijab, skarf atau apa sahaja yang anda mahu panggil adalah ‘identiti diri’ buat wanita Islam.

Malah di dalam surah Al-Ahzab ayat 59, Allah berfirman agar wanita beriman (Muslim semestinya) untuk melabuhkan hijab supaya apa? Supaya ‘dikenali’ kerana ia lebih baik bagimu. Jadi pertamanya memakai hijab adalah ‘untuk dikenali’ sebagai wanita beriman dan keduanya kerana ia lebih baik bagi kita. Ya, LEBIH BAIK. Siapa kata? Allah Rabb kita!

Mari kita hafal dan ingat bahawa antara ayat yang menyuruh wanita berhijab adalah di dalam surah Al-Ahzab ayat 59 yang membawa maksud, “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya (tudung/hijab) ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali sehingga mereka tidak diganggu.”

Saya sering memberi penekanan bahawa sebelum nak bercakap tentang tudung atau hijab… satu perkara yang perlu difahami oleh semua wanita berhijab adalah untuk mengetahui dengan sepenuh hati, menghafal dan memahami, untuk tidak lupa membaca dengan sendiri ayat-ayat Al-Quran yang menyuruh kita berhijab.

Amat memalukan sekiranya ada yang bertanya, “Ayat mana yang menyuruh kita berhijab?” Dan tiba-tiba seorang wanita yang berhijab tidak tahu menjawabnya. Berhentilah kita dari terus-menerus ‘tidak tahu’, marilah mencari ilmu. Satu lagi ayat adalah dalam surah An-Nur ayat 30 dan 31.

Sering juga dinasihatkan oleh guru saya, mengingatkan saya dan semua wanita di luar sana agar memahami satu hakikat ini. Kita tidak berhijab untuk lelaki atau suami atau ayah kita. Tidak. Kita berhijab kerana Allah semata-mata.

Kita juga tidak berhijab untuk menjaga iman para lelaki. Iman orang lelaki, maaf tapi mereka perlu urus dan jaga sendiri. Saya juga amat yakin mereka mampu menjaganya. Get that straightened out first! Kita berhijab semata kerana Allah sahaja.

Dan ya, ia sepatutnya satu simbol ketakwaan. Jika seorang rahib dibenarkan untuk menzahirkan cinta mereka kepada tuhan dengan berhijab, maka seharusnya wanita Islam juga begitu. Tidak, hijab ini bukan simbol kita di diskriminasi tapi satu simbol liberalisasi!

Saya bangga dengan sehelai kain ini, kain di atas kepala ini lambang saya cintakan agama saya. Saya tidak malu berjalan dan dikenali sebagai wanita Islam.

Namun saya mengingatkan diri bahawa kain ini mempunyai makna yang lebih dari hanya sekadar imej. Kain ini, sepatutnya menzahirkan satu kecantikan yang lain dari hanya kecantikan fizikal iaitu kecantikan dalaman, kecantikan intelek dan adab. Sekiranya dengan memakai hijab kita masih tidak beradab dan berilmu, maka ada sesuatu yang perlu diperbetulkan dulu.

Setelah memakai hijab saya mula memberi fokus kepada kecantikan dalaman saya, bukan hanya tertumpu pada kecantikan luaran semata-mata. Saya menutup badan saya, namun saya terpaksa mengeluarkan satu lagi kecantikan – itulah dia kecantikan dalaman.

Itulah yang seharusnya. Saya tidak lagi memfokuskan kepada kecantikan fizikal semata-mata. Seperti yang sering saya sebutkan, menghijabkan hati lebih sukar sebenarnya.

Kenapa saya kata hijab itu simbol liberalisasi? Kerana saya berjaya membebaskan diri dari menjadi mangsa fesyen! Dunia fesyen yang dikuasai industri fesyen yang hanya tertumpu pada kecantikan fizikal.

Saya sudah bosan dihormati hanya kerana saya cantik! Takkanlah itu saja yang ada pada saya? Takkanlah saya hanya disukai kerana fizikal saya saja! Maka bermulalah satu perjalanan menyelami kecantikan intelek dan rohani serta adab yang saya sebutkan tadi.

MasyaAllah saya tahu perjalanan saya masih jauh dan berliku. Saya pasti akan berbuat salah, namun akan saya bangkit kembali sehingga saya temui satu kebebasan yang baru. Satu kecantikan yang InsyaAllah akan kekal. My self worth…

harga diri saya tidak bergantung pada barangan material, namun siapa saya tanpa barangan material itu.

Saya tidak perlu ‘buka’ dan tayangkan kecantikan zahir saya untuk membuatkan orang suka, sayang, bercakap dan hormat pada saya.

Al-Quran menyebut dalam surah Al-A’raf 7:26 bahawa kecantikan atau pakaian yang terbaik adalah takwa. Tapi malangnya takwa tidak diiklankan dan dijual merata-rata. Hanya orang tertentu yang bertuah akan menjumpainya! Dan InsyaAllah berhijab adalah permulaan untuk kita menyelami keindahan takwa ini.

Selamat menyelami dan mencari apa dia sebenarnya makna sehelai kain di atas kepala anda. Saya masih mencari… dan perjalanan ini amat indah sekali!

Salam sayang,

Wardina Safiyyah

IKLAN
Share