Sebati Dengan Dunia Kebajikan, TENGKU ZATASHAH Turun Padang Bersihkan Pantai & Agih Bantuan Makanan!

Selepas menjayakan Kempen Kebaikan Nasional yang mengetengahkan isu buli di kalangan pelajar sekolah, Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi mencetuskan inspirasi kepada masyarakat khususnya rakyat Selangor apabila kembali aktif melakukan pelbagai aktiviti kebajikan. Terbaru, Puteri Diraja Selangor berjiwa prihatin ini terlibat menjayakan projek Zero Food Wastage dengan kerjasama AEON dan kempen Selangor Beaches Cleanup pada September lalu sempena International Coastal Cleanup.

Menyalurkan bantuan makanan ‘AEON Community Food Share’ di Cheras pada 12 September lepas, YAM Tengku Zatashah meluahkan rasa gembira kerana akhirnya impian beliau untuk membantu golongan memerlukan mendapat makanan disambut baik pelbagai pihak. “Usaha menghubungi Aeon Malaysia tidak lama dulu untuk menyertai Zero Food Wastage akhirnya mendapat persetujuan dari Jepun.

Buat kali pertama di pasar raya Aeon seluruh dunia, Aeon Malaysia telah melancarkan Aeon Community Food Share dengan menyalurkan lebihan stok makanan kepada Kechara Soup Kitchen bagi mengagihkannya kepada golongan memerlukan.

Dengan komitmen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, ia menjadi pilot project yang dilancarkan buat julung kalinya di Selangor. Saya sangat gembira apabila kementerian dan kerajaan turut berhasrat membawa projek Zero Food Wastage ke serata dunia! Sebagai rakyat Selangor dan Malaysia, saya sangat bersyukur kerana impian selama tiga tahun ini akhirnya menjadi kenyataan dan mendapat sokongan ramai.”

Melalui projek itu seramai 25 keluarga miskin di pangsapuri PPR di Selangor menerima bantuan berkenaan yang melibatkan pengagihan 150 kilogram stok roti segar, barangan keperluan dapur, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Usai menjayakan Zero Food Wastage, YAM Tengku Zatashah menyertai kempen Selangor Beaches Cleanup di Pantai Morib pada 22 September yang lalu. Menariknya, kempen ini bukan sahaja mendapat kerjasama dari Exco Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Selangor dan Reef Check Malaysia.. bahkan ia turut diadakan di tiga pantai di Selangor iaitu Pantai Morib, Pantai Remis dan Pantai Bagan Lalang yang menghimpunkan seramai 1, 300 sukarelawan.

Antara yang dijumpai ketika sesi pembersihan tersebut termasuk sampah-sarap berupa plastik, styrofoam, botol kaca, plastik pembungkus makanan dan putung rokok. Sedih dengan tahap kesedaran masyarakat tentang kebersihan pantai, YAM Tengku Zatashah menegaskan, “Masyarakat perlu didedahkan dengan lebih banyak pendidikan, penguatkuasaan dan denda sekiranya didapati bersalah membuang sampah. Jangan mengharapkan pihak berkuasa tempatan semata-mata untuk membersihkan sampah anda. Sudah tiba masanya untuk jadi lebih bertanggungjawab.”

Apa yang pasti, usaha murni ini wajar dijadikan ikutan. Memang terinspirasi dengan semangat dan kecintaan YAM Tengku Zatashah.. bukan sahaja terhadap alam sekitar tetapi juga kebajikan masyarakat yang kurang bernasib baik.

 

Kredit foto: Instagram Tengku Zatashah

 

 

 

 

IKLAN
Share