Sebelum Pakai Tudung, HAJJAH FOUZIAH GOUS Sudah Mula Ubah Penampilan 4 Tahun Lalu!

Siapa tidak kenal dengan aktres jelita Datin Hajah Fouziah Gous yang suatu ketika dahulu terkenal dengan mutu lakonan yang cukup mantap. Pernah aktif dalam bidang pengacaraan juga, Datin Hajjah Fouziah kini terlihat sepi atau kurang aktif dalam industri hiburan tanah air. Mungin ramai peminat setia ibu kepada dua orang anak ini rindu dengan penampilannya dikaca televisyen. Istimewa edisi kali ini, kami merungkai perkembangan terbaharu Datin Fouziah khusus buat pembaca Nona.

URUS BISNES

Rata-rata mengetahui Datin Fouziah mengusahakan bisnes sarang burung yang diberi nama FG Walet yang ditubuhkan beberapa tahun lalu. Tidak dinafikan perniagaan sarang burung ini mendapat sambutan yang cukup hangat. Selain sibuk menguruskan perniagaan tersebut, Datin Fouziah juga mempunyai gimnasium yang telah beroperasi selama setahun lebih.

“Buat masa sekarang saya memang fokus pada bisnes FG wallet. Selain itu, saya juga sibuk menguruskan gym yang diberi nama Fighters Den Muay. Gym ni terletak di Bukit Jelutong dan kenapa saya buka gym ini adalah kerana memang seorang yang sukakan benda-benda natural, sihat dan juga healthy lifestyle

. Jadi saya start dengan perniagaan sarang burung selepas itu barulah tertubuhnya gym ini.

Bagaimana boleh tercetusnya FG Walet ini ialah pada asalnya saya hanya ingin menjadi consultant sahaja seperti buat latihan, consult people untuk buat rumah burung terutamanya untuk pasaran melayu. Sebab saya tahu, ramai orang melayu ingin buat bisnes ini tetapi tidak berjaya. Saya seorang yang sukakan bidang pertnian. So, Saya belajar mengenai sarang burung dan lama kelamaan saya jatuh cinta. Kebetulan pula saya ada masalah kulit dan memang makan sarang burung yang dijual di kedai-kedai cina walaupun saya tahu ia bukanlah 100% asli namun ada kesan pada saya”, bicara Datin Hajjah Fouziah memulakan bicara.

ungkapnya lagi, “Saya perasan semua kedai yang saya pergi tidak menjual sarang burung yang sebenar tetapi hanyalah fungus. Dari situ saya tekad untuk menjadi salah seorang perintis yang buat the real bird nest sebab saya tahu tiada satu pun yang juat sarang burung yang tulen. Namun untuk buat semua ini bukan mudah. Saya perlu belajar dengan lebih mendalam dan ia mengambil masa yang agak panjang memandangkan ketika itu saya masih aktif berlakon”.

Melihat sahaja kejayaan Datin Hajjah Fouziah diperoleh hari ini boleh dijadikan inspirasi buat sesiapa sahaja diluar sana. Usaha cekal dan tidak berputus asa menjanjikan hasil yang amat membanggakan. Bercakap mengenai perancangan masa hadapan, tentunya beliau mempunyai visi yang cukup jelas.

“Sebenarnya saya merancang untuk membuat DHA Bird Nest dan sedang di dalam proses pada ketika ini. Sebelum berada di pasaran, saya menjadikan anak saya sebagai testimoni selama setahun untuk mencuba sendiri produk ini dan menguji keberkesanannya. Saya percaya produk ini mengandungi khasiat sarang burung yang sesuai untuk kanak-kanak. Setakat ini, anak saya menggemarinya dan menunggu masa yang sesuai untuk pasarkannya. Selain itu, ada dua lagi produk sarang burung khas untuk mereka yang mempunyai darah tinggi dan kencing manis.

“Cita-cita saya adalah untuk memperoleh pendapatan yang lebih besar. Namun, ia bukan bermakna saya seorang yang tamak. Tidak sama sekali. Cuma apa yang boleh saya katakan disini ialah saya inginkan satu kehidupan dimana saya boleh membantu orang yang di dalam kesusahan pada bila-bila masa sahaja yang saya suka,” jelas Datin Hajjah Fouziah bersungguh.

Tambahnya lagi, dia ingin semua perkara menjadi mudah namun tidak sehingga melupakan dirinya, masih berpijak di bumi yang nyata dan melakukan sesuatu perkara kerana Allah. Prinsip yang dipegangnya nyata membuktikan siapa diri beliau yang sebenar. Walaupun kian berjaya dalam karier yang diceburinya, beliau sentiasa merendah diri dan tidak lupa asal usul.

IMEJ TERKINI

Tertarik melihat penampilan baharu Datin Fouziah sejak pulang dari menunaikan ibadah haji dengan mengenakan hijab. Ternyata beliau tampil lebih manis dan sopan. Sempat bertanyakan mengenai penghijrahannya, ini jawapan beliau.

“ Sebenarnya, bila bercakap mengenai penghijrahan, bagi saya hijrah ini terlalu luas. Tidak semestinya saya memakai hijab bermakna saya sudah cukup berhijrah. Tidak sama sekali. Sejujurnya, saya rasa memakai tudung ialah perkara yang mudah sahaja. Saya terdetik untuk memakai tudung atau menutup aurat sebenarnya sudah lama. Cuma saya percaya, saya seorang manusia yang tidak sempurna, masih ada kekurangan dan tidak baik seperti yang digambarkan.

“ Contohnya, jika saya seorang yang baik, sudah pasti saya sudah memakai tudung dari dulu lagi kerana itu adalah satu kewajipan. Saya kena terima saya tidak cukup baik. Jadi saya berubah dari segi lain yang mungkin orang ramai tak nampak seperti dari segi pakaian. Saya sudah mula mengubah cara saya berpakaian sejak 4 tahun yang lalu. Jadi, bila saya mula memakai tudung, saya tidak rasa kekok sebab baju semua sudah ada.

“Bila Allah memberi rezeki yang semakin banyak, saya sering tertanya dan terdetik satu perasaan yang sedih kenapa saya tidak boleh mengikut kehendakNya, Saya selalu berdoa pada Allah agar memberikan hidayah sempurna pada saya. Saya percaya hidayah itu ada namun kesempurnaan itu yang saya inginkan. Jadi, bila saya pergi menunaikan haji dan bila balik saya tidak fikirkan apa-apa. Saya Cuma tahu saya akan memakai tudung bila saya pulang ke Malaysia”, jelas Datin Hajjah Fouziah.

IKLAN
Share