“Sedar Tak Sedar Dah 10 Tahun” WAWA & AERIL Masih Romantik, Bahagia Bersama 4 Zuriat

Tahun ini genaplah 10 tahun usia perkahwinan pasangan sama cantik, sama padan Wawa Zainal dan Aeril Zafrel. Beberapa hari lalu, pelakon dan usahawan Aeril menerusi akaun Instagramnya berkongsi beberapa keping foto makan malam romantik bersama isterinya, Wawa sempena ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-10.

Tak dilupakan, Aeril turut menitipkan kata-kata istimewa buat si isteri tersayang. Aeril turut berterima kasih atas setiap momen yang dikecapi selama ini bersama Wawa.

Entah bagaimana harus dikatakan tentang hari ini…

Saat kita memilih dua jiwa menjadi satu. Satu hati. Satu cinta. Satu cita-cita. Satu harapan. Dan satu tujuan bersama ke Surga di sana Negara Abadi.

Terima kasih sayang kerana bila berani untuk bersama itu, bermakna dirimu mengerti perjalanan yang bakal kita tempuh bukanlah mudah dipermulaannya kerana penuh getir dan sesekali pasti jua dilambung ombak – dipukul badai ujian. Kita berjaya melewati dan mengharungi semuanya dengan pertolongan ALLAH jua.

Tuhan hadiahkan kita kebahagiaan dengan terus bersimpuh kasih padaNya. Barangkali kerana titis air matamu dan doa rintihanmu yang paling tulus lalu dikurniakan kekuatan jiwa, akal dan buah fikir pada dirimu agar titipan rahmatNya berpanjangan hingga kita mengecapi manisnya cinta yang halal dalam redhaNya sehingga saat ini. Terima kasih segalanya sayang..

Sungguh, kau satu-satunya tempat jatuhnya cinta yang paling bening. Segenap keluh resahku, kau jadi perlabuhan kedamaian. Ketika sakit duka bertandang, kaulah jadi penawarnya. Bila akal dan semangatku mulai tumpul, kaulah yang jadi penajamnya. Bak kata hukama, kau tak ubah seperti kehangatan saat kedinginan.

Terima kasih sayang untuk semuanya…

Ku tulis ini kerana Hari ini Ulangtahun Pernikahan Kita Yang ke -10.

Doakan hubungan kami kekal selamanya semua…”

Wawa tak ketinggalan turut menitipkan ungkapan ringkas buat suami tercinta dan mengharapkan perkahwinan mereka sampai ke syurga.

Pasangan selebriti ini yang bernikah pada 25 Februari 2012 kini dikurniakan 4 cahayamata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, Ayya Soffya, dan Muhammad Fahri.

Kredit: Instagram Wawa Zainal

IKLAN
Share