Sekat Pintu Masuk, Pemimpin Tegas & Beri Vaksin, Ini Rahsia Brunei Menang Lawan COVID-19!

Malam perayaan sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-75 Sultan Brunei yang berlangsung hujung minggu lepas, benar-benar membuktikan ‘kemenangan’ negara Islam itu daripada wabak COVID-19.

Pengguna media sosial rata-ratanya memuji suasana ‘bebas’ di sana, antaranya gambar orang ramai berkunjung ke pasar malam tanpa memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal seperti di Malaysia.

Lebih mengagumkan, Brunei berjaya mengekalkan rekod bersih lebih 430 hari tanpa kes baharu COVID-19. Rahsia kejayaan di bawah ini benar-benar perlu diperhalusi dan dicontohi oleh kepimpinan tertinggi di Malaysia.

 

Memetik laporan East Asia Forum dan CNBC, di dalam penyelidikan yang bertajuk ‘Behind Brunei’s Covid-19 Success Story‘ yang dilakukan oleh Nadia Azierah Hamdan dan William Case dari University of Nottingham Malaysia mengungkapkan bahawa Brunei sudah mengambil langkah awal sejak tahun lalu lagi, ketika wabak COVID-19 pertama kali menular di Wuhan, China.

Selain itu, sikap tegas Sultan Brunei dalam menangani isu COVID-19 ini juga telah menjadi antara punca mengapa Brunei mampu keluar dari permasalahan ini. Sebagai Raja dan pemerintah Brunei, Sultan Brunei dilihat peka terhadap keperluan rakyatnya sepanjang wabak COVID-19 menekan negara kecil tersebut.

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah menegaskan bahawa negaranya telah menjadikan amalan tilawah Al-Quran sebagai budaya sepanjang zaman dengan harapan menjadi perisai untuk melindungi Brunei dari bala malapetaka.

Kajian juga menyebut bahawa Sultan Brunei telah mendorong rakyatnya agar memperkuatkan diri dengan zikir dan bacaan al-Quran di rumah ketika menjalani kuarantin. Dia juga telah memerintah agar masjid ditutup dan dibersihkan, perhimpunan keluarga terdekat dilarang sepanjang Ramadan dan pada Hari Raya.

Selain itu, kejayaan Brunei juga disebabkan kepatuhan warganya kepada undang-undang yang telah ditetapkan. Kerajaan Brunei telah bertindak melaksanakan kawalan sempadan dan perjalanan serta melarang sebarang aktiviti perhimpunan besar-besaran. Proses pemberian vaksin juga giat dijalankan dalam masa yang sama sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19 di kalangan penduduknya.

Melalui sekatan-sekatan yang dilakukan ini, tiada isu double standard yang berlaku kerana bukan sahaja rakyat yang patuh, tetapi mereka yang memegang tampuk kepimpinan juga turut akur dan patuh. Ketaatan rakyat Brunei kepada kerajaan memberi kesan yang besar kerana apa yang ditunjukkan oleh pemimpin akan dicontohi dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

 

Langkah awal mula diambil pada Januari 2020, ketika wabak mula pertama kali dilaporkan. Brunei telah mengambil jalan tegas dengan melarang pelancong dari Hubei memasuki negara terbabit.

Dan pada bulan Februari pula, Brunei terus bertindak tegas dengan memeriksa setiap kedatangan warga asing yang masuk ke negara mereka – tidak kira dari China atau negara apa pun.

Kes COVID-19 di Brunei bagaimanapun mula tercetus pada 9 Mac dan mula merebak sehingga mencapai 100 kes dalam masa 15 hari. Kes pertama ini dicetuskan oleh kehadiran jemaah tabligh yang mengunjungi Malaysia pada masa itu.

Disebabkan kejadian tersebut, Brunei mengambil tindakan tegas dengan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan menekankan betapa pentingnya penjarakan sosial dan kuarantin bagi mereka yang dijangkiti wabak COVID-19.

Dari segi komunikasi di antara pihak kerajaan dan rakyat Brunei pula, pihak berkuasa tempatan telah memaksimumkan liputan di media sosial dan televisyen selain disokong oleh perkhidmatan hotline yang bersiap sedia selama 24 jam jika rakyat Brunei mempunyai sebarang pertanyaan mengenai wabak COVID-19. Manakala bagi mereka yang gagal untuk mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan, kerajaan Brunei akan mengenakan denda dan penjara.

Semoga rahsia negara jiran ini menjadi iktibar dan contoh kepada negara kita dalam menangani krisis kesihatan berkaitan wabak COVID-19 dengan lebih baik.

IKLAN
Share