
Sekuel ‘The Devil Wears Prada’ bukan sekadar menghidupkan semula nama-nama ikonik seperti Meryl Streep, Anne Hathaway, Emily Blunt dan Stanley Tucci, tetapi membawa penonton menelusuri sebuah dunia yang kelihatan sama di permukaan, namun telah berubah arah secara radikal, umpamanya realiti persekitaran kerja toksik.
Dalam filem terbaharu, The Devil Wears Prada 2, jalan ceritanya masih kekal tajam, siluet masih berkelas, namun landskap kuasa di sebaliknya kini jauh lebih kompleks dan berlapis.
Treler filem ini memperlihatkan bagaimana dunia fesyen dan media telah beralih daripada dominasi editorial kepada era algoritma dan pengaruh digital. Jika dahulu pentas peragaan menjadi penentu arah, hari ini ‘content’ menjadi mata wang sebenar.
Dalam tempoh 24 jam, treler ini meraih lebih 222 juta tontonan, seolah-olah memberi isyarat bahawa dunia masih terpikat dengan aura Miranda Priestly dan lingkaran kuasanya, namun dalam masa yang sama bersedia untuk melihat evolusi naratif tersebut.
Fenomena ini mencerminkan perubahan realiti industri di mana pengaruh tidak lagi ditentukan oleh satu suara autoritatif, tetapi oleh gelombang data, engagement dan perhatian netizen.
Filem The Devil Wears Prada 2 dengan bijak menangkap peralihan ini tanpa kehilangan identiti asalnya.
Dari Editorial ke Kapital
Miranda kembali sebagai ketua editor majalah Runway, tetapi bukan lagi dalam dunia yang tunduk kepada autoritinya. Media cetak kini berjuang untuk bertahan, sementara influencer menguasai trend dan algoritma menentukan relevansi.

Dalam keangkuhan yang elegan, Miranda masih mempertahankan sistem lama… tajam, tidak berkompromi, namun mungkin terperangkap dalam nostalgia kuasa yang semakin pudar.
Lebih menarik, Emily yang suatu ketika dahulu sekadar pembantu kini muncul sebagai CEO konglomerat mewah, memegang kuasa ekonomi yang menentukan kelangsungan Runway. Pertembungan dua wanita ini bukan sekadar konflik peribadi, tetapi simbol peralihan kuasa daripada editorial kepada kapital dan data.

Andy pula kembali dengan persona yang lebih matang dan berwibawa, mencerminkan perkembangan karakter yang tidak lagi terperangkap dalam bayang-bayang Miranda. Manakala Nigel kekal sebagai suara moral yang mengimbangi dunia yang semakin kabur garis etikanya.
Persekitaran Kerja Toksik
Nada filem The Devil Wears Prada 2 jelas lebih tegas dan kontemporari. Ia tidak lagi sekadar kisah glamor di balik industri fesyen, tetapi sebuah refleksi politik tentang kepimpinan, kuasa dan akibatnya. Jika dahulu watak seperti Miranda boleh dilihat sebagai genius eksentrik, hari ini persepsi itu mula dipersoalkan.
Persekitaran kerja toksik dan pelanggaran sempadan peribadi tidak lagi dianggap norma yang boleh dimaafkan. Naratif ini menjadikan filem ini lebih relevan dengan realiti tempat kerja masa kini, di mana kepimpinan yang sebenar semakin menjadi tuntutan utama.

Suasana Sebenar The Devil Wears Prada
Dalam masa yang sama, wanita dalam posisi kepimpinan masih berjalan di atas garis halus antara persepsi dan realiti. Terlalu tegas, mereka dilabel keras. Terlalu lembut, mereka dipandang lemah. Dilema ini dipaparkan dengan lebih mendalam dalam filem The Devil Wears Prada 2, menjadikannya bukan sekadar hiburan tetapi refleksi sosial yang tajam.
Di tengah tekanan ini, gangguan, body shaming dan kebencian di media sosial terus menjadi bayang-bayang yang sukar dielakkan. Dunia digital menjadi ruang yang mampu menjejaskan reputasi dan kesejahteraan fikiran seseorang.
Filem The Devil Wears Prada 2 bukan sekadar sekuel yang bermain dengan nostalgia, tetapi sebuah karya yang membuka mata tentang realiti persekitaran kerja toksik terutamanya dalam dunia yang semakin dipacu imej dan pengaruh.
Ia mengajak penonton menilai semula makna kuasa, bukan sebagai simbol dominasi, tetapi sebagai tanggungjawab yang menuntut kesedaran, empati dan integriti. Dalam dunia yang sentiasa berubah, hanya mereka yang mampu menyesuaikan diri tanpa mengorbankan nilai akan terus relevan.
Pengalaman Menonton Wayang di Aurum Theatre
Menjelang tayangan filem The Devil Wears Prada 2 di Malaysia, saksikan karya box-office ini dalam suasana dunia fesyen yang glamor dan penuh drama di Aurum Theatre, The Exchange TRX, Kuala Lumpur.
Saksikan filem ikonik ini ‘dihidupkan’ di Aurum Theatre menerusi pilihan pengalaman kulinari yang diatur rapi, daripada menu Exclusive Aurum Pass hingga set High Tea, dicipta khusus buat mereka yang menghargai estetika, perincian halus dan sentuhan dramatik yang memikat.
Rasai pengalaman hebat yang diinspirasikan daripada filem The Devil Wears Prada 2 yang menzahirkan definisi sofistikated. Palet monokrom yang diperkaya aksen merah mencerminkan keanggunan runway fesyen, sekali gus menghadirkan pengalaman moden di persimpangan dunia cinema dan haute couture.



Lebih dari sekadar pengalaman menonton wayang, turut dihidangkan pencuci mulut dan mocktail edisi terhad sebagai sebahagian daripada pengalaman Aurum Pass di halls terpilih iaitu Getha Lux Suite, Maybank Comfort Cabin dan Escape Studio.
Ia pastinya menyempurnakan pengalaman menonton wayang anda dengan gaya tersendiri!

Pengalaman high tea yang diatur rapi, direka khas untuk pertemuan bergaya serta momen menjamu selera sebelum atau selepas tayangan. Seperti tetamu yang bergaya elegan, ia menampilkan seleksi hidangan savouri yang menyelerakan bersama pilihan manisan yang memikat.
Tambah klasik, menu eksklusif ini dipadankan dengan dua cangkir teh yang melengkapkan keseluruhan pengalaman.

Wow, memang menarik! Jadi jangan lepaskan peluang untuk menonton The Devil Wears Prada 2 di pawagam berhampiran. Filem hebat dengan mesej persekitaran kerja toksik ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menghidupkan semula karya yang pernah menjadi sebahagian daripada sejarah hidup kita.
Ia bukan sekadar sekuel, tetapi sebuah pengalaman yang mengajak kita melihat semula perjalanan, perubahan dan makna sebenar kuasa dalam dunia yang semakin kompleks.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/lee-boo-jin-wanita-berpengaruh-samsung/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


