Selamat Jalan Duyufurrahman! Lisdawati Berangkat Ke Tanah Suci Tapi Reaksi Fauzi Nawawi Buat Ramai Sebak

Jika Allah SWT sudah menjemput sebagai duyufurrahman, bagaikan nama ‘sudah tertulis di pintu Kaabah’, tiada apa yang akan menghalang seseorang untuk pergi mengerjakan haji. Tahun ini giliran aktres Lisdawati menjadi tetamu-Nya, namun momen mengucapkan selamat jalan pada suami di lapangan terbang menyentuh perasaan.

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia telah pun berlepas ke Tanah Suci pada awal pagi Ahad lepas.

Salah seorang daripada 31,600 jemaah yang merupakan kuota penuh rasmi negara bagi menunaikan rukun Islam kelima tersebut pada tahun ini adalah Lisdawati atau Nisdawati Nazaruddin, 45 tahun, yang selamat berangkat semalam.

 

 

Sayu namun dalam masa yang sama, gembira tak terkata. Begitulah wajah Lisdawati saat berkongsi momen berangkat ke Tanah Suci di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sambil memeluk erat suaminya, Fauzi Nawawi, sempat Lisdawati menitip pesanan.

“Jaga anak-anak, jaga rumah, rajin-rajin, nanti saya kemas rumah, masak.

 

 

Perjalanan yang jauh. Perjuangan masih belum selesai. Sentiasa doakan yang terbaik sesama kita. Mati itu pasti. Kita saja yang tak tahu lagi, selagi nafas belum berhenti, tetapkan hati.

Cari iman sebelum mati. Semoga semua yang membaca akan dijemput menjadi tetamu-Nya nanti. Assalamualaikum semua.” Lisdawati

 

Nampak lebih tenang dan mendiamkan diri, reaksi Fauzi Nawawi yang hanya merangkul bahu isteri menggambarkan kesediaannya untuk melepaskan isteri pergi. Siapa tahu berbakul-bakul doa dititipkan ke langit, mengharap pada Ya Rabb agar menjaga wanita yang dicintainya.

“Ya Allah, peliharalah dia untukku. Berkatilah perjalanannya, rahmatilah ibadahnya, lancarkanlah fardu haji untuknya.

Aku serah segalanya pada-Mu, Ya Allah. Selamat jalan sayangku.” Fauzi Nawawi

 

Perkongsian pasangan ini turut diiringi ribuan ucapan selamat dan doa daripada para pengikut. Semoga Lisdawati memperoleh Haji yang mabrur dan dipermudahkan urusan ibadah di sana.

Bagi tahun ini, hari wuquf iaitu 9 Zulhijah dijangka jatuh pada Selasa iaitu 27 Jun ini.

IKLAN
Share