Selesa Habiskan Masa Di Rumah, Elfira Loy Didik Diri Amal Gaya Hidup Norma Baharu

Saban hari mendengar berita peningkatan jangkitan COVID-19 membuatkan selebriti terkenal, Elfira Loy sedikit paranoid lebih-lebih lagi membabitkan keselamatan diri dan keluarganya terutama anak sulungnya Muhammad Rayyan Khalaf. Wanita yang kini berusia 26 tahun ini lebih selesa menghabiskan masa di rumah memberi sepenuh perhatian menjaga anaknya.

“Mendengar kes wabak COVID 19 ini meningkat saban hari, jujur buat saya sedikit takut dan curiga dengan apa saja kemungkinan. Perasan itu menjadi jadi apatah lagi saya ada anak berusia 14 bulan.

Saya sampai satu tahap bimbang jika lalai dan tersilap langkah dalam mematuhi SOP, ia akan memudaratkan diri, anak, suami dan orang terdekat. Kalau boleh saya tak nak lama lama berada di luar. Kita punyalah jaga SOP dan berhati hati, tapi rasa sedih apabila ada segelintir yang ambil mudah bab itu,” kata isteri kepada Faris Khairol Anuar ini.

Namun atas tuntutan tugas, pelakon yang popular dengan drama Tentang Bulan The Series ini tetap keluar rumah. “Suka atau tidak, kita kena biasakan norma baharu ini. Saya sedar pemakaian pelitup muka ini jika tidak kena materialnya boleh melemaskan dan memberi kesan kepada kulit muka. Jadi kena pilih yang bagus seperti Himaya.

“Kita kena sedar kegagalan kita memakai pelitup muka bukan hanya memberi kesan kepada diri sendiri, tapi orang sekeliling juga. Belajarlah untuk terus membiasakannya demi kebaikan bersama. Kita jangan mementingkan diri sendiri. Sama sama beringat,” kata Elfira yang dilantik selama setahun mewakili jenama Himaya.

Berbicara pula tentang kehidupannya bergelar ibu, “Saban hari, ada saja keletahnya yang mencuit hati. Saya tak ketinggalan berkongsi apa saja detik atau momen indah fasanya bertambah umur di Instagram. Cuma anak saya ini kategori ‘baby’ Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia tak berjumpa sangat dengan orang di luar. Masanya pun banyak dihabiskan di rumah. Saya tak mahu ambil risiko. Dia juga yang jenis ‘happy go lucky’ dan gemar tersenyum. Cuma kalau ada orang datang rumah, dia susah nak mendekati mereka dan ambil masa untuk jadi mesra.

“Dia macam seolah olah tahu dengan situasi pandemik sekarang yang tak boleh sewenang wenangnya bercampur dengan orang ramai,” kata Elfira yang memaklumkan anaknya kini sudah boleh berjalan dan berdiri.

IKLAN
Share