‘Semahal’ Harga & Khasiat Tiram Kepada Kesihatan Wanita. Kenali Jenis & Tip Kerang-Kerangan Berikut

Kenapa wanita perlu menikmati sajian tiram? Ini kerana tiram kaya dengan kandungan mineral yang berperanan menghasilkan sel telur (ovum) yang normal sekali gus membantu proses ovulasi yang baik. Dalam erti kata lain, tiram membantu meningkatkan kesuburan wanita.

Antara manfaat lain yang terkandung dalam hidangan laut kerang-kerangan termasuk:

  • meningkatkan tahap imunisasi badan
  • memelihara kesihatan jantung
  • membantu mengurangkan berat badan
  • pembentukan tulang yang kuat
  • mencegah anemia
  • memelihara perkembangan dan tumbesaran janin dengan baik

JENIS DAN KATEGORI KERANG-KERANGAN

Kalau anda bukan peminat setia makanan laut pasti sukar untuk kenal pasti beberapa jenis kerang yang ada di Malaysia. Lazimnya, apabila sebut tentang perihal kerang ramai yang membayangkan hidupan laut tersebut memiliki cangkerang. Itu adalah salah satu sifat fizikal kerang namun ada banyak lagi yang harus diketahui sebelum membeli hidangan laut ini.

Terdapat tiga habitat yang didiami hidupan laut ini iaitu di kawasan berlumpur, berpasir dan ada yang hidup dengan melekap di celah batu atau pangkal pokok. Antara jenis kerang yang mendiami kawasan berlumpur termasuk lokan, kerang dan mentarang. Sementara di kawasan berpasir pula seperti remis, pepahat atau dikenali dengan nama kerang buluh, etok, lala, retak seribu dan kekapis. Begitu juga tiram, kupang dan siput sedut yang hidup dengan cara melekap di sebalik batu dan pokok.

Kerang-kerangan mempunyai cangkerang tetapi ia bukan ikan. Kebanyakan daripada kerang ini tergolong dalam kumpulan moluska yang menyerupai siput. Cangkerang melindunginya daripada panas matahari, ombak dan musuh. Hidupan laut seperti ketam, udang karang dan udang juga ada kalanya digelar kerang-kerangan walaupun ia haiwan krustasia dan bukan moluska.

  1. Kerang

Kerang yang biasa dinikmati dan paling mudah didapati di Malaysia. Ada yang mengenali hidupan ini sebagai kerang darah atau kerang dara. Memiliki cangkerang berwarna putih kecoklatan, berbentuk seperti hati dan bersimetri serta tetulang di kulit luar. Lazimnya dimasak dengan cara direbus, kukus atau goreng dan mempunyai daging berwarna kemerahan di dalamnya.

  1. Kerang bambu

Juga dikenali sebagai kerang buluh kerana cangkerang berwarna putih kecoklatan dan berbentuk panjang seperti buluh. Isinya berwarna putih dan dimasak dengan cara menumis.

  1. Kupang

Kupang atau kerang hijau memiliki cangkerang hijau kehitaman dan isi berwarna oren terang. Saiz dan bentuk kupang lebih besar berbanding kerang. Sering menjadi sajian yang dimasak secara tumisan, goreng atau bahan pelengkap sup.

  1. Tiram

Memiliki kulit cangkerang yang tidak sekata dan agak menggerutu. Dagingnya rendah kalori tetapi kaya dengan vitamin dan kalsium. Tiram juga mempunyai kulit cangkerang kelabu kehitaman dan isi tiram turut diproses menjadi sos.

  1. Kekapis

Kulit cangkerang yang nipis, besar berbanding kerang dan rupa seakan kipas serta berwarna terang. Isinya berwarna putih atau oren terang selain dikenali dengan nama scallops.

TIP MEMILIH & MEMASAK KERANG-KERANGAN

  • Ciri-ciri kerang yang segar adalah seperti tidak berbau busuk, tidak mempunyai lendir dan cangkerangnya masih tertutup rapat. Jika membeli kerang yang sudah dikupas kulit, pastikan isinya masih terasa kenyal.
  • Bersihkan kerang dengan merendamnya dalam air garam. Ia akan membuatkan pori-pori kerang terbuka dan kotoran pada kulit kerang dikeluarkan.
  • Pastikan kerang disimpan dalam bekas bertutup rapat dan diletakkan dalam peti sejuk bahagian beku jika tidak mahu memasaknya lagi.
  • Kerang boleh disimpan dalam dua minggu atau sebulan tetapi jangan menyimpan kerang dengan merendamnya dalam air kerana akan menghasilkan bau kurang enak.
  • Kerang yang dikukus hanya memerlukan masa selama 30 minit sahaja. Jangan kukus terlalu lama kerana boleh menyebabkan kerang lembik.

 

IKLAN
Share