“Semakin Dikau Membesar, Semakin Banyak Ibu Lihat Diri Ibu Padamu…” Ucapan SITI NURHALIZA Buat SITI AAFIYAH!

Hari ini, 19 Mac 2019 genap setahun usia anak penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin. Ia pastinya menjadi momen terindah buat Datuk Seri Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa setelah 11 tahun mendirikan rumah tangga dan menanti kehadiran cahaya mata sebagai penyeri perkahwinan.

Selamat melahirkan ‘si comel pipi merah’ setahun yang lalu di Pusat Perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur… bayi perempuan comel yang diberi nama Siti Aafiyah ini nyata bukan hanya mencuri perhatian ibu ayah bahkan para peminat Datuk Seri Siti sendiri.

Meskipun sudah setahun berlalu namun dendangan lagu ‘Comel Pipi Merah’ ketika Datuk Seri Siti sedang sarat mengandungkan Siti Aafiyah masih terngiang-ngiang hingga ke hari ini. Tanyalah kepada sesiapa pun… baik peminat cilik mahupun dewasa, mereka pasti mengenali lirik lagu popular yang ditujukan khas buat anak kecil tersebut.

Mengimbas kembali saat pertama kali biduanita ini mengumumkan berita kehamilannya, ramai yang teruja… tidak kurang juga yang melahirkan rasa syukur. Tanpa berselindung, Datuk Seri Siti turut mengakui beliau akhirnya berjaya hamil melalui kaedah IVF.

Sempena ulang tahun kelahiran anakanda tersayang hari ini, Datuk Seri Siti menzahirkan perasaan terindahnya di laman Instagram. Tulis beliau, “Setahun yang lalu pada tarikh yang sama, permata hati ayah ibu iaitu Siti Aafiyah Khalid dilahirkan… Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui betapa syukurnya ibu, ayah serta semua yang mendoakan ibu selama ini.

Menantimu suatu kebesaran yang sangat tinggi… doa ibu dan ayah, Siti Aafiyah menjadi anak yang soleha, baik budi, sopan, berilmu, berprinsip, kuat jadi diri, hormat orang, bak kata semua yang baik untuk anakku.

Namun, sebagai manusia dikau pasti tidak lepas dari kesilapan, tak mengapa… ibu ayah akan menegurmu, mendidikmu, abang-abangmu akan menjagamu, keluarga dan orang sekeliling akan mengingatkanmu & Allah SWT sentiasa di sisimu sayang.

 

Semakin dikau membesar, semakin banyak ibu lihat diri ibu padamu… tak kurang ada juga senyuman nakal dan perangai ayah pada mu. Aafiyah… jadilah insan yang bermanfaat kepada insan lain yang memerlukan dan ingat, sentiasa merendah diri serta hormat ibu bapa dan orang sekeliling kerana tinggi darjat seseorang itu kerana dia meninggikan darjat orang lain. Doa ibu setiap saat untuk Aafiyah, ‘Allahumma inni As aluka Al A’afiya’.”

Harapan Nona agar Aafiyah terus membesar menjadi anak yang solehah dan menjadi kebanggaan ibu ayah suatu hari nanti. InshaAllah.

 

IKLAN
Share