Seminar Usahawan Wanita Bestari 2025: Memacu Pemerkasaan Wanita Dalam Era Digital Patuh Syariah

Putrajaya menjadi saksi kepada sebuah agenda penting pemerkasaan wanita apabila Seminar Usahawan Wanita Bestari 2025 berlangsung dengan penuh semangat dan visi. Usaha sama PUSPANITA Cawangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), PUSPANITA Jabatan, serta Yayasan Mahabbah Malaysia, program ini turut mendapat dukungan rakan strategik seperti MEEM Gold, Majalah NONA dan Mingguan Wanita.

Dengan kehadiran sekitar 400 tetamu jemputan, seminar ini menekankan objektif utama – mendedahkan wanita kepada peluang keusahawanan digital patuh syariah, memahami potensi perniagaan baharu, serta menguasai strategi pengurusan dan pemasaran digital.

“Wanita hari ini bukan sekadar pelengkap, tetapi pemacu ekonomi negara. Keberanian mereka mencuba, kreativiti yang tidak terbatas, serta daya juang yang tinggi menjadikan mereka tulang belakang kepada pembangunan ekonomi moden,” demikian intipati yang mendasari penganjuran seminar ini.

YBHG. DATIN SERI NOOR LAILI BINTI HAMZAH PENGERUSI PUSPANITA CAWANGAN KPKM

Selari dengan aspirasi Dasar Wanita Negara dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), program ini membuka jalan untuk lebih ramai wanita melibatkan diri secara langsung dalam bidang keusahawanan moden. Fokusnya bukan hanya ilmu asas berniaga, tetapi juga literasi kewangan, pemasaran digital, dan strategi pertumbuhan lestari.

Menariknya, bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, seminar ini turut menyemarakkan roh patriotisme. Jika dahulu perjuangan wanita diterjemah melalui pengorbanan dan keteguhan hati, hari ini ia diteruskan dengan memperkasakan diri, keluarga dan masyarakat – agar bangsa terus merdeka dalam erti sebenar.

Turut hadir ialah primadona terkenal Erra Fazira dan penyanyi serta usahawan terkenal Zur Eda yang turut sama berkongsi dan membincangkan isu Revolusi Ekonomi : Transformasi Diri di Era Globalisasi.

ERRA FAZIRA & ZUR EDA

Berkongsi pengalamannya ketika sesi bual bicara di Seminar Pembangunan Usahawan Wanita Bestari 2025, Erra berkata wanita nempunyai kelebihan tersendiri. “Saya berkongsi mengenai transformasi wanita. Saya kongsi perkara asas yang ada kena mengena dengan diri saya, tentang perkembangan ekonomi wanita, bagaimana saya menggalakkan wanita lebih berjaya dan maju zaman teknologi.

Jelasnya lagi “Adakalanya kita berbelah bahagi, sama ada ingin mengejar kariera atau menunaikan anggungjawab kepada keluarga. Bagaimana kita sebagai wanita mahu memainkan peranan agar dua aspek penting itu tidak ketinggalan dan berada di paras seimbang,” jelasnya.

TUAN HAJI AMRAN BIN BACHOK, KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF MEEM GOLD & ENCIK AHMAD FAZRIN BIN MOHD ALI, PENGARAH PROGRAM YAYASAN MAHABBAH MALAYSIA

Mengangkat moto “Wanita Sepakat, Negara Meningkat”, PUSPANITA menyeru wanita agar terus proaktif, kreatif dan inovatif dalam merencana masa depan. Seminar ini bukan sekadar pertemuan ilmu, tetapi medan menyatukan jiwa-jiwa wanita bestari untuk mengangkat martabat bangsa melalui kuasa keusahawanan.

 

Share
Published by
Wan Firdaus