
Kanser payudara dianggarkan akan terus meningkat kepada 2.2 juta kes setiap tahun menjelang 2025. Demikian memetik laporan Program Pengesanan Awal Kanser Payudara Kebangsaan Di Fasiliti Kesihatan Primer Tahun 2024 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tidak dinafikan, sebut saja perkataan kanser pastinya undang rasa gerun kepada masyarakat. Apatah lagi ia mampu membawa maut jika tidak dirawat segera. Di Malaysia, kanser payudara merupakan kanser paling utama dihidapi wanita dan menyumbang 19 peratus daripada semua kanser dalam kalangan penduduk.
Memetik laporan Program Pengesanan Awal Kanser Payudara Kebangsaan Di Fasiliti Primer Tahun 2024 itu juga wanita Malaysia dikesan menghidap kanser ini pada usia lebih awal berbanding wanita di negara Barat iaitu kira-kira 50 peratus didiagnosis sebelum umur 50 tahun!
Satu kenyataan yang harus dipandang serius semua pihak khususnya golongan hawa.
Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara atau Pink October yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun, jom ambil tahu tentang simptom dan gejala kanser payudara sebagai langkah pencegahan awal.
*Benjolan yang keras dan tetap iaitu tidak bergerak
*Penebalan tidak simetri / nodularity
*Perubahan pada kulit (kemerahan, puting mengelupas, kulit bersisik atau ulser)
*Benjolan di bahagian ketiak
Selain mengenal pasti simptom dan gejala ini, golongan wanita juga digalakkan untuk melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) bagi membolehkan anda mengesan awal perubahan pada payudara dan hadir segera ke klinik untuk pengesahan serta rawatan lanjut.
Selain itu, anda juga boleh melakukan Pemeriksaan Klinikal Payudara (PKP) yang ditawarkan kepada semua wanita berumur 30 tahun dan ke atas. Kaedah ini merupakan satu kaedah pengesanan awal kanser payudara yang telah diperkukuh sejak tahun 2009.
Ia dilakukan oleh anggota kesihatan dan dijalankan di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.
Pun begitu, pencegahan awal dan rawatan perubatan yang tepat dapat mencegah penyakit ini daripada terus memudaratkan kesihatan.
Ini terbukti apabila tiga figura terkenal yang merupakan antara pesakit kanser payudara kini menjalani kehidupan lebih sihat selepas mendapatkan rawatan yang disarankan pakar perubatan.
1.DR KARTINI KAMALUL ARIFFIN
Bekas personaliti televisyen dan pengacara 3R ini salah seorang wanita inspirasi tanah air dalam melawan sakit yang dialami. Ia selepas Dr Tini Ariffin berjaya menamatkan pengajian Ijazah Kedoktoran dalam bidang Komunikasi dari IUKL biarpun bergelut dengan masalah kesihatan pada tahun 2023.
Sejak didiagnosis dengan kanser itu, Dr Tini telah pun menjalani prosedur pembedahan dan 20 kitaran terapi radiasi.
2.ANDRIANI MARSHANDA
Pelakon dan penyanyi popular Indonesia ini mendedahkan dia menderita kanser payudara pada tahun 2022. Berita itu dikongsikan menerusi satu hantaran video berjudul ‘I Have Breast Tumor’ di platform YouTube.
Difahamkan Marshanda berjuang melawan kanser yang memasuki tahap empat itu hampir dua tahun namun kini dilaporkan pulih sepenuhnya. Dia juga memaklumkan melakukan pembedahan dan menjalani pemeriksaan secara berkala.
3.ANGELINA JOLIE
Angelina Jolie didiagnosis ketika usia 37 tahun apabila ujian kesihatan mengesahkan dia berisiko tinggi hidap kanser payudara. Rentetan itu, Angelina segera menjalani pembedahan mastektomi pada tahun 2013 dan didedahkan sendiri dalam sebuah artikel di The New York Times.
Tulisnya, “Saya menulis untuk memberitahu wanita lain bahawa bukan mudah membuat keputusan untuk mastektomi tapi saya gembira membuatnya. Saya juga selalu memberitahu anak-anak agar jangan takut jika kehilangan saya kerana penyakit itu.”
Justeru jika anda mengalami sebarang perubahan atau gejala yang dinyatakan, segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan sebelum memudaratkan kesihatan.
Jom bersama kami sertai Pink Ribbon Run pada 25 Oktober 2025 ini di Putrajaya dibawakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Majalah Nona dan Mingguan Wanita.
Sama-sama kita beri semangat dan kekuatan kepada kaum wanita yang diuji dengan kanser payudara ketika ini.
This website uses cookies.