Kanser payudara dianggarkan akan terus meningkat kepada 2.2 juta kes setiap tahun menjelang 2025. Demikian memetik laporan Program Pengesanan Awal Kanser Payudara Kebangsaan Di Fasiliti Kesihatan Primer Tahun 2024 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tidak dinafikan, sebut saja perkataan kanser pastinya undang rasa gerun kepada masyarakat. Apatah lagi ia mampu membawa maut jika tidak dirawat segera. Di Malaysia, kanser payudara merupakan kanser paling utama dihidapi wanita dan menyumbang 19 peratus daripada semua kanser dalam kalangan penduduk.
Memetik laporan Program Pengesanan Awal Kanser Payudara Kebangsaan Di Fasiliti Primer Tahun 2024 itu juga wanita Malaysia dikesan menghidap kanser ini pada usia lebih awal berbanding wanita di negara Barat iaitu kira-kira 50 peratus didiagnosis sebelum umur 50 tahun!
Satu kenyataan yang harus dipandang serius semua pihak khususnya golongan hawa.
LANGKAH PENCEGAHAN AWAL KANSER PAYUDARA
Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara atau Pink October yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun, jom ambil tahu tentang simptom dan gejala kanser payudara sebagai langkah pencegahan awal.
*Benjolan yang keras dan tetap iaitu tidak bergerak
*Penebalan tidak simetri / nodularity
*Perubahan pada kulit (kemerahan, puting mengelupas, kulit bersisik atau ulser)
*Benjolan di bahagian ketiak
Ads
Selain mengenal pasti simptom dan gejala ini, golongan wanita juga digalakkan untuk melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) bagi membolehkan anda mengesan awal perubahan pada payudara dan hadir segera ke klinik untuk pengesahan serta rawatan lanjut.
Selain itu, anda juga boleh melakukan Pemeriksaan Klinikal Payudara (PKP) yang ditawarkan kepada semua wanita berumur 30 tahun dan ke atas. Kaedah ini merupakan satu kaedah pengesanan awal kanser payudara yang telah diperkukuh sejak tahun 2009.
Ia dilakukan oleh anggota kesihatan dan dijalankan di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.
PEJUANG KANSER PAYUDARA
Pun begitu, pencegahan awal dan rawatan perubatan yang tepat dapat mencegah penyakit ini daripada terus memudaratkan kesihatan.
Ini terbukti apabila tiga figura terkenal yang merupakan antara pesakit kanser payudara kini menjalani kehidupan lebih sihat selepas mendapatkan rawatan yang disarankan pakar perubatan.
1.DR KARTINI KAMALUL ARIFFIN
Ads
Bekas personaliti televisyen dan pengacara 3R ini salah seorang wanita inspirasi tanah air dalam melawan sakit yang dialami. Ia selepas Dr Tini Ariffin berjaya menamatkan pengajian Ijazah Kedoktoran dalam bidang Komunikasi dari IUKL biarpun bergelut dengan masalah kesihatan pada tahun 2023.
Sejak didiagnosis dengan kanser itu, Dr Tini telah pun menjalani prosedur pembedahan dan 20 kitaran terapi radiasi.
2.ANDRIANI MARSHANDA
Pelakon dan penyanyi popular Indonesia ini mendedahkan dia menderita kanser payudara pada tahun 2022. Berita itu dikongsikan menerusi satu hantaran video berjudul ‘I Have Breast Tumor’ di platform YouTube.
Ads
Difahamkan Marshanda berjuang melawan kanser yang memasuki tahap empat itu hampir dua tahun namun kini dilaporkan pulih sepenuhnya. Dia juga memaklumkan melakukan pembedahan dan menjalani pemeriksaan secara berkala.
Angelina Jolie didiagnosis ketika usia 37 tahun apabila ujian kesihatan mengesahkan dia berisiko tinggi hidap kanser payudara. Rentetan itu, Angelina segera menjalani pembedahan mastektomi pada tahun 2013 dan didedahkan sendiri dalam sebuah artikel di The New York Times.
Tulisnya, “Saya menulis untuk memberitahu wanita lain bahawa bukan mudah membuat keputusan untuk mastektomi tapi saya gembira membuatnya. Saya juga selalu memberitahu anak-anak agar jangan takut jika kehilangan saya kerana penyakit itu.”
Justeru jika anda mengalami sebarang perubahan atau gejala yang dinyatakan, segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan sebelum memudaratkan kesihatan.
Jom bersama kami sertai Pink Ribbon Run pada 25 Oktober 2025 ini di Putrajaya dibawakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Majalah Nona dan Mingguan Wanita.
Sama-sama kita beri semangat dan kekuatan kepada kaum wanita yang diuji dengan kanser payudara ketika ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seronok dengar motherhood journey Neelofa! Dalam majlis berbuka puasa bersama Neelofa dan Haris, memang terserlah sisi keibuan selebriti cantik tersebut. Lebih-lebih lagi apabila bercerita mengenai permata hatinya, Muhammad Bilal. Terus berseri-seri wajah isteri kesayangan Haris Ibrahim atau lebih dikenali sebagai PU Riz ni!
Teruja berkongsi pengalaman dan rutin sebagai ibu, Neelofa yang sebelum ini seorang wanita yang bekerja keras dalam kerjaya kini lebih fleksibel dan sanggup ‘mengorbankan’ masa semata-mata mahu melihat anakanda tersayang membesar di depan mata.
Mengulas lanjut, Neelofa berkata, “Buat masa ini saya masih lagi ada Confinement Lady (CL) yang menjaga saya. Patutnya 100 hari, jadi ada lagi few weeks lah. Ramadan kali ini mencabar sebab saya menyusu badan. Jadi ada hari yang sukarlah, mesti ibu-ibu faham kan dari segi pengeluaran susu berkurang waktu berpuasa.
Lofa ada juga kawan-kawan yang melahirkan anak dalam masa yang lebih kurang sama dengan saya. Masa saya mengandung, ada dalam lima orang kawan rapat yang mengandung juga. Anak mereka pun lahir bulan yang sama tapi hari lain-lain. Jadi kami banyak share experience.”
Kata Neelofa lagi, dia bersyukur kerana Bilal tak banyak ragam dan mudah dijaga. “Bilal for the first two month sangat senang dijaga, tak banyak nangis. Alhamdulillah. Cuma bila malam tu dia nak adjust waktu tidur malam lebih panjang dari siang, adjustment tu mencabar sedikit.
Sekarang je dia start menjerit sedikit-sedikit. Iyalah, dah besar. Meniarap dah hampir boleh. Lepas tu dia dah pandai gelak, pandai senyum dan dia pun dah cam muka-muka orang yang jaga dia. Kalau tegur sedikit pun, dia dah gelak-gelak sampai nampak gusi semua. Dia sangat ‘berlapis-lapis’ sebab kuat menyusu. Bayi lelaki kan.”
JAGA ANAK
Ditanya keadaan Haris sejak kehadiran Bilal, sambil tertawa Neelofa mendedahkan sikap suaminya sebaik saja bergelar bapa.
“Haris sangat supportive lah. Macam malam tu awal-awal Bilal lahir, dia bangun bagi kita semangat. Walaupun dia tak bantu dari segi macam apa yang kita buat, kehadiran dia bangun dan teman tu bagi kita kekuatan. Dia bangun, dia akan duduk dan tunggu.”
Sementara itu, Haris yang setia di samping Neelofa turut mengakui ada membantu isterinya menjaga anak termasuk menukar lampin. “Ada (tolong), tak sebanyak mak dialah. Saya ucap tahniah dekat ibu-ibu di luar sana yang sangat cekal jaga anak-anak. Kita (sebagai kaum bapa) kena cuba. Sesekali kena cuba.”
WAJAH BILAL
Diaju pertanyaan mengenai wajah anak mereka kepada peminat, ini jawapan jujur Haris. “Tak dedah wajah Bilal sebab consider dari segi keselamatan dan kesihatan. Ada sekali tu Bilal pernah sakit dan kami sedih. Untuk sementara waktu, kita jaga dulu kesihatan Bilal. Tak mahu menyusahkan orang dan orang tak menyusahkan kita. Jadi sama-sama kita jaga dulu awal-awal ni.”
Difahamkan Neelofa dan Haris sayu melihat anak mereka yang kelihatan kurang sihat tidak lama dulu selepas selesai mengambil suntikan. Dari detik itu, mereka sangat berhati-hati dengan keadaan dan kesihatan Bilal.
KERJAYA
Bercerita mengenai perkembangan kerjaya dan bisnes, Neelofa dalam nada teruja berkata dia bakal kembali dalam sebuah program bual bicara. “Saya akan keluar dengan program bual bicara tidak lama lagi. Masih dalam proses perbincangan. Nanti kita akan share. InshaAllah, tak lama lagi. Lepas raya ni akan ada sharing about it.
Fokus lebih kepada bisnes, priority kami adalah Bilal. Lofa pun tak nak macam Bilal lama-lama dengan helper. Saya nak jalankan rutin sebagai ibu lebih daripada yang lain. Kalau bisnes pun mudah sebab boleh buat dekat rumah, jarang-jarang kena pergi meeting atau shooting.”
Mengulas kerjaya Neelofa selepas berstatus ibu, Haris memberi ‘lampu hijau’ kepada isteri tersayang untuk meneruskan minatnya dalam bidang yang diceburi.
“Alhamdulillah, kita dah diskusi benda ni secara detail. Setiap perkara, dengan imej agama yang dia bawa, kena berhati-hati dan sebagainya. Dan lofa alhamdulillah boleh ikut dari segi pakaian pun, dia taat pada perintah Allah SWT.Jadi kita bagi dia ruang, berkarya dalam benda-benda yang dia biasa buat.”
Semoga Neelofa dan Haris terus cekal dalam membesarkan anak. Di samping sukses dalam setiap bidang yang diceburi agar menjadi sumber inspirasi ramai.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahniah diucapkan kepada pelakon dan penyampai radio popular, Shiera dan suami atas kelahiran cucu sulung mereka baru-baru ini. Terhibur tengok gelagat lucu pasangan suami isteri ini yang menyambut kehadiran cucu mereka di sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang.
Sharifah Shahirah atau lebih dikenali sebagai Shiera menarik perhatian warga maya apabila dia dan Ijoy Azhari tampil berpakaian tradisional serba hitam lengkap berhijab dan bersampin. Malah, kelihatan Ijoy turut mengenakan selempang kuning.
Kongsi adik Sharifah Haslinda ini di media sosial, “Giliran kami pula dapat ‘Dato’ di hospital Aurelius Pahang, Kuantan, Pahang. Tahniah ‘Datuk’ Ijoy. Selempang dah sama dengan jalan raya.
Allah bagi rezeki ‘Datuk’ ambil. Siapa suruh kahwin dengan aku dah dapat ‘Dato’. Orang lain ambil ‘Dato’ kat istana kami di hospital.”
Shiera dan Ijoy kini berstatus datuk dan nenek selepas anak perempuan sulung iaitu Allisya Tahir selamat melahirkan cahaya mata perempuan seberat 3.25 kilogram.
Allisya yang kini berusia 26 tahun merupakan anak Shiera menerusi perkahwinan pertamanya dengan penyanyi Black Dog Bone, Jatt. Allisya berkahwin dengan jejaka pilihan iaitu Mohd Zulhisyamuddin pada 11 November 2022.
Bagaimana pun, kakak kepada pelakon Sharifah Sakinah ini tidak mendedahkan nama penuh cucunya. Difahamkan Allisya dijangka bersalin pada awal tahun depan namun atas nasihat doktor, dia perlu menjalani pembedahan segera.
Shiera yang kini berusia 50 tahun mendirikan rumah tangga dengan anak Datin Maria Arshad tersebut dan dikurniakan empat orang anak iaitu Airel, Airra, Audra dan Adeena.
Perkahwinan adalah penyatuan dua jiwa menjadi satu. Dua jiwa menjadi satu matlamat. Apabila matlamat dicapai, kebahagiaan datang dan hidup di dalam kedua-dua jiwa. Ini akan menjadikan perkahwinan itu sentiasa segar, sihat dan kukuh. Maka itu, bagi pasangan yang berkahwin, perlulah ada matlamat-matlamat yang kecil dan besar untuk sama-sama direnangi dan diperolehi. Setiap pengalaman dan kejayaan matlamat yang diperolehi ini akan menjadikan perkahwinan itu semakin ‘bermakna’.
Antara matlamat-matlamat yang boleh membawa kebahagiaan adalah apabila kedua pasangan bersatu padu untuk menaikkan ekonomi rumah tangga. Mungkin ramai pasangan yang tidak bersatu dalam hal- hal kewangan. Masing-masing buat hal masing-masing dalam mencari nafkah, dalam berbelanja dan dalam menyimpan dan melaburkan wang. Ada yang mengagih-agihkan perbelanjaan bulanan dan selebihnya ikut suka masing-masing dalam membelanjakan wang gaji.
Bagi setiap pasangan, perlu ada semangat berpasukan. Apabila kita telah bersatu, kita mesti mempunyai tanggungjawab untuk membantu pasangan, salah satunya dari segi kewangan. Jika masing -masing kedekut, tidak bertanggung jawab dalam kewangan keluarga seperti membazir dan menggunakan wang untuk kepentingan diri, maka akan tercetuslah perbalahan dan ‘keretakan’ dalam dunia rumahtangga.
Sebenarnya, KEJAYAAN KEWANGAN bagi pasangan baru berkahwin amat mudah dikecapi. Anda hanya perlu ingat bahawa jika anda lebih AWAL mulakan MENYIMPAN WANG, anda akan dapat menjadi SENANG dengan mudah. Mari kita kaji dua pasangan baru berkahwin ini dan lihat apakah tabiat-tabiat yang berbeza antara mereka yang menyebabkan satu pasangan sangat SENANG dan MEWAH dan satu pasangan lagi jauh dari senang, bahkan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, sentiasa berhutang keliling pinggang.
Pasangan pertama hidup dalam bersatu-padu dan bahagia manakala pasangan kedua berpecah-belah dan menyalahkan pasangan masing-masing atas kesempitan hidup yang dialami. Dr. Niki Shuhada, seorang konsultan di dalam bidang pelaburan dan terikat dengan sebuah institusi perbankan terkemuka berkongsi kisah dan diharapkan ia dapat menjadi teladan dan panduan buat semua…
PASANGAN PERTAMA :
Farah dan Fadhil
Farah telah berkahwin dengan Fadhil, seorang jurutera. Farah dan Fadhil, mempunyai matlamat untuk menaikkan ekonomi keluarga supaya mereka dapat memberikan kesenangan kewangan kepada diri mereka dan anak-anak yang bakal mereka perolehi. Mereka percaya, bersusah-susah dahulu, bersenang senang di kemudian hari. Mereka memberi matlamat 5 tahun untuk mereka membina kekayaan untuk ‘keluarga baru’ mereka
Langkah Pertama : Farah dan Fadhil, telah menyimpan wang gaji hasil dari bekerja sewaktu mereka belajar. Sebelum berkahwin, mereka duduk berbincang tentang bajet perkahwinan dan mengambil persetujuan untuk tidak keterlaluan dan menyempurnakan perkahwinan tanpa berhutang; dengan mengambil kira BAJET dan KEBOROSAN. Maka itu, Farah dan Fadhil masih mempunyai wang simpanan dan menggunakan sedikit lagi peruntukan untuk berbulan madu.
Langkah Kedua : Pada waktu ini, Farah dan Fadhil mempunyai RM 100,000 wang terkumpul bersama hasil bekerja sambilan selama 5 tahun di luar negara. Tahun pertama perkahwinan, Farah dan Fadhil telah melaburkan wang dengan pulangan 10% setiap tahun. Mereka menerima ‘wang percuma’ iaitu keuntungan pelaburan sebanyak RM 10,000 setiap tahun. Wang ini mereka gunakan sebagai sebahagian duit muka untuk membeli sebuah kereta berharga RM 38,000. Wang baki dari ‘wang percuma’ mereka simpan sebagai bayaran bulanan tahun pertama kereta tersebut. Jadi, wang gaji mereka tidak digunakan bagi tujuan membayar kereta. Kereta tersebut telah dibayar oleh keuntungan pelaburan dari wang RM 100,000. Mereka meneruskan tabiat menyimpan dan berjimat.
Langkah Ketiga : Mereka bukanlah pasangan yang tidak pandai ‘having fun’. Tahun pertama mereka sangat berseronok, mereka keluar ke tasek setiap minggu untuk berjogging, tengok wayang tetapi mereka pulang ke rumah untuk makan di mana Farah akan memasak dan mencuba resepi-resepi baru untuk suaminya. Kadang-kadang jika menepati BAJET yang ada, mereka makan di luar. Setiap bulan, pasangan ini menyimpan 50% dari wang gaji mereka. Selama tahun yang pertama, mereka telah menyimpan sebanyak RM 30,000 kerana mereka menyimpan separuh dari pendapatan rm5,000 sebulan mereka.
Langkah Keempat : Setelah 5 tahun berlalu, Farah dan Fadhil, telah mengumpul RM 150,000 wang simpanan setelah berkahwin. Hasil keuntungan pelaburan sebanyak 10% setiap tahun mereka sekarang mempunyai ‘wang percuma’ RM 15,000 yang sekarang mereka gunakan untuk membeli sebuah rumah berharga RM 70,000.
Langkah Kelima : Mereka gunakan kaedah yang sama, iaitu menggunakan ‘wang percuma’ keuntungan pelaburan untuk membayar pinjaman bulanan. Jadi, rumah itu juga tidak perlu dibayar dengan wang gaji mereka. Rumah dibayar oleh keuntungan pelaburan. Mereka sekarang boleh menggunakan wang gaji untuk menyimpan lagi bagi lain lain keperluan.
Langkah Keenam : Mereka juga telah mempunyai cahaya mata. Duit susu dan keperluan anak sebanyak RM 1,000 sebulan juga telah awal awal disediakan oleh mereka dengan melaburkan wang RM 120,000, hasil wang bonus hujung tahun dan perniagaan sambilan mereka selama 5 tahun. Mereka juga melaburkan RM 12,000 lagi untuk mendapat ‘wang percuma’ rm1,000 melancong setiap tahun. Sekarang mereka mempunyai wang yang dilaburkan sebanyak RM 372,000 dan pulangan setahun keuntungan RM 37,200 setahun. Ini memberikan mereka ‘wang percuma’ RM 3,100 setiap bulan. Mereka senang dan mewah dan sangat bahagia.
PASANGAN KEDUA
Salina dan Salman.
Rakan karib Farah di universiti pula, Salina, pada tahun yang sama setelah pulang dari belajar, telah berkahwin dengan Salman, seorang peguam.
Kesilapan Pertama : Manakala, Salina dan Salman lebih mementingkan kehidupan yang penuh dengan kejutan! Salina dan Salman berpendapat, hidup hanya sekali, dan alam muda adalah untuk ‘dinikmati!’ Mereka rasa bahagia apabila dapat melancong, membeli-belah dan makan-makan diluar bersama kawan-kawan setiap hujung minggu.
Kesilapan Kedua : Salina dan Salman, juga telah berkerja secara sambilan sewaktu belajar. Tetapi mereka telah belanjakan kesemuanya untuk membeli-belah sewaktu di luar negara. Salman pula gemar menghabiskan masa beriadah dan mengumpul barangan sukan yang mahal-mahal.
Kesilapan Ketiga : Ketika majlis perkahwinan, Salina meminjam wang dari ibubapanya dan Salman pula mengambil pinjaman dari sebuah bank. Mereka tidak menyediakan BAJET dan hanya menambah apa yang patut setiap kali disarankan oleh kedua keluarga. Mereka berhutang RM 30,000 untuk majlis perkahwinan mereka. Akhirnya kewangan mereka menjadi sendat setelah berhabis untuk majlis dan kos berbulan madu.
Kesilapan Keempat : Salina dan Salman, tiada wang simpanan terdahulu. Malah pada bulan pertama selepas berkahwin, mereka terpaksa membayar hutang bulanan rm1000 untuk menjelaskan hutang kenduri. Mereka juga membeli sebuah kereta RM 68,000 kerana merasakan gaji bulanan RM 5,000 antara mereka dapat menampung hutang bulanan tersebut. Salina pula gemar membeli belah pakaian terbaru dan Salman masih meneruskan aktiviti riadah yang mahal mahal. Setiap minggu mereka berjumpa kawan kawan ditempat yang mewah dan pastinya setiap bulan mereka tiada wang simpanan.
Kesilapan Kelima : Salina dan Salman, sentiasa tiada wang kerana hidup dalam berhutang dan menggunakan wang tanpa berfikir. Mereka tiada tabiat menyimpan dan tidak berfikir panjang sebelum berbelanja. Setelah 5 tahun, mereka habiskan setiap wang gaji untuk membayar hutang kereta, hutang rumah, perbelanjaan diri dan anak anak. Setiap hampir hujung bulan mereka bergaduh kerana merasa penat dengan hidup yang sentiasa tidak cukup, sedangkan kedua dua mereka berpendapatan mewah.
Kesilapan Keenam : Dari hari ke hari, mereka melihat Farah dan Fadhil makin mempunyai aset dan harta, juga yang dahulunya Farah dan Fadhil hanya berkereta kecil sekarang telah membeli kereta baru dan mula bercuti ke luar negara. Kehidupan Farah dan Fadhil makin mewah dan berubah. Mereka pula terpaksa bekerja keras dan dihujung bulan semua wang gaji habis dikerjakan. Mereka terperangkap dalam arus kewangan tidak dikawal. Mereka rasa kecewa.
Semoga cerita dan kisah dua pasangan ini menjadi penunjuk untuk kesemua pasangan menemui KEJAYAAN KEWANGAN dan kehidupan yang harmoni. KESEIMBANGAN dalam berbelanja dan MENYIMPAN amat penting. Buatlah ‘TEAMWORK’ bersama pasangan dan semoga menyimpan wang menjadikan anda bahagia sentiasa! KAWAL PERBELANJAAN DENGAN BIJAK dari hari pertama anda menjadi suami isteri.
Jenis Pelaburan Selepas Berkahwin :
1. Simpanan berkala.
2. Simpanan Sekali-Gus.Iaitu simpanan yang dibuat sekaligus dan dibiarkan untuk jangka sederhana seperti 305 tahun.
3. Dana Modal Terjamin. Pelaburan yang dijamin modal tidak akan hilang untuk tempoh lima tahun akan datang.
4. Pelaburan KWSPPelaburan saham amanah yang dibuat melalui Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!