
Azzim Zahid, Pengasas Bulan Bintang Sukses Usia Muda
Bangga tengok kejayaan usahawan muda, Azzim Zahid Azmi. Pada usia 29 tahun dia mampu mengusahakan sebuah empayar perniagaan yang besar dan terkenal dalam kalangan selebriti dan VIP. Malah, setiap kali menjelang Syawal jenama miliknya iaitu Bulan Bintang sentiasa meniti di bibir pelanggan.
Antara pelanggan kenamaan yang memilih busana Baju Melayu rekaan Bulan Bintang ialah bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Bukan itu saja, jenama tempatan ini juga pernah bekerjasama dengan beberapa selebriti terkemuka negara. Ini termasuk Dato’ M. Nasir, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Beto Kusyairi, Shukri Yahaya, Hannah Delisha, Ernie Zakri, Syamel, Sharnaaz Ahmad, Kasih Iris Leona dan jaguh Muay Thai, Johan Ghazali.
Azzim Zahid atau lebih dikenali sebagai Meri merupakan anak bongsu daripada lima beradik kepada pasangan Allahyarham Datuk Azmi dan Datin Siti Zabidah. Abangnya iaitu Azri Zahier juga menceburi perniagaan dan pengasas HAUSBOOM.
Terharu melihat cara pengasas Bulan Bintang ini melayan ibunda tersayang. Bersandarkan kesenangan hidup yang dinikmati hari ini, Azzim Zahid sentiasa mengutamakan dan membahagiakan ratu hati kesayangan.
Pada Januari lalu, dia menghadiahkan sebuah ruang dapur lengkap dengan peralatan membuat pastri khas buat ibu. Jatuh air mata gembira Datin Siti Zabidah saat menerima kejutan tersebut daripada anak tersayang.
Titip Azzim sempena hari lahir ibunya, “Kepada mak, cinta pertama adik – Adik sayang mak. Adik tak boleh bayangkan betapa gelapnya dunia ni tanpa mak.
Terima kasih sebab sudi kongsikan hidup mak dengan adik, dengan isteri adik. Aku berdiri hari ini di atas doa mak yang tak pernah putus. Doa mak ialah senjata utama aku dalam setiap benda yang aku buat dalam dunia ni.”
Difahamkan empayar Bulan Bintang sudah pun 11 tahun berada di pasaran dan Azzim akui tidak pernah bosan berkarya dan berkreativiti dalam menghasilkan rekaan menarik serta menepati cita rasa pelanggan saban tahun.
Kira-kira tiga tahun lalu, jenama ini tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pertunjukan dron terbanyak dalam acara fesyen ‘Bulan Bintang Takes The Sky’ yang menelan perbelanjaan RM2 juta.
Sebelum sukses dengan bisnes ini, Azzim Zahid terlebih dahulu menceburi bisnes cetak T-shirt, servis videografi dan fotografi serta menjual Harum Manis.
Azzim mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita cantik yang juga doktor gigi, Dr Najihah Mohd Noh pada Oktober 2023. Sejak berkahwin, Dr Najihah setia berada di sisi dan menyokong perusahaan suami tercinta.
Walau kaya dan terkenal namun pasangan ini memilih bersederhana, jauh sekali menunjuk kemewahan.
This website uses cookies.