Luar biasa aura insan bernama Khairul Aming ini. Apa saja yang dilakukan anak muda kelahiran Kelantan ini pasti menjadi perhatian khalayak khususnya dalam kalangan warga maya.
Tidak hairanlah, dia dikenali sebagai pempengaruh media sosial berjaya kerana mampu meninggalkan impak positif kepada penonton.
Dinobat sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul 2025 kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya, perkongsian video Khairul Aming ketika Ramadan amat dinanti-nantikan followers setia.
Tahun ini video 30 Hari 30 Resipi Khairul Aming memasuki tahun kesembilan!
Seperti tahun-tahun sebelumnya, content yang dihasilkan pemilik restoran Rembayung ini menjadi tumpuan. Baru 1 Ramadan, video resipi KA sudah pun mencecah lebih sejuta tontonan.
Ads
Dedahnya, “Sesi pembelajaran akan bermula tak lama lagi. Doakan dapur students tak terbakar tahun ni. Selamat datang ke tahun kesembilan.”
Rata-rata pengikut setia mengagumi kredibiliti usahawan Sambal Nyet ini. Mana tidaknya, dalam kesibukan menguruskan restoran Rembayung yang mendapat sambutan luar biasa pelanggan, dia masih mampu menghasilkan video 30 Hari 30 Resipi berkenaan.
Resipi Ayam Sos Plum misalnya meraih hampir empat juta tontonan. Sementara resipi Sardin Tumis Bersantan & Nasi Goreng Cili Kering pula memperoleh lebih dua juta tontonan.
Bukan hanya resipi lauk-pauk, KA atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman turut berkongsi menu air berbuka puasa dan sajian pencuci mulut seperti Puding Karamel.
“Haa tahun ni kita bagi both air manis dan air kosong. Boleh cuba semua air tapi jangan banyak sangat minum air manis okey.
Ini resipi Puding Karamel. Tahun lepas ramai yang gagal buat, so tahun ni kita R&D balik dengan resipi yang inshaAllah tak gagal. Bestnya makan sejuk-sejuk baru keluar dari peti ais.”
Ads
Rancangan Ramadan Khairul Aming
Dalam pada itu, KA turut mendedahkan rancangan istimewanya sempena Ramadan kali ini.
“Selepas 2 bulan planning, hari ni kita transform Rembayung menjadi live room terbesar di Malaysia. Dengan bantuan 10 co-host termasuk Zizan Razak, kita akan live di rembayung bermula 12 tengah hari ni untuk anda semua.
Macam-macam aktiviti kita akan buat, termasuk perkongsian ramadan dan masak-masak live dari dapur bersama chef and kita nak hadiahkan 80 pax untuk makan di Rembayung, boleh pilih tarikh dan masa yang nak. Tertakluk terma dan syarat.”
Difahamkan Khairul Aming mula aktif menjadi content creator sepenuh masa pada tahun 2020.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Laman Instagram Dato Rizalman tak pernah sunyi. Baik dari segi perniagaan mahupun kehidupan yang sentiasa meriah dengan gempita suaranya. Baru-baru ini Dato Rizalman mengeluarkan RIMASK, pelindung muka yang stylo pula. Apa agaknya amalan Dato Rizalman sehingga apa sahaja yang diusahakan laku keras.
Baru-baru ini, Dato Rizalman menjadi salah seorang tetamu di konti radio sempena sambutan Hari Bapa. Ramai yang ternanti-nanti empunya suara loghat utara ini muncul. Banyak juga DM dari peminat yang tersentuh dengan perkongsian Dato Rizalman lebih-lebih lagi soal anak-anak.
Menurut beliau, Umar dan Aali dibesarkan sama seperti anak-anak lain. Mereka diberikan pendidikan mengikut apa yang mereka mahu.
“Saya tidak menekan mereka mengikut apa yang saya mahu. Asalkan mereka membesar menjadi anak yang baik dan boleh menjaga saya di hari tua, itu sudah memadai. Mereka adalah rezeki yang Allah beri pada saya dan sesungguhnya memelihara mereka adalah tanggungjawab saya,”katanya.
Semakin lama, semakin banyak rezeki Dato Rizalman sungguhpun tidak aktif lagi dalam dunia fesyen. Kata orang, rezeki tidak pernah salah alamat. Apa agaknya amalan yang beliau lakukan sehingga setiap sentuhannya bertukar menjadi ‘emas’?
“Semua atas kehendakNya. Saya lalui hidup ini dengan percaturan yang telah ditulis secantik-cantiknya. Orang kata, nak murah rezeki kena banyak amalan. Tetapi untuk saya, memang banyak doa yang diamalkan. Tak tahu yang mana satu berkesan. Tetapi saya sentiasa displinkan diri untuk menunaikan solat sunat Subuh setiap hari dan jadikan solat sunat Dhuha sebagai amalan wajib.
Selalulah bersedekah dan membayar zakat. Kedua-dua ini memberi kesan yang sangat hebat. Pastikan sedekah itu konsisten, kalau tidak rezeki pun tak datang dengan konsisten. Mungkin saya tidak mampu bersedekah kudrat tetapi saya gunakan kelebihan yang saya ada untuk mencari idea-idea dan peluang rezeki yang lumayan. Bila ada duit, lebih mudah untuk kita bersedekah. Itu pemikiran saya.
Cuma, apa yang boleh saya kongsikan adalah sedekah yang orang tidak tahu. Rezeki Allah beri ini saya gunakan untuk membawa orang yang susah mengerjakan umrah. Pada saya, untuk apa kita sibuk menjejak kaki ke Mekah untuk mengerjakan umrah berkali-kali sedangkan ramai lagi umat Islam yang teringin untuk melihat Kaabah di hadapan mata. Teringin bersujud di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi namun tidak mampu.
Satu kebahagiaan untuk saya apabila saya diberi rezeki untuk membayar pakej umrah buat seorang tukang sapu yang begitu pandai mengaji Al-Quran. Bayangkan bagaimana dia berdoa untuk kita dihadapan Kaabah dan itulah doa yang paling mulia sekali. Istiqamahlah saat bersedekah,”pesan Dato Rizalman.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Di sebalik kontroversi gelek dan bicaranya yang lantang, siapa sangka kalau Ifa Raziah sebenarnya seorang wanita yang sangat kelakar serta usahawan yang sangat menginspirasikan. Selama lebih dua dekad dalam industri, kini beliau mengadaptasi seluruh pengalamannya sebagai anak seni untuk memajukan bisnes pengurusan acara, Starvendors Event Sdn Bhd.
Seorang yang tegas berpendirian, karakter Saripah Raziah Mustapha selaku Pengarah Urusan dan Pengasas StarVendors menjadi kekuatannya dalam mengendalikan urusan syarikat.
Tidak seperti di layar perak, selebriti itu bijak memainkan peranan sebagai pemimpin, sekaligus menambah keyakinan sesiapa pun yang datang berurusan. Daripada individu berprofil tinggi seperti Menteri, pegawai kerajaan dan swasta, agensi atau badan korporat, ahli perniagaan hinggalah petugas media serta orang ramai, Ifa Raziah sentiasa profesional ketika bekerja.
Terkenal dengan imej Miss Diva dan sering tampil memakai barangan kemas seperti loket hati gergasi, Ifa Raziah juga merupakan pengasas Serifa Beauty & Health. Produk pelangsingan Solid Molid dan produk Miss Diva Skincare yang diasaskan sejak lima tahun lepas antara yang mendapat permintaan tertinggi ketika musim PKP lalu. Beliau juga giat menjual korset Ifa Raziah Wonder Suit by Jovian.
“Selagi masih larat dan kudrat mengizinkan, saya mahu terus aktif dalam bidang seni. Sebenarnya saya banyak menerima job daripada stesen TV, antara yang terbaru adalah sebagai peserta dalam program Terpaling Juara. Kehadiran saya sedikit sebanyak menaikkan rating dan membantu menularkan program tersebut.
Saya sebenarnya seorang individu yang bersemangat dan suka memberikan komitmen dalam setiap pekerjaan. Termasuklah dalam arena bisnes.
Harapan saya agar suatu hari nanti semua kerja keras ini dapat meninggalkan legasi kepada anak-anak. Mungkin bila dah berusia nanti, saya dapat abadikan diri beribadah sepenuh masa sambil monitor saja bisnes yang mereka uruskan.” Ifa Raziah
VERSATIL
Terkenal sebagai seorang wanita yang ekspresif, statement beliau iaitu, “Jadilah wanita yang berduit kerana wanita yang cantik dah banyak!” mencuit perhatian.
Pernah menjulang trofi Artis Versatil Popular dua tahun berturut-turut di ABPBH29 & ABPBH30, Ifa Raziah yang berstatus Dato’ mula terlibat dalam industri seni sejak tahun 90-an lagi. Seterusnya, bakat beliau berkembang sebagai pelakon, pelawak dan pengacara sebelum kini sebagai Pengasas serta Pengarah Urusan StarVendors Event Sdn Bhd.
Tidak keberatan berkongsi sejarah, wanita jelita berdarah peranakan Melayu-Arab dan ibu kepada dua cahaya mata itu tenang bercerita. Menurutnya, bakat nyanyian yang terpendam sebenarnya mula dikesan sejak zaman kecil lagi.
Ketika berusia 17 tahun, beliau pernah mewakili Malaysia ke pertandingan akhir Asia Bagus (1992) tapi disebabkan peperiksaan SPM ketika itu, Ifa terpaksa menarik diri.
“Saya mengeluarkan album solo pertama bergenre pop balada iaitu I Miss You, I Love You pada tahun 1996. Zaman itu Malaysia dilanda gelombang dangdut, jadi saya cabar diri hasilkan album dangdut pula setahun kemudian.
Single lagu Ser…Ser…Ser… berjaya melonjakkan nama saya sebagai penyanyi dangdut popular. Saya juga mula aktif berlakon pada waktu yang sama, malah untuk rekod pernah membintangi beberapa buah filem dan teater, berpuluh drama serta telefilem tempatan.
Menjelang era 2000-an, saya tubuhkan syarikat rakaman sendiri iaitu Ifa Raziah Entertainment dan keluarkan album ketiga iaitu Gemerincing Rindu.
Saya juga pernah keluarkan single lagu Panas bersama penyanyi Cat Farish yang berjaya layak ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 2008 dan peringkat akhir Hits 1 RTM tahun yang sama.” Ifa Raziah
Bakat Ifa Raziah seterusnya berkembang dalam bidang pengacaraan TV apabila beliau ditugaskan sebagai pengacara program Wanita Hari Ini selama tiga tahun bermula 2008.
Tidak sekadar petah berbahas isu semasa, wanita kelahiran Jitra, Kedah itu sekali lagi membuktikan bakatnya sebagai pelawak apabila menyertai Maharaja Lawak Mega bersama kumpulan Syok.
Berkat sifat disiplin yang tinggi, rezeki Ifa Raziah dalam bidang seni terus mengalir tanpa henti. Bekas peserta program GegarVaganza ini terus mencatat satu demi satu kejayaan berskala besar ekoran strategi hidupnya, ingin sentiasa relevan dengan trend semasa.
Kerana itulah gaya dan penampilan diri beliau sentiasa berevolusi, stail mekap pun up-to-date!
USAHAWAN
Menyedari betapa luasnya manfaat berniaga, Ifa Raziah mengorak langkah berani sebagai pengasas StarVendors pada tahun 2019. Sebagai syarikat pengurusan acara, StarVendors dianjurkan sebagai festival membeli-belah dengan penyertaan ramai selebriti dan pelbagai jenama terkenal di Malaysia.
Menggunakan pengaruh seni, pengunjung yang datang juga boleh bertemu mesra artis kesukaan mereka dan menikmati persembahan yang diadakan.
Pencapaian terbesar Ifa Raziah adalah apabila acara Festival StarVendors Mega Raya yang dianjurkan pada bulan Ramadan lalu melakar sejarah di The Malaysia Book of Records sebagai penganjuran paling lama selama 75 jam tanpa henti.
“Dengan rekod keseluruhan pengunjung mencecah 2.8 juta orang, saya sebenarnya amat terharu dengan pengiktirafan ini dan tidak menjangka mendapat sambutan yang amat luar biasa.
Jadi saya nak menjemput lebih ramai artis dan usahawan untuk sertai StarVendors. Kami dah susun banyak program hebat di 11 venue sepanjang 2023.
Inilah satu-satunya platform yang dapat memperkenalkan branding anda dengan baik selain online. Usahawan boleh turun padang berjumpa pengunjung secara fizikal sambil mereka pegang sendiri produk anda.”
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Bobo Cinta
Dandanan: Hamidi Jamili
Busana: Daniel Zharif, Jovian Mandagie, Maglifestyle
Lokasi: W Kuala Lumpur Hotel
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nama Ummi Hafilda Ali bukan suatu yang asing lebih-lebih lagi buat mereka yang mengikuti perkembangan politik negara. Berkesempatan untuk bertemu dengan figura ini umpama orang mengantuk disorong bantal.
Walau pertama kali bertemu nyata wanita yang berkulit putih ini mudah mesra. Jauh meleset dengan anggapan anak ke-6 dari 7 beradik ini sombong. Malah lebih teruja apabila Ummi Hafilda tidak lokek berkongsi tentang kisah peribadinya.
Pasti ramai yang ingin tahu apakah status wanita yang berani ini. “Status saya? saya akui telah berumahtangga pada tahun 2013, tetapi rumahtangga itu tidak kekal lama. Mungkin tiada jodoh saya tidak dapat bertahan lama dan saya telah berpisah,” tutur Ummi Hafilda jujur tanpa berselindung.
Namun daripada raut wajahnya, jelas terpancar riak bahagia yang bersarang dari dalam. “Doakan yang baik-baik. Of course sebagai seorang manusia sentiasa kita mengharapkan yang baik-baik.
Semoga apa yang berlaku lepas adalah lepas. Insyaallah doakan yang baik-baik,” jelas Ummi Hafilda yang menggambarkan hatinya telah dimiliki oleh seorang pemuda dari luar.
Bercerita tentang perkembangan terbaharunya pula wanita yang menjadikan Oprah Winfrey sebagai idolanya ini begitu bersungguh. “Pencapaian saya telah lalui fasa yang luar jangkaan di peringkat global.
Saya telah berjaya melancarkan jenama Ummi Prestige di pentas yang paling berprestij di dunia iaitu di New York Fashion Week pada 7 September tahun lepas,” terang Ummi Hafilda sambil meneguk secawan kopi.
Menurut Ummi Hafilda selepas ini jenama Hafilda Prestige akan dilancarkan di 7 bandar besar dunia seperti New York, London, Paris, Tokyo, Jakarta, Dubai dan akhir sekali Kuala Lumpur.
Bukan calang-calang jenama boleh diperagakan di pentas berprestij yang menjadi tumpuan seluruh dunia ini. Tambah Ummi Hafilda lagi. “Ekoran daripada pentas tersebut ramai nama besar di sana mahu bekerjasama dengan saya.
Salah seorang darinya adalah Presiden kepada TV Stesyen Kedua Terbesar di Amerika Syarikat dengan jumlah tontonan seramai 60 juta orang menawarkan saya satu peluang dan platform yang baik untuk saya mengetengahkan fesyen saya di kalangan warga Amerika,” ucap Ummi Hafilda penuh semangat.
Nampaknya rezeki Ummi Hafilda terbuka luas lagi apabila diberi peluang sekali lagi untuk menampilkan jenamanya di pentas fesyen berprestij tersebut. Namun kali ini Ummi Hafilda telah menetapkan target buat dirinya.
“Untuk minggu fesyen tahun ini saya menetapkan target dan menyasarkan nama-nama besar seperti Melanie Trump atau Kim Kardashian akan memakai koleksi saya,” kongsinya.
Apabila ditanya kenapa memilih Amerika Syarikat dan bukan di tanah air sendiri untuk melancaran jenamanya, jawabnya, “Saya mengutip inspirasi dari Datuk Jimmy Choo yang berjaya melancarkan jenama di luar negara walaupun ketika itu orang Malaysia tidak tahu tentang jenamanya.
Namun apabila Princess Diana memakai kasut jenama Jimmy Choo, tiba-tiba satu dunia meletup dengan nama besar Jimmy Choo.
Saya nak buat konsep yang sama biar jenama Hafilda Prestige terkenal di kalangan nama-nama besar di Amerika Syarikat terutamanya di White House dan akan merebak ke Asia dan seterusnya Malaysia, insyaallah,” ucap Ummi Hafilda.
Nampaknya Ummi Hafilda bukan seorang yang boleh duduk diam. Rupa-rupanya wanita mudah mesra ini dalam diam mula berjinak-jinak dalam perniagaan carigali minyak. “Saya juga terlibat dalam bisnes oil & gas.
Walaupun ini bukan bidang saya buat permulaan tetapi saya mengambil cabaran dan raih peluang yang hebat ini. Insyaallah akan ada suatu kerjasama yang besar dengan sebuah syarikat carigali minyak di Indonesia nanti,” ujar Ummi Hafilda yang wajar dijadikan inspirasi buat wanita lain yang ingin berjaya dalam perniagaan.
Terpancar keikhlasan dalam hati wanita ini apabila berbicara tentang hasratnya untuk berbakti kepada negara dan bangsa. Tutur Ummi Hafilda, “Saya menyimpan impian untuk menjadi antara orang terkaya di Malaysia dan Asia, bukan untuk saya tapi untuk give back to the society.
Tak guna kita sorang saja kaya tetapi orang lain menderita. Impian saya untuk mengagihkan kekayaan demi pembangunan ummah dan Islam,” kata Ummi Hafilda mengakhiri perbualan.
Ketika kecil Datuk Nicol David terinspirasi dengan semangat ibunya yang berjuang membesarkan anak-anak dan membantu keluarga. Enggan menyusahkan kedua-dua ibu bapa, bekas ratu skuasy ini nekad memberikan yang terbaik kepada mereka di samping menjadi seorang anak yang membanggakan.