Siapa Kata Lelaki Tak Pandai Hias Rumah, Jejaka Ini ‘Makeover’ Kediaman Bujang Nampak Mewah!

Lihatlah kediaman bujang ini, milik Pengasas Charismatic Leaders Academy (CLA), Said Saiful Fazli yang terletak di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur. Dia memilih gaya Inggeris moden sebagai konsep utama kediaman.

Menjadikan Dato’ Rizalman sebagai sumber inspirasi serta rujukan dalam penataan gaya kediaman, jejaka yang mesra disapa sebagai Said ini sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik demi kediaman kesayangannya ini.

“Dato’ Rizalman seorang yang sangat kreatif, teliti, bercita rasa tinggi dan ada kelas tersendiri.

“Antara koleksi dekor beliau yang pernah saya beli ialah pasu hiasan kerana saya seorang penggemar pasu yang unik.”

Bijak sungguh Said merencana idea dekorasi untuk ruang kediaman jenis kondo ini. Walaupun keluasannya sekitar 1700 kaki persegi Said berjaya mengubah ruang asal menjadi lebih hebat. Idea dan cita rasanya berjaya direalisasikan oleh pereka hiasan dalam profesional pilihan Said sendiri.

“Semasa mula-mula beli rumah ini kosong saja. Saya ubah suai hampir 90% antaranya menambah petisyen dan wainscoting di seluruh dinding. Saya memang obses dengan kedua-dua elemen ini kerana ia memberi kesan classy pada ruang kediaman.

Saya tidak suka ruang yang kelihatan terlalu sarat. Maka, saya cuba elak penggunaan aksesori mahupun perabot yang tak diperlukan. Lagi pun ruang yang terlalu penuh menyebabkan habuk mudah terkumpul,” kongsi Said.

Nuansa moden yang diadun bersama elemen mewah serta elegan diserlahkan lagi dengan kombinasi rona putih dan biru menyerlahkan kedamaian.

Manakala ruang tamu adalah sudut paling digemari oleh Said kerana pemandangannya yang mendamaikan. Kombinasi rona biru, silver

dan gold menyerlahkan gaya elegan di ruang tamu.

Said memilih untuk tinggal bersendirian di kediaman ini agar dapat menikmati suasana lebih privasi sambil menyaksikan keindahan KLCC yang tersergam indah di ruang balkoni.

IKLAN
Share