Sinonim Kurung Biru & Rantai Mutiara, Bekas GABENOR BANK NEGARA Ini Kacukan Melayu, Inggeris & Arab!

Inspirasi! Itu ungkapan pertama yang terlintas di fikiran penulis bagi menggambarkan personaliti tokoh negarawan ini. Nama Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mula dikenali ramai ketika beliau menyandang jawatan sebagai Gabenor Bank Negara. Lebih membanggakan, Tan Sri Dr Zeti Akhtar melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama yang menjawat tugas paling penting dalam bidang perbankan negara selama 16 tahun. Bukan tempoh yang singkat tu!

Selain berjaya mengangkat martabat kaum wanita, penampilan Tan Sri Dr Zeti juga sering menjadi perhatian masyarakat. Setiap kali kelibatnya muncul di hadapan khalayak, ramai yang dapat menjangkakan busana yang dipakai wanita hebat ini. Tan Sri Dr Zeti sememangnya cukup sinonim dengan gaya tersendiri dan ‘melekat’ dengan persalinan kurung rona biru dan aksesori rantai leher mutiara.

Menelusuri latar belakang Tan Sri Dr Zeti, beliau merupakan puteri tunggal kepada pasangan yang juga tokoh ilmuan negara iaitu Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dan Sharifah Azah Syed Mohammed Alsagof.

Foto kenangan Tan Sri Dr Zeti di samping ibu dan bapanya ketika graduasi – credit @malaysiahispatch

Credit @fotopenerangan
Credit @fotopenerangan

Tan Sri Dr Zeti dilahirkan pada 26 Ogos 1947 di Johor Bahru. Bapa beliau mempunyai darah keturunan Melayu, Circassian dan Inggeris. Sementara ibunya pula berketurunan Hadhrami Arab dan Melayu. Patutlah Tan Sri Dr Zeti cantik dan kelihatan awet muda meskipun sudah meniti usia 73 tahun.

Tanggal 15 Disember 2020, bapa kesayangan Tan Sri Dr Zeti atau dikenali sebagai Pak Ungku telah kembali ke rahmatullah pada usia 98 tahun ketika menerima rawatan di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur. Allahyarham yang juga tokoh akademik tersohor dalam bidang ekonomi di peringkat antarabangsa pernah menjadi Naib Canselor Universiti Malaya selama 20 tahun sejak 1968 hingga 1988.

Atas jasa dan sumbangan Allahyarham, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah memberi perkenan untuk menamakan semula Jalan Universiti di Petaling Jaya, Selangor dengan nama Jalan Prof Diraja Ungku Aziz pada 31 Disember lepas.

Kebijaksanaan Prof Ungku Aziz nyata diwarisi Tan Sri Dr Zeti yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Assunta dan kemudian bergelar siswazah Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Analitikal dari Universiti Malaya (UM) sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang kewangan dan ekonomi antarabangsa di University of Pennsylvania pada tahun 1978.

Menurut laporan media, Tan Sri Dr Zeti mendirikan rumah tangga dengan Dato’ Dr Tawfiq Ayman. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Alif Ayman Aziz dan Abdul Aziz.

Beliau dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia ketujuh pada tanggal 1 Mei 2000 sekaligus mencatat sejarah menjadi wanita pertama memegang jawatan berkenaan. Bersandarkan kecemerlangan Tan Sri Dr Zeti mengendalikan bidang perbankan negara, beliau sekali lagi diberi kepercayaan sebagai Gabenor Bank Negara pada 1 Mei 2011 bagi tempoh lima tahun seterusnya. Kini, Tan Sri Dr Zeti juga merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Pada Disember 2017, Tan Sri Dr Zeti menerima anugerah Darjah Matahari Terbit (Order of The Rising Sun) iaitu antara darjah kebesaran tertinggi di negara Jepun. Di samping itu, beliau juga pernah dianugerahkan sebagai Gabnor Bank Pusat terbaik dunia pada tahun 2015 dan diiktiraf sebagai Gabenor Bank Kelas A untuk tahun ke-11 berturut-turut dari Majalah Global Finance pada tahun 2014.

IKLAN
Share