SITI NOOR IASAH, Pembawa Jalur Gemilang Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Mula Aktif Sejak Usia 16

Bangga apabila melihat atlet paralimpik negara wanita yang bertanding dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi upacara pembukaan temasya sukan tersebut pada 24 Ogos yang lalu. Siti Noor Iasah bergandingan dengan jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin.

Menurut Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin pemilihan kedua-dua atlet itu berdasarkan pencapaian mereka sebelum ini serta melambangkan kepelbagaian kaum di Malaysia.

Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin yang berjaya menyumbangkan emas pertama kepada Malaysia.
Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin.

Siti Noor Iasah, pelari kelahiran Johor yang berusia 32 tahun ini sudah terbabit dalam dunia olahraga sejak usianya 16 tahun. Beliau pernah dinobatkan sebagai olahragawati para Malaysia pada tahun 2018. Beliau meraih pencapaiannya di tempat ke-4 dalam acara 400 meter wanita T20 (masalah pendengaran) di edisi Rio 2016.

Kegagalan meraih pingat emas 5 tahun lalu di temasya sukan Rio De Janeiro menjadi pembakar semangat Siti Noor Iasah untuk kembali bangkit memberi saingan dalam Sukan Paralimpik 2020 ini.

Bagaimanapun, cabaran pandemik COVID-19 telah mengehadkan dirinya daripada menyertai kejohanan utama dengan hanya simulasi di Majlis Sukan Negara menjadi kayu pengukur kekuatannya bagi mengatasi masa 58.55 saat yang dicapai di Rio de Janeiro.

Menurut Siti Noor Iasah, beliau ingin memperbaiki pencapaian catatan masa demi meraih pingat di Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Terpilih sebagai pembawa bendera Jalur Gemilang alam kejohanan kali ini turut mencetuskan keterujaan dan semangat buat Siti Noor Iasah untuk beraksi dengan lebih baik.

Siti Noor Iasah merupakan isteri kepada Muhammad Hafiz Abu Bakar yang merupakan jurulatih sambilan Majlis Sukan Negara. Sebelum ke Tokyo, Siti Noor Iasah pastinya sudah melakukan persiapan terbaik dari segi mental dan fizikal.

Siti Noor Iasah turun beraksi dalam sesi Saringan 2 yang turut menyenaraikan pemegang rekod dunia dan temasya dari Amerika Syarikat, Breanna Clark. Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang bakal berakhir pada 5 September ini menyaksikan kontinjen negara dibarisi 22 atlet yang bertanding dalam 9 jenis sukan.

Selamat berjuang wira dan wirawati negara!

Kredit Foto: Majlis Sukan Negara (MSN) & @sitinooriasah

IKLAN
Share