Solat Dalam HUJAN LEBAT Depan Kaabah, SHIMA Kelu Segalanya Kering Lepas Selesai Solat!

Allahu, meremang bulu roma dengar pendedahan Shima sewaktu pemergiannya ke Tanah Suci awal tahun lepas. Walaupun sudah hampir setahun berlalu, namun insiden mendirikan solat di depan Kaabah dalam keadaan hujan lebat cukup terkesan di hati pelantun lagu Teringin ini. Terpana dengan kejadian berkenaan, Shima sempat berkongsi detik-detik yang dilaluinya saat itu dengan harapan ia mampu meningkatkan lagi ketakwaan kita sebagai hamba Allah SWT.

Ditemui ketika sesi fotografi bersama Nona baru-baru ini, pemilik nama Ku Nazatul Shima Ku Kamaruzzaman membuka bicara. “Saya ingat lagi waktu itu di Mekah dan hari Jumaat. Saya dan Raja Nurfatimah Mawar dapat solat betul-betul di depan Kaabah. Punyalah lebat hujan, tapi dalam basah pun kami tetap solat. Lepas solat, saya bangun tengok semua kering je. Terus terdetik rasa, eh.. macam tak ada apa-apa berlaku. Kuasa Allah.”

Seronok dengar pengalaman Shima ketika mengerjakan umrah di Mekah tajaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 26 Januari lalu. Salah satu peristiwa manis dan tidak dapat dilupakan penyanyi berusia 50 tahun ini adalah ketika ingin menunaikan solat di Raudah.

“Masa masuk Raudah saya berdoa, ‘Ya Allah Ya Tuhanku, izinkan aku solat di sini’. Daripada suasana ramai orang bertolak-tolak di dalam tu, seolah-olah ada satu bulatan kecil untuk saya. Macam orang semua ke tepi dan ada laluan kecil di situ yang saya dapat solat. Itu ajaibnya.”

Kongsinya lagi, “Di Madinah waktu tu sejuk tapi di Mekah dah panas. Peliknya, saya tak terasa panas pun dan tak ada berpeluh-peluh sampai sekarang walaupun dah bertudung.

 

 

Saya memang teringin berhijab dah lama.. memang dah simpan dalam hati. Pernah terdetik kalaulah dapat menjejakkan kaki di Tanah Suci, aku akan terus berhijab. Tak lama lepas tu dapat tawaran mengerjakan umrah dari Jabatan Perdana Menteri dengan rakan artis.

Setibanya sampai di sana rasa tenang sangat. Saya pun cakap dengan mutawif.. balik nak bertudung terus. Alhamdulillah, sampai sekarang saya selesa berhijab.

“Masa first time nampak Kaabah tu, perasaan dia sukar nak ungkap. Dari KL saya dah mula rasa takut sebab kita rasa dosa tu dah banyak sangat. Dalam hati cakap janganlah sampai tak nampak Kaabah.

Masa buat umrah pertama, mutawif tunjuk tu Kaabah. Saya nampak je terus menitik air mata. Terus terflashback apa yang kita buat muda-muda dulu. Perkataan pertama, SubhanAllah. Tersergam indah di tengah-tengah tu. Terasa tenang sangat. Masa dapat peluang masuk Raudah, macam-macam saya berdoa. Hijir Ismail pun saya dapat masuk. Rezeki.”

Disebabkan kurang tawaran menyanyi dan keadaan Shima yang menderita sakit slip disc, isteri Abdullah Rusli ini akhirnya membuka warong makan Teringin di perkarangan rumahnya untuk menampung hidup.

Walaupun keuntungan yang diterima tidak semewah mana, namun sekurang-kurangnya ia mencukupi untuk perbelanjaan mereka suami isteri di samping keperluan ubat-ubatannya setiap bulan.

 

“Saya dah rasa dunia glamor ini.. cukuplah. Dah rasa semua. Kita ni macam roda ada masa di atas, ada masa di bawah dan jatuh terduduk. Kena kuat, bangun dan berusaha. Alhamdulillah, suami banyak beri sokongan juga dari keluarga dan ibu. Tidak kira sesiapa pun dan bukan artis misalnya suri rumah tangga.. kena kuat dan bangun. Inshaallah rezeki tak akan salah alamat.”

 

 

IKLAN
Share