Suara SITI NURHALIZA Jadi Pembakar Semangat Lawan Sakit, Gadis Ini Terharu Jumpa Idola!

Datuk Seri Siti Nurhaliza sememangnya punya aura luar biasa. Bakat dan kelunakan suaranya bukan saja menghiburkan hati pendengar bahkan ia ‘merawat’ semangat seorang pesakit polio di Indonesia. Mula meminati penyanyi tersohor Malaysia tersebut pada tahun 1997 hingga kini, video Khusnul Khotimah yang menderita sakit polio dan menyimpan hasrat bertemu bintang pujaannya baru-baru ini nyata meruntun jiwa penonton.

Reaksi sebak dan tangis Khusnul sebaik melihat kelibat Datuk Seri Siti dalam program Indonesia, Hitam Putih membuatkan penonton berlinangan air mata. Sambil duduk di atas kerusi roda menyanyikan lagi ‘Bukan Cinta Biasa’… gadis berasal dari Surabaya ini bagaikan bermimpi apabila dia akhirnya berpeluang memeluk cium idola kesayangan.

Tatkala ditanya apa yang membuatkan dia meminati penyanyi berusia 40 tahun tersebut, ini jawapan yang diberikan Khusnul. “Bagi saya dia adalah semangat hidup saya. Dalam hati ingin bertemu sangat Kak Siti. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kak Siti sebab menjadi semangat hidup saya selama ini. Mendengar suara beliau, saya rasa sangat semangat.”

Terharu mendengar luahan ikhlas peminat setia, Datuk Seri Siti yang hadir membuat kejutan pada program berkenaan turut kelihatan sebak.

“Alhamudillah saya bersyukur kerana Allah kurniakan saya bakat. Allah kurniakan Siti Nurhaliza ini… dikenali di Malaysia, Indonesia dan dengan suara saya, saya bisa mendekatkan diri dengan peminat. Yang mana peminat saya bukan yang biasa-biasa… ini insan yang luar biasa.

Allah itu kurniakan keistimewaan kepada setiap insan. Kalau saya tak jadi Siti Nurhaliza yang penyanyi ini, saya tak bisa ketemu dia. Allah itu Maha Hebat. Melalui lagu saya, saya boleh berjumpa dengan ramai orang,” ujarnya penuh syukur.

Beruntungnya Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana disayangi ramai. Meskipun sudah lebih dua dekad menghiburkan hati para peminat di serata dunia namun auranya masih berbisa hingga ke hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Siti juga dikhabarkan bakal mengadakan konsert solo di Istora Senanyan, Jakarta pada 21 Februari nanti.

 

IKLAN
Share