Sudah SEDEKAD Dalam Industri, Serlah Sisi Kematangan & Ketenangan NEELOFA

Sudah sedekad rupanya ikon hijabi Asia tersohor, Neelofa berada dalam industri. Tempoh 10 tahun sudah cukup melambangkan kematangan perjalanan anak kelahiran Cik Siti Wan Kembang berusia 31 tahun ini. Patutlah Neelofa kini nampak makin tenang dan kurang kontroversi namun pengaruhnya tetap luar biasa!

Sehingga artikel ini ditulis, jumlah pengikutnya di Instagram mencecah 7.3 juta. Sama ada dipuji mahupun dikecam Neelofa tetap Neelofa. Seorang yang sentiasa positif dan optimis dengan setiap perkara yang dilakukan.

Tak pernah lelah untuk mencipta nama sampai ke pentas global, selain gigih mencipta portfolionya yang tersendiri, sekurang-kurangnya pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor ini telah membawa nama Malaysia dikenali di pentas fesyen antarabangsa dengan membawa imej Muslimah berhijab.

BUKAN MUDAH
“Perjalanan ini bukan mudah, alhamdulilah segalanya berjalan dengan lancar. Saya sudah lama meletakkan sasaran untuk melangkah lebih jauh dalam karier. Saya perlu lebih produktif dan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap karier.

Banyak pengalaman mematangkan saya. Segala kecaman mahupun pujian tidak mempengaruhi saya, sikit pun tak terkesan. Diam tak bermakna saya tak ambil peduli kerana saya mendengar apa yang orang kata selagi kecaman itu tak menjejaskan reputasi.

Saya bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang banyak menyokong selama ini terutama keluarga. Banyak lagi yang saya perlu belajar to achieve more great things,” kongsi Neelofa yang merupakan satu-satunya Muslimah berhijab yang terpilih menjadi ‘keluarga’ agensi modeling terkenal, Established Models (EST) yang terletak di kota London.

Tak sekadar sukses dalam industri fesyen, Neelofa juga cemerlang sebagai usahawan Naelofar Hijab. Maka tak hairanlah Neelofa sering dijadikan inspirasi khususnya di kalangan generasi muda.

TRENDSETTER
Sebut saja Neelofa kita pasti membayangkan penampilannya yang ‘mahal’ dan ekslusif membawa jenama-jenama terkenal antarabangsa. Apa jua yang ditonjolkan pasti mendapat perhatian.

“Untuk setiap penampilan baru adalah mengikut nasihat daripada penata gaya saya sendiri. Dalam masa sama, saya gemar mencabar diri untuk mencipta stail baru. Saya gemar melakukan eksperimen fesyen mengikut cita rasa sendiri.”

Impiannya dalam tempoh 5-10 tahun akan datang mahu meluaskan lagi empayar bisnes ke Eropah dan Timur Tengah. Neelofa juga mengimpikan untuk memiliki one-stop-centre bagi jenamanya seperti tudung, hotel, residen, agensi pelancongan, F&B, pusat kecantikan dan sebagainya. Semoga Neelofa terus berjaya di pentas fesyen antarabangsa dan juga pengacaraan serta lakonan.

Kredit Foto: Instagram @neelofa

IKLAN
Share