
Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah sebagai Sultanah Kelantan, berkuat kuasa hari ini. Pengisytiharan tersebut secara langsung turut menamatkan penantian rakyat negeri Kelantan yang sudah lama tidak memiliki Sultanah sendiri.
Sultan Muhammad V adalah Sultan Kelantan ke-29 yang dimasyhurkan pada 13 September 2010. Berusia 53 tahun, baginda merupakan putera sulung Sultan Kelantan ke-28 dan kakanda kepada Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Tengku Bendahara Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Maharani Putri Tengku Amalin A’ishah Putri.
Diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur dan Oakham School Ruthland di England.
Amat dikenali sebagai seorang Sultan yang warak dan berjiwa rakyat, baginda juga meminati pelbagai sukan lasak seperti kenderaan pacuan empat roda, ekuestrian, sukan memanah, menembak serta gemar memelihara hidupan liar.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membacakan pengisytiharan tersebut di Istana Balai Besar yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad.
Menurut Ahmad, pengisytiharan dilakukan menurut Fasal (1) Perkara 43 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) bagi pemakluman kepada negeri dan rakyat amnya.
Dalam pengisytiharan yang sama, baginda juga memperkenankan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra iaitu isteri Tengku Mahkota Kelantan sebagai Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan. Kurniaan pangkat itu berkuat kuasa hari ini.
Nikah Siam, Peguam Amirul Akmal Dedah Dugaan Isteri Bermadu Adik Kandung Sendiri

Umum mengetahui bahawa isu poligami tanpa kebenaran Mahkamah ini merupakan suatu isu yang tiada titik penyelesaian yang kukuh.
Terdapat satu kisah benar yang telah terjadi, seperti yang diceritakan peguam syarie Amirul Akmal dari Amirul Akmal Associates, di mana seorang isteri yang dimadukan dengan adik kandungnya sendiri dan kisah ini beliau kongsikan untuk memberi pengajaran kepada semua.
Suatu hari telah datang seorang wanita dalam keadaan sedih dan buntu dengan apa yang telah berlaku di dalam rumah tangga beliau. Kata beliau, “Saya datang nak semak betul ke suami saya dah nikah dengan adik kandung saya, Tuan boleh semak ke?”
Setelah disemak didapati tiada sebarang rekod perkahwinan tersebut telah didaftarkan.

Saya memberitahu, “Puan, tiada perkahwinan didaftarkan atas nama suami dan adik kandung Puan.”
Beliau menceritakan bahawa perkara ini telah berlarutan hampir 5 tahun lamanya dan adik kandung beliau telah mempunyai anak dengan suaminya.
“Apa tindakan saya boleh buat Tuan, saya rasa perbuatan ni berdosa, bermadu dengan adik kandung sendiri tak pernah terfikir dek akal yang waras perkara ini berlaku,” ceritanya.
Ya, di Mahkamah anda akan jumpa kes yang pelik-pelik dan perkara ini normal bagi sesiapa yang selalu ke Mahkamah Syariah.
Nak ditelan mati emak, nak diluah mati bapa. Seperti itulah keadaan beliau, beliau tidak mahu bercerai dengan suami kerana telah lama berumah tangga dan beliau ingin menyelamatkan perkahwinan beliau.
Undang-Undang
Tiada tindakan yang boleh beliau ambil kerana pada asasnya perkahwinan antara suami dan adik kandung beliau tidak pernah didaftarkan maka perkahwinan tersebut dikira tidak wujud di dalam peruntukan undang-undang.
Sepertimana telah dinyatakan di bawah S23 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) yang menyatakan bahawa tiada perkahwinan yang boleh diakadnikahkan tanpa kebenaran Mahkamah boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syarak dan Mahkamah telah memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada S124.
Pada asasnya sesuatu perkahwinan yang diakadnikahkan di luar negara perlu didaftarkan dengan membuat pengesahan nikah (poligami). Namun begitu, jika sesuatu perkahwinan yang tidak didaftarkan langsung makanya perkahwinan tersebut dikira tidak wujud menurut enakmen ini.
“Oleh yang demikian, tiada suatu tindakan boleh dibuat di Mahkamah Syariah mengenai isu Puan ini, kata saya ketika menjawab pertanyaan beliau. Sekarang bila perkahwinan tiada jika suami masih ke rumah adik dan bermalam di sana, saya sarankan Puan buat laporan kepada Pegawai Penguatkuasa Agama bahawa mereka berkhalwat untuk membolehkan kebenaran mengenai pernikahan mereka dibawa ke Mahkamah,” usul saya.
Nasihat saya kepada wanita di luar sana terutamanya yang telah berpoligami dan bernikah di luar negara supaya terus cepat-cepat mendaftarkan perkahwinan tersebut, rujuk peguam syarie yang bertauliah insya allah peguam akan mudahkan urusan klien di Mahkamah Syariah.
Ekoran dari tindakan membiarkan perkara ini berlarutan akan memberikan kesan jangka panjang yang anda tidak jangka kelak. Jika suami anda mati, anda tidak boleh menuntut bahagian dalam faraid.
Begitu juga jika diceraikan, anda tidak boleh menuntut harta sepencarian, anda tidak boleh menuntut mutaah, anda tidak boleh menuntut segala hutang perkahwinan dalam erti kata lain semua tindakan undang-undang tidak boleh diambil selagi mana perkahwinan ini tidak didaftarkan dan dikira wujud di bawah enakmen.
Apa pula kesan kepada anak jika suami mati atau berlakunya penceraian? Anak anda tidak layak mendapat bahagian faraid jika suami mati, anak anda tidak layak menuntut nafkah anak jika suami menceraikan anda.
Usahlah merumitkan keadaan sedangkan wujudnya undang-undang itu untuk mengatur dan mentertibkan manusia supaya hidup dalam satu aturan dan tiada kacau bilau. Bilamana wujudnya undang-undang maka kita wajib mematuhinya supaya norma aturan masyarakat tidak menjadi kacau-bilau atau tidak terkendali.
Jadinya kepada wanita di luar sana, ingatlah dan ketahuilah hak anda supaya anda tidak menyesal di kemudian hari ibarat sakit menimpa, sesal terlambat. Semoga ada iktibar dari kisah ini untuk sidang pembaca sekalian.
Sumber: Peguam Syarie: Amirul Akmal (klik sini)
Usia 53 Tahun Ella Masih Ligat Di Pentas. Bakal Adakan Konsert Unplugged Mac ini!

Lebih dua dekad bersemayam dalam industri muzik, Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin bakal mengubati kerinduan peminat-peminat setianya setelah berjaya memukau ppara peminatnya di persembahan konsert berskala besar pada tahun 2016 yang lalu. Siapa kata pada usia 53 tahun, Ella bakal memperlahankan kariernya, malah isteri kepada Kapten Azhar Ghazali terus aktif dan menghiburkan para peminat yang sentiasa merindui persembahannya yang bertenaga.

berlangsung selama tiga hari bermula 29, 30 dan 31 Mac 2019 di Istana Budaya ini diberi judul Ella Unplugged In KL.
“Ini bukan sekadar platform yang menguji kredibiliti Ella sebagai seorang penghibur,tetapi mahu melihat kesetiaan peminat Ella juga,” ujar penyanyi tersebut penuh teruja.
Datuk Rashidi Hasbullah, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni danBudaya Malaysia turut berbesar hati dengan penganjuran konsert Ella Unplugged In KL kerana ia menampilkan segmen kebudayaan pada setiap malam terkenal dengan genre rock mengangkat elemen seni budaya dan warisan negara menerusi segmen kebudayaan. Konsep persembahan sebegini membuktikan genre muzik boleh digabungkan kerana ia bersifat universal,” ujarnya.
Pihak Istana Budaya sendiri teruja untuk menjadi lokasi Ella Unplugged in KL kerana ia akan ‘menguji’ tentang naik taraf sistem audio dan penambahbaikkan keseluruhan panggung yang dilakukan sebelum ini. Konsert ini turut mendapat sokongan dan kerjasama ASWARA dimana pihak ASWARA telah diberi peluang daripada pihak PROJEK ELLA dengan melibatkan alumni dan pelajar tahun akhir dalam perancangan serta pengendalian pengurusan pentas sebelum dan selepas konsert berlangsung.
Malah pihak JKKN juga turut bekerjasama dengan melibatkan penari cilik PERMATA dalam salah satu segmen persembahan kelak. JKNN turut menyediakan pemuzik alat muzik tradisional sewaktu segmen yang pasti dtunggu-tunggu oleh peminat Ella! Konsert membasuh rindu ini akan berlangsung selama sejam setengah dengan diiringi tujuh pemuzik handalan yang menjadi instrumen penting dalam EllaUnplugged in KL.
Tiket early bird mula dijual bermula 2 januari 2019 lalu melalui www.proticket.com.my. Jangan lepas peluang menyaksikan persembahan hebat dari Ratu Rock Malaysia nanti!
2 WANITA Ini Berkongsi Cabaran Yang Dilalui Sebelum Terpilih Sertai KAYAK MALAYSIA-NILE RIVER 2017, Memang BERJIWA KENTAL!

Pernahkah anda terbayang mampukah anda mengangkat beban berupa 20 liter air mineral untuk naik dan turun Batu Caves sebanyak 14 kali? Bagi yang tidak mempunyai stamina yang kuat, pastinya sudah ‘pancit’ atau ‘surrender’ di separuh jalan.
Itulah antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan kayak Majlis Rekreasi Malaysia (MRM) yang akan menggalas cabaran negara November ini dalam misi mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records sebagai kumpulan pertama dari Malaysia yang melakukan ekspedisi ekstrem.
Ekspedisi Kayak Merentasi Sungai Nil 2017 merupakan satu program berbentuk ekplorasi dan nilai budaya. Program ini lebih menekankan kepada ketahanan fizikal, mental dan semangat juang yang tinggi.
Kesemua peserta akan berkayak dari Aswan ke Luxor dengan jarak 250 kilometer (km). Misi nasional ini digalas oleh tujuh penjelajah negara yang terdiri daripada anak-anak muda tempatan iaitu lima lelaki dan dua wanita yang telah terpilih dari kalangan 72 peserta. Mereka dilatih sepenuhnya oleh Muhamad Nur Azrul yang juga merupakan Presiden MRM.
Berkongsi pengalaman dengan pembaca NONA, Pembaca Berita Sukan dan Wartawan Sukan TV3, Hasnida Hanim Ahmad Kamil merupakan salah seorang dari dua wanita yang berjaya melepasi halangan dan terpilih untuk menyertai ekspedisi ini.
Menurutnya, kemampuan wanita dalam sukan lasak sememangnya tidak boleh disangkalkan lagi apabila dia dan seorang lagi peserta wanita, Rosliza Saad terpilih menyertai ekspedisi yang lebih menekankan kepada ketahanan fizikal, mental dan semangat juang yang tinggi.
Menurut Hasnida Hanim lagi, gemar kepada aktiviti lasak dan aktiviti fizikal banyak mendorong dirinya untuk membulatkan tekad menghantar permohonan untuk menyertai aktiviti ini.
“Saya sememangnya gemar akan aktiviti lasak dan pernah menyertai aktiviti maraton dan hiking. Bagi aktiviti berkayak pula, ini merupakan penyertaan pertama. Sebelum ini, saya hanya melakukan aktiviti kayak untuk aktiviti rekreasi sahaja. Perasaan teruja dan mahu mencabar kemampuan diri menjadi pendorong untuk saya mendaftarkan diri dalam ekspedisi ini,” ujarnya yang suatu ketika dahulu merupakan atlet kebangsaan dalam acara silat olahraga tahun 2003 mewakili Perak.
CABARAN BUAT WANITA KENTAL
Menyingkap corak latihan intensif yang dijalani selama 4 bulan, menurut Hasnida antara pengalaman latihan yang tidak dapat dilupakan adalah apabila terpaksa memanjat tangga Batu Caves dengan membawa bersama beban seberat 20 liter air mineral untuk turun dan naik sebanyak 14 kali.
“Pengalaman menyertai latian intensif selama 4 bulan sememangnya menguji tahap fizikal dan emosi saya. Antara pengalaman latihan yang tak dapat dilupakan adalah ketika terpaksa memanjat tangga Batu Caves dengan membawa bersama beban seberat 20 liter air mineral untuk turun dan naik sebanyak 14 kali. Memang sukar jika dilihat dari mata kasar. Tetapi Alhamdulillah kami berjaya melakukannya,” ujar Hasnida yang terpilih menyertai ekspedisi ini bersama Rosliza Saad, dua wanita yang terpilih daripada 72 peserta yang turut menghantar permohonan.
Tambah Hasnida Hanim lagi, minat terhadap sukan outdoor menjadi pendorong utama untuk dirinya bersemangat jitu menyertai ekspedisi ini.
“Untuk ekspedisi ini,cabaran sememangnya ada terutamanya untuk kami, dua orang wanita yang terpilih. Tetapi memandangkan saya dan Eja sememangnya menggemari aktiviti lasak, ianya tidak menjadi halangan untuk kami training bersama peserta kayak lelaki. Kami akan menaiki kayak secara solo. Jadi, tujuh kayak akan digunakan untuk ekspedisi ini. 7 penjelajah 7 kayak,” ujar Hasnida Hanim yang yakin dengan kemampuan wanita.
Sungai Nil adalah satu dari dua sungai terpanjang di bumi. Sungai Nil mengalir sepanjang 6.650 km dan merentasi lebih Sembilan buah negara iaitu Ethiopia, Zaire, Kenya, Uganda, Tanzania, Rwanda, Burundi, Sudan, dan Mesir.
Sungai Nil mempunyai peranan sangat penting dalam peradaban, kehidupan dan sejarah bangsa Mesir sejak ribuan tahun yang lalu. Salah satu sumbangan dari Sungai Nil adalah kemampuannya dalam menghasilkan tanah subur sebagai hasil sedimentasi di sepanjang daerah aliran sungainya. Tanah yang subur ini memungkinkan penduduk Mesir mengembangkan pertanian dan peradaban sejak ribuan tahun yang lalu.
Tujuh peserta yang akan mengalas cabaran negara pada 8 hingga 19 November ini ialah, Rosliza Saad, Hasnida Hanim Ahmad Kamil, Wan Zulhamli Wan Abdul Rahman, Izwan Md Sumairi, Mohd Haniff Muhamad Zain, Shamsudduha Junaidi, dan Ahmad Iqbal Khairi Ismail. Pasukan ini kini telah berada di Aswan dan memulakan ekspedisi seperti yang direncanakan.
Semoga peserta ekspedisi ini berjaya mengharungi misi ini dengan jayanya sekaligus mengharumkan lagi nama Malaysia di mata dunia. Selamat maju jaya dari team NONA!ROSMAH IDAYU ABU SAMAH