SUSHERRIE SUKI Graduan Orang Asli Pertama Terima Ijazah Kelas Pertama Dari Universiti Terkemuka Di Dunia

Mahasiswa Orang Asli dari suku Semai, Susherrie Suki, mencipta sejarah apabila berjaya menamatkan pengajian peringkat Sarjana Muda dengan ijazah kelas pertama di universiti ternama, University College London (UCL).

Susherrie Suki.

Perkongsian di Facebook Persatuan Orang Asli Perak, Susherrie Suki yang berasal dari Perak menamatkan pengajian Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Hartanah di Bartlett School of Planning UCL.

“Kami dari Persatuan Orang Asli Perak ingin mengucapkan tahniah kepada Saudari Susherrie Suki kerana telah berjaya menamatkan pengajian bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dari Bartlett School of Planning di University College London (UCL), United Kingdom dalam bidang Perancangan Bandar & Hartanah (Bachelor of Science Urban Planning & Real Estate with First Class Honours).

“Beliau juga merupakan pelajar Orang Asli yang mendapat tajaan Biasiswa MARA di bawah Program Young Talent Programme (YTP) untuk melanjutkan Ijazah Sarjana Muda di mana beliau sebelum ini mendapat keputusan SPM yang sangat cemerlang iaitu 10 A’s.”

Susherrie Suki juga merupakan graduan Orang Asli pertama dari Semenanjung Malaysia dianugerahkan Ijazah Kelas Pertama dari UCL, sebuah universiti terkemuka di dunia di mana ranking semasa universiti ini adalah di tangga ke-8 dunia (QS World University Ranking 2023) dan tangga ke-4 bagi universiti di United Kingdom.

Susherrie Suki berasal dari Perak Darul Ridzuan. Ibu dan bapanya merupakan Orang Asli suku kaum Semai yang berasal dari Kampung Orang Asli Chinggung, Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak dan Kampung Orang Asli Ulu Geruntum, Gopeng, Perak.

Seterusnya, Susherrie Suki berjaya mendapat tawaran untuk menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang Rekabentuk Bandar & Perancangan Bandar (Urban Design & City Planning) di universiti sama.

Beliau fasih berbahasa Orang Asli Semai, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina-Mandarin dan Bahasa Melayu. Beliau juga aktif dalam pelbagai aktiviti peringkat universiti dan luar universiti seperti:

1. Ahli dalam Pertubuhan Diraja Perancangan Bandar (Royal Town Planning Institute – RTPI)
2. Bartlett Urban Planning Society (Ketua Biro Publisiti)
2. UCL Malaysia Society (Ketua Biro Perhubungan & Korporat )
3. Ahli Persatuan Orang Asli Perak (POAP)
4. Ahli Persatuan Mahasiswa Orang Asli Malaysia (PMOA)

Berita kejayaan Susherrie Suki turut mendapat perhatian Pengerusi Biro Perhubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA, Cally Ting Zhao Song.

“Jadikan kejayaan Susherrie Suki sebagai dorongan dan pembakar semangat untuk cipta sejarah. Diharapkan kejayaan ini menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada semua golongan muda di luar sana agar terus berusaha demi mencapai kejayaan, yang bukan sahaja membanggakan diri sendiri serta keluarga, tetapi juga membanggakan masyarakat dan negara.”

Tahniah dari Majalah Nona, semoga Susherrie Suki terus sukses!

Sumber & Kredit Foto: Facebook Persatuan Orang Asli Perak

IKLAN
Share