Syukur Dapat Berbakti! Seminggu Sebelum Meninggal, Alya Iman Sempat Mandikan Arwah Bapanya

Masih terbayang saat menyaksikan aksi nakal seorang siswa universiti lakonan mantap arwah Haji Azmil Mustapha melalui filem Ali Setan. Aksi bersahaja dan spontannya ini telah menyuntik semangat ramai remaja ketika itu untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

Nama figura ini kekal sebagai pelakon yang berkaliber dan mampu menghayati setiap watak dilakonkan. Noktah akhir dalam riwayat hidupnya benar-benar telah memberi kesan terhadap keluarga tercinta, lebih-lebih lagi anak bongsunya, Nur Alya Iman.

Gadis yang telah mencebur diri dalam bidang peragaan sejak usia 13 tahun ini nyata lebih matang daripada usianya yang sebenar. Hubungan akrab sebagai anak bongsu telah memberi tamparan hebat dalam diari hidupnya.

 

Menyelami hati pelakon dan model Muslimah ini telah menjentik hati setiap insan yang bergelar anak. Gadis cekal ini tidak mahu menghapuskan setiap momen indah yang tercipta bersama insan tersayang yang digelar Babah.

Foto: Instagram @alyimm

Tidak semua orang mempunyai rezeki untuk berjumpa dengan bapa tercinta sebelum menghembuskan nafasnya terakhir. Alya beruntung kerana sempat berjasa kepada bapanya buat kali terakhir dan merupakan orang terakhir dipandang oleh bapanya.

“Hari terakhir berjumpa ketika pagi sebelum arwah menghembuskan nafas yang terakhir. Babah kejut saya untuk bangun solat subuh. Kerana terlalu mengantuk saya tidur kembali selepas solat subuh.

Foto: Instagram @alyimm

Kemudian saya nak tumpang mandi dalam bilik air Babah lalu saya kejut dia tanya nak makan apa. Lepas tu dia bangun dan jawab, lepas ni Babah akan pergi beli makanan. Kemudian saya masuk bilik mandi dan lepas mandi keluar tengok kenapa babah tak bergerak macam lain macam jer. Saya kejut namun Babah telah meninggalkan kami buat selama-lamanya.

Foto: Instagram @alyimm

Seminggu sebelum Babah meninggal dunia, arwah minta saya mandikan kerana tangan tak sampai nak gosok belakang badan. Tiba-tiba bila saya sedang mandikan dia, dia menangis. Dia cakap rindukan anak-anak dia.

Foto: Instagram @alyimm

Babah cakap dia rindu saya dan terus menangis. Saya adalah orang yang paling rapat dengan Babah. Kalau sakit memang saya yang akan teman di hospital. Mandi, masak dan bangun malam memang saya yang jaga. Walaupun masih lagi muda semangat bekerja saya adalah untuk Babah. Saya sanggup berhabis untuk menggembirakannya.

Saya suka melayan Babah makan mengikut keinginannya. Babah suka makan sushi, kami akan keluar berdua makan sushi bersama-masa. Benda yang paling buat babah happy sebelum babah meninggal apabila saya dapat tukar cadarnya yang telah usang.

Foto: Instagram @alyimm

Katil dia dah keras jadi saya sendiri rasa tak selesa. Saya banyak beli alas baru, bantal baru, dan sarung bantal. Walau hanya seminggu babah dapat menikmati hasil titik peluh saya bekerja namun saya tidak berasa ralat,” ujar Alya sambil menyapu pipi yang basah dengan air mata.

Foto: Instagram @alyimm

Siapakah Azmil Mustapha di mata Alya? Saya memang secara jujurnya tidak tahu siapa babah sebenarnya dahulu. Saya tidak tahu arwah merupakan seorang anak seni yang disegani. Apabila keluar dengannya dan saya perasan ada mata memandang dan bertanya, arwah akan cakap itu kawannya. Kami adik-beradik tersentuh banyak orang yang berkata he is a good person, Babah banyak memberi kesan kepada kehidupan mereka dan sebagainya. Kami kagum dengan babah!

Foto: Instagram @alyimm

Sebagai seorang bapa, Azmil seorang yang kelakar penghibur dan sentiasa buat semua orang happy, tetapi dia juga garang. Jangan cuba cari fasal kerana dia garang dengan anak-anak. Adik-beradik yang lain kata saya seorang anak yang manja dan tidak pernah kena marah. Jangan sekali-kali menipu arwah. Saya pernah sekali tertangkap dengan babah kerana menipu. Akibatnya saya kena denda tidak boleh keluar rumah selama sebulan dan telefon bimbit kena tarik,” ungkap Alya mengenangkan momen indah bersama bapa tersayang.

Pesan arwah yang masih terngiang-ngiang adalah jangan sekali-kali tinggal solat, sentiasa merendah, hormat semua orang dan jaga imej serta nama keluarga. Jangan sombong dengan orang tidak kira tua atau muda.

Apabila diajukan tentang persoalan dunia modelling yang diceburinya, tutur Alya lembut, “Babah tak pernah halang apa yang saya ceburi malah beri galakan. Dia very supportive terhadap apa sahaja impian anak-anak. Dia kata kalau buat sesuatu itu biar sampai peringkat tertinggi.

Foto: Instagram @alyimm

Kalau saya mahu meneruskan kerjaya dalam bidang modelling, biar sampai berjalan di atas pentas fesyen New York. Sekarang sudah ramai model-model berhijab diterima di sana. Tidak mustahil suatu hari nanti saya akan mengotakan cabaran Babah,” terang Alya yang bercita-cita menjadi juruterbang pada zaman kecilnya.

IKLAN
Share