Gaya Hidup

Syukur Scha AlYahya Berjaya Buang Endometriosis Dalam Rahim Buat Kali Kedua

Selebriti yang sentiasa cantik dan bijak mengadun gaya Scha AlYahya dilaporkan telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam rahimnya baru-baru ini. Ketumbuhan dalam rahim yang dikenali sebagai Endometriosis ini merupakan pembedahan kali kedua buat ibu kepada Lara Alana ini.

Sebelum ini Scha AlYahya pernah menjalani pembedahan yang sama sekitar tahun 2013 sebelum menerima kehadiran anak sulungnya. Kongsi Scha AlYahya, “Ketika membuat pemeriksaan pada Disember lalu, saya dimaklumkan terdapat ketumbuhan baru dan disarankan untuk menjalani pembedahan.

Menurut Scha, disebabkan ketumbuhan itu menyukarkan dirinya untuk hamil. “Meskipun ada penghidap sama boleh hamil, namun dalam kes saya ini antara punca saya susah nak hamil lagi.

Jadi, saya berdoa selepas ini dipermudahkan proses untuk hamil kali kedua. Meskipun ada rawatan alternatif lain untuk hamil, tapi sekurang-sekurangnya saya kena buang ketumbuhan ini dulu,” kongsi Scha AlYahya.

PUNCA ENDOMETRIOSIS

Pakar percaya bahawa sel-sel tertentu daripada lapisan uterus mungkin boleh melimpah ke belakang di sepanjang tiub fallopio dan kemudian membesar di dalam abdomen. Satu lagi teori mengaitkan saki-baki tisu embrio itu sendiri yang terbentuk sejak di dalam rahim ibu, mungkin membesar menjadi endometriosis apabila dewasa.

Tahap endometriosis bergantung pada di mana ia melekat, berapa dalam dan tempoh mengalaminya; kerana semakin lama bermakna calar dan parut semakin banyak mendatangkan masalah. Tisu parut yang berkembang boleh mengikat organ tanpa disedari.

SIMPTOM ENDOMETRIOSIS

  • Senggugut yang teruk.
  • Sakit ketika melakukan seks.
  • Sukar untuk hamil.
  • Sakit sewaktu ovulasi.
  • Darah haid keluar terlalu banyak atau sedikit.
  • Sakit ketika membuang air besar, cirit-birit, sembelit.
  • Sakit ketika membuang air kecil atau terlalu kerap kencing.

Endometriosis boleh menyebabkan kemandulan apabila tiub fallopian tersumbat dan merosakkan sistem ovari. Walaupun tiada penawar yang tepat untuk mengubatinya, namun ada dua jenis rawatan utama bagi endometriosis iaitu penggunaan ubat-ubatan dan pembedahan. Keputusan terhadapnya bergantung pada:

  • Tahap keterukan simptom anda.
  • Lokasi dan saiz ketumbuhan endometrium.
  • Keinginan anda untuk mendapatkan anak.
  • Faktor usia.

Sumber: Harian Metro
Foto: Instagram @schaalyahya

IKLAN
Share