Tahniah! Pernah Terima Gelaran Datuk, Kini ROSSA Dianugerahkan Gelaran Dato’ Sri

Penyanyi kelahiran Indonesia, Datuk Rosa Roslaina Handiyani atau lebih dikenali sebagai Rossa mendahului 79 penerima pingat dan darjah kebesaran sempena Istiadat Memuliakan Ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah hari ini.

Pelantun lagu Ayat-Ayat Cinta itu dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama 21 individu lain termasuk Raja Puan Mahkota Perak, Raja Datuk Seri Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris Shah.

Pada tahun 2013, Rossa telah dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, bersempena ulang tahun keputeraan ke-83 Sultan Pahang kira-kira lima tahun yang lalu.

Penyanyi kelahiran Sumedang, Indonesia mula aktif dalam bidang nyanyian pada 1995 dan menempa nama di negara dengan lagu-lagu seperti ‘Atas Nama Cinta’, ‘Ayat-Ayat Cinta’, ‘Hati Yang Kau Sakiti’ dan ‘Aku Bukanlah Untukmu’.

Pada majlis penganugerahan yang telah diadakan di Istana Sultan Abu Bakar, Pekan Pahang hari ini, Rossa kelihatan anggun menggayakan baju kurung hasil pereka tempatan iaitu Amir Luqman rona lembut yang tampak sopan dan anggun digayakan oleh ibu kepada seorang cahaya mata ini.

Laman instagram penyanyi popular Indonesia itu dihujani ucapan tahniah dari para peminat yang ternyata berbangga dengan pencapaian penyanyi genit yang mesra dan ramah ini. Tahniah Dato’ Sri Rosa Roslaina Handiyani atau lebih dikenali sebagai Rossa!

 

Sumber: BERNAMA

Foto: IG itsrossa910

IKLAN
Share