Gaya Hidup

Tahun Ini Che Ta Sediakan RM3K Untuk Duit Raya

Kurang tiga hari sahaja lagi umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sudah menjadi tradisi kita untuk berkumpul seluruh keluarga bersalam-salaman dan bermaaf-maafan di pagi raya. Perayaan umpama tidak lengkap andai tidak menghulurkan duit raya kepada kanak-kanak. Memang ‘adat’ menghulurkan duit raya bukan suatu kemestian, tetapi apa salahnya menggembirakan hati kanak-kanak sebagai habuan setelah sebulan belajar berpuasa.

Selebriti terkenal Rozita Che wan juga antara personaliti yang pemurah dan gembira apabila dapat berkongsi rezeki dengan kanak-kanak di pagi Syawal. “Bagi duit raya pula biasanya saya akan memperuntukkan wang sebanyak RM3000 untuk mengisi sampul duit raya. Maklumlah anak saudara saya ramai, itu pun seorang saya bagi RM100. Ikut hati memang nak tambah jumlah duit raya tapi tiap-tiap tahun bilangan anak-anak buah akan bertambah. So

tak jadi lah, maintain setakat itu sahaja,” tutur Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta sambil tertawa.

Menurut isteri kepada pelakon Oh My English, Zain Saidin ini, ada juga peruntukan duit raya untuk anak-anak sendiri dan juga mak tersayang. Berbeza dengan wanita lain Che Ta kurang menumpukan bajet untuk dekorasi kediaman menjelang Syawal ini. “Saya jarang memperuntukkan bajet untuk perbelanjaan rumah ketika menyambut Syawal. Boleh dikatakan saya jarang menyambut raya di rumah jadi kelengkapan rumah tidak berubah, macam itu sahaja. Mungkin tahun ini saya akan buat open house tetapi bukan di rumah, mungkin saya akan membuat open house di hotel,” tutur Che Ta.

Apabila bercerita tentang nostalgia raya yang paling dirindunya, “Adik-beradik saya tujuh orang, kami lima orang perempuan dan dua lagi lelaki. Perbezaan umur yang tidak begitu ketara membuat hubungan kami begitu akrab. Antara hobi yang sering dikongsi adalah bersolek bersama-sama. Kalau orang tengok macam pertandingan solekan, kami adik-beradik.

Lepas itu kami adik-beradik suka jahit manik untuk baju raya. Dahulu sebelum masing-masing berkahwin selepas buka puasa dan selepas terawih, tiga minggu pertama memang masa untuk jahit manik di atas baju masing-masing. Lepas tu pilih, baju siapa yang paling cantik. Pagi raya itu kami dah macam fashion show tayang fesyen masing-masing. Saya rasa itu adalah aktiviti yang saya paling miss the most.

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika menyambut Syawal bersama adik-beradik apabila suatu pagi raya itu, kakak saya gosok baju anak dia terkoyak habis lengannya. Ayu pula hantar baju pergi dry clean dan apabila pagi raya nak pakai tengok-tengok seluar suaminya, Zaquan dah jadi pendek sampai ke lutut. Pagi itu riuh rendah rumah mak, kalau difikirkan kembali kelakar pun ada,” bicara Che Ta sambil tertawa.

Menurut pelakon drama Kiah Pekasam ini, tradisi ketika menyambut Aidilfitri yang masih diamalkan sejak kecil sehingga kini adalah bersalam-salaman dengan seluruh ahli keluarga. “Makanan yang wajib ada ketika beraya bersama keluarga sudah semestinya ketupat daun palas sebab ketupat ini kalau bukan hari raya susah nak dapat. Ada juga orang jual ketupat palas ini tetapi, tak sedap. Mak memang akan buat ketupat palas makan dengan gulai daging. Macam keluarga kami orang Alor Setar suka makan ketupat palas dengan susu pekat. Itu memang makanan wajib setiap kali Syawal,” ujar Che Ta yang telah diangkat menjadi Ikon Kedah 2018 baru-baru ini di Alor Star, Kedah.

 

 

 

 

IKLAN
Share