Tak Dapat Beraya Macam Selalu, KAVITA SIDHU ‘Throwback’ Koleksi Baju Raya Tahun Lepas!

Kalau dah memang namanya bekas ratu cantik, pakailah apa pun nampak terletak kemas di tubuh! Raya setiap tahun pasti tidak lepas ‘mengintai’ gaya fesyen lebaran Kavita Sidhu. Meskipun bukan berbangsa Melayu namun jelitawan ini sudah terbiasa meraikan Aidilfitri dengan pelbagai koleksi busana raya yang eksklusif dan menarik. Ditambah pula dengan kerjayanya sebagai pemilik label Kvita Fashion yang menghasilkan rekaan busana tradisi kontemporari indah untuk digayakan setiap kali Syawal tiba.

Yang pasti, nama Kavita Sidhu bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat Melayu bahkan dia juga memiliki hubungan yang akrab dengan komuniti ini dalam kehidupan seharian.
Jadi tidak hairanlah rutin penerbit dan aktres ini juga banyak dipengaruhi dengan cara hidup orang Melayu.

Inilah untungnya bila hidup dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Bukan saja dapat meraikan perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal bersama-sama bahkan dapat mempelajari budaya dan adat masing-masing.

Tidak menjadi kesalahan pun, mesti kaum lain rasa dihargai bila tengok orang Melayu mengenakan cheongsam, India memakai baju kurung dan begitu jugalah sebaliknya.

Turut terkesan dengan sambutan hari raya tahun ini kerana tidak dapat meraikannya seperti tahun-tahun lalu, Kavita bagaimanapun mengimbau beberapa foto Aidilfitri dirinya yang anggun berbaju kurung dan abaya di samping suami tercinta, Roberto Guiati. Paling mencuri perhatian ramai pada hari raya tahun lepas ialah apabila Roberto mengenakan kain samping songket yang tinggi nilai sentimentalnya. Bukan calang-calang sebab ia merupakan koleksi tinggalan seniman terunggul, Tan Sri P. Ramlee!

“So excited to see Roberto pakai kain songket dari koleksi kawan saya. Rahsia istimewa kain songket ini kepunyaan seniman agung P.RAMLEE dan digunakan dalam filem MADU TIGA! Siapa tengok filem tu? ‘Butang baju Abang mana Pahhhh….’ It was an absolute honour to see hubs wearing this piece of treasure,” kongsi Kavita.

Beruntung Roberto, siap pakai samping labuh paras bawah lutut pula tu. Memang menepati pemakaian samping bagi lelaki sudah berkahwin, mungkin si isteri dah pesan awal-awal
sebelum suami memakainya.

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Kavita mesti mengetahui yang personaliti cantik ini pasti akan pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga angkatnya di Seremban, Negeri Sembilan. Namun, situasi berbeza tahun ini kerana dia dan suami tidak dapat beraya di sana susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) wabak Covid-19. Difahamkan sudah empat tahun berturut-turut Kavita sambut raya di Seremban dan menziarahi kubur ahli keluarga angkat yang telah meninggal dunia.

“This year would be the first time my best friend and I would not be able to ziarah makam of their parents… sebab tak boleh balik kampung ke Seremban. I still remember how clean, quiet and peaceful it is there. May Allah bless their souls. Glad I have these pictures to remember for now…Raya 2019, 2018, 2017, 2016, 2015. Same place as always setiap pagi Raya.”

 

 

Kredit: Instagram Kavita Sidhu

IKLAN
Share