
Lama tak dengar khabar pelakon cantik manis, Ainul Aishah. Sejak mendirikan rumah tangga kira-kira tiga tahun lalu, selebriti ini jarang muncul di kaca televisyen dan ‘sepi’ daripada karier seni tanah air. Pastinya Ainul mahu memberi sepenuh perhatian mengurus keluarga dan membesarkan anak tersayang di depan mata.
Biarpun tidak lagi aktif berlakon namun bintang filem Nana Tanjung ini banyak berkongsi perkembangan terbaharu di media sosial. Menerusi perkongsian di Instagram, kebanyakan posting Ainul atau nama penuhnya Ainul Aishah Azizun berkisar mengenai permata hati kesayangan.
Jelas tergambar perasaan bahagia Ainul Aishah menggalas tugas seorang ibu. Lebih indah, suami tercinta iaitu Khalid Redzuan ringan tulang membantu tugas isteri.
Terbaharu, pasangan romantis ini mengadakan majlis sambutan hari lahir yang pertama buat puteri kesayangan iaitu Kara Isabel bertemakan buah-buahan kegemaran anak kecil ini seperti tembikai, pisang dan beri biru.
Kongsi Ainul, “Dear Kara Isabel, mommy and daddy will work harder for you and give you the world. We will throw you more fun birthday parties every year okay! I love you so much my fruity blueberry watermelon banana girl.”
Ainul dan suami menanti hampir dua tahun untuk menimang zuriat sendiri. Sebelum anugerah terindah itu dikurniakan kepada mereka pada 24 Mei 2024.
Ibu penyayang berusia 40 tahun dan berasal dari Pulau Pinang ini sah bergelar isteri ahli perniagaan, Khalid Redzuan pada 18 September 2022.
Pasangan ini mula menjalin hubungan cinta sejak April 2017 dan mengikat tali pertunangan pada Mac 2022.
Ainul memulakan kariernya sebagai model sebelum berkecimpung dalam industri lakonan sekitar tahun 2006. Dia juga mengusahakan perniagaan biskut A Cookies dan membuka kedai pertama pada 1 Januari 2022.
Moga dengan kehadiran si comel ini menyerikan lagi rumah tangga Ainul dan Khalid. Serta, perkahwinan pasangan romantis ini kekal bahagia sampai ke syurga.
This website uses cookies.