
Aksesori merupakan pelengkap gaya bagi seorang wanita. Pemilihan aksesori yang bertepatan dan bersesuaian amat penting bagi menyerlahkan penampilan seseorang. Pemilihan aksesori yang salah boleh menjadikan keseluruhan penampilan tampak pelik dan terlalu sarat.
NONA kongsi 4 tip penting untuk memilih aksesori yang betul.
WARNA BEG TANGAN KONTRA DENGAN KASUT
Memilih beg tangan yang senada dengan rona kasut bukanlah pilihan yang tepat dan wajib dilakukan.
Sekiranya anda memakai kasut dengan rona terang, sebaiknya padankan dengan beg tangan dengan rona yang berbeza.
ELAK PAKAI LEBIH DARIPADA TIGA ATAU EMPAT AKSESORI BESAR
Tidak menjadi kesalahan jika anda ingin menggabungkan beberapa aksesori besar dalam satu gaya tetapi anda perlu pastikan ia tidak lebih daripada tiga atau empat aksesori.
Paling penting, aksesori itu perlu sepadan antara satu sama lain dari segi warna, gaya, dan juga material.
KASUT WARNA GELAP VS PAKAIAN WARNA PASTEL
Pakaian berona pastel lebih sesuai dipadankan dengan kasut dari rona yang lebih cerah.
Nescaya anda tampil lebih menonjol. Kasut dari rona gelap pula tidak sesuai jika dipadankan dengan pakaian berona pastel.
JANGAN PAKAI JAM TANGAN DENGAN GAUN
Jam tangan lebih sesuai untuk gaya yang lebih moden dan urban.
Memakai jam tangan ketika mengenakan gaun adalah satu perkara yang tidak digalakkan. Anda akan tampak janggal dan tidak relevan.
Rambang Mata Tengok Koleksi Lebaran Petals By HATTA DOLMAT, Cantik-Cantik Semuanya!

Jenama Hatta Dolmat tidak perlu diperkenalkan lagi dengan karya fesyen agung yang sering diperkatakan oleh penggemar fesyen. Saban hari, pereka yang berasal dari Melaka sering melahirkan idea kreatif dan inovatif dalam memartabatkan seni fesyen tanah air. Ketika berbicara mengenai koleksi lebarannya, beliau mencetuskan kelainan yang bakal menjanjikan kepuasan buat penggemar jenama terkemuka ini.
Jika dilihat tahun sebelumya, rekaan lebaran Hatta Dolmat bertemakan Vintaj Inggeris dimana beliau menzahirkan bakat seni melukis ke atas fabrik lalu digarap indah dalam siluet warisan melayu tradisi. Untuk koleksi lebaran 2018, pereka fesyen terkenal ini mengilhamkan sesuatu yang lebih segar dan tentunya relevan untuk digayakan pada abad ini. Potongan ringkas dan minimalis menjadi tunjang buat koleksi lebaran beliau dengan memperlihatkan penampilan wanita yang ringan dalam suatu rekaan yang cukup elegan.
TREND FESYEN YANG HANGAT PADA TAHUN INI?
Pada saya, Penggunaan fabrik sheer ataupun fabrik yang bersifat ringan bakal hangat pada tahun ini. Ia lebih dikenali sebagai fabrik Organdi dan sudah memasuki pasaran tempatan. Fabrik ini kelihatan seperti organza tetapi ia tidak begitu berkilat dan sedikit tebal daripada Organza. Ia amat cantik apabila dipakai dan memberi ilusi lembut buat si pemakai. Selain itu, potongan dan jatuhan fabrik menampakkan sesuatu rekaan labih menarik. Fabrik ini sering digunakan oleh pereka fesyen terkenal seperti Zuhair Murad dan Elie Saab dimana fabrik ini digunakan sebagai lapisan dalam sesuatu busana untuk menampakkan rekaan tersebut tidak terlalu berkilat.
CERITAKAN SEDIKIT MENGENAI KOLEKSI LEBARAN HATTA DOLMAT TAHUN INI
Untuk tahun ini saya membuat kesinambungan daripada koleksi RTW Petals by Hatta Dolmat. Ia merupakan koleksi kedua Petals dan saya memberikan suntikan eksklusif untuk koleksi ini dimana saya memberi penekanan pada potongan dan teknik jatuhan kain agar ia memberi efek yang lebih ringan. Berbeza dengan tahun lepas, saya menggunakan motif-motif yang saya lukis sendiri tetapi pada tahun ini saya lebih selesa untuk mereka sesuatu yang lebih ringkas dan minimalis.
APAKAH KELAINAN REKAAN LEBARAN HATTA DOLMAT PADA TAHUN INI?
Rekaan kali ini lebih terhad di mana saya hanya menghasilkan enam ke lapan helai sahaja. Ia tampil cukup eksklusif dimana saya fokus dengan penggunaan fabrik Organdi dan mula jatuh cinta untuk bereksperimen dengan fabrik tersebut. Saya melihat fabrik ini jarang digunakan dan mengambil langkah berani dengan menghasilkan koleksi lebaran menggunakan fabrik Organdi. Saya menterjemahkan sifat petals atau kelopak dalam setiap rekaan dengan menekankan potongan yang sedikit berbeza seperti teknik layering, flair dan lain-lain lagi. Namun saya masih mengekalkan ciri-ciri tradisional seperti kebaya yang diberi nafas baharu.
SILUET, PILIHAN FABRIK DAN PILIHAN RONA BUAT KOLEKSI LEBARAN
Selain fabrik Organdi, saya juga banyak menggunakan fabrik tulle dan juga broked. Saya mengilhamkan teknik potongan berlapis yang diinspirasikan dari kelopak bunga (petals). Dari segi pemilihan rona, seperti kita tahu bunga bersifat lembut dan disukai wanita. Jadi, saya memilih rona-rona pastel seperti biru cair, teal, pic, bloom, champagne, lavender dan juga putih.
KONGSIKAN SEDIKIT TIP FESYEN SEMPENA AIDILFITRI YANG BAKAL MENJELMA TIDAK LAMA LAGI
Saya sarankan untuk semua wanita di luar sana untuk mengembalikan busana klasik untuk disarungkan di hari lebaran seperti baju kurung dan baju kebaya. Walaupun kini terdapat pelbagai busana klasik yang mendapat sentuhan moden namun harus diingatkan ia janganlah terlalu tersasar dengan rekaan asal busana. Apa yang boleh dikatakan di sini ialah fesyen raya sesuatu yang minimal dan ringkas. Paling penting ia cukup selesa untuk digayakan dan bukan bersandar pada fesyen semata-mata.
APAKAH PERSEDIAAN PALING PENTING UNTUK MENYAMBUT HARI LEBARAN?
Persediaan paling penting ialah dari segi bajet dan perbelanjaan. Sebaiknya, senaraikan terlebih dahulu kos-kos penting yang perlu diberi keutamaan. Dengan keadaan ekonomi yang kurang baik kebelakangan ini, saya nasihatkan supaya anda bijak memilih fesyen busana raya. Seperti kita tahu, mungkin ada sesetengah busana raya yang dijual di luar sana dengan harga agak mahal. Sekiranya suka dengan busana tersebut, cukup sekadar membeli satu atau dua pasang sahaja. Tidak perlu bazirkan duit dengan membeli busana raya terlalu banyak dan akhirnya tidak pakai. Hari raya adalah momen untuk berhimpun bersama keluarga dan bukan medium untuk anda bergaya hingga boleh menyebabkan pembaziran.
PESANAN HATTA DOLMAT BUAT MEREKA DI LUAR SANA DALAM MENCARI BUSANA LEBARAN YANG TEPAT DAN SEMPURNA
Memilih pakaian yang tepat dengan potongan bentuk badan ialah dengan cara menempah baju dan bukan membeli koleksi RTW yang berada di pasaran. Ini kerana koleksi RTW adalah satu himpunan fesyen yang mempunyai basic saiz seperti saiz S,M,L,XL dan sebagainya. Tetapi proportion bentuk badan wanita Malaysia tidak sama. Contohnya saiz S mungkin mempunyai bentuk pinggul yang besar dan sebaliknya sekaligus menjadikan siluet dan potongan tidak sama. Sebaik-baik potongan ialah potongan busana yang ditempah dan betul-betul mengikut saiz badan anda. Namun, persediaan yang lebih awal perlu dibuat sekiranya anda ingin menempah baju dan elak menempah di saat-saat akhir.
Sanggup Beli Bra Murah Sebab TAKNAK MEMBAZIR, Ini Sebabnya Anda Perlu Percaya Pada Bra Mahal & Berkualiti!

Ramai wanita sering membuat kesalahan ketika memilih bra. Biasanya wanita membeli bra mengikut design yang cantik, mempunyai fungsi push up agar payudara kelihatan besar dan tidak kurang juga mahu mewujudkan lurah yang menggiurkan.
Tapi tidak ramai yang tahu faktor utama perlu diambil kira ketika memilih bra adalah ukur lilit tulang rusuk dan saiz payu dara. Sebenarnya bra tidak boleh dipakai terlalu ketat atau terlalu longgar. Apabila longgar, payudara tidak disokong sepenuhnya. Manakala jika terlalu ketat boleh mengakibatkan sakit belakang atau punggung.
Pemilihan yang salah juga boleh mengganggu pengaliran darah seterusnya meningkatkan risiko kanser payudara. Semak senarai ini bagi mengetahui sama ada anda telah membeli bra yang betul atau salah.
(1) Tidak selesa
Rasa tidak selesa memakai bra adalah seperti tali bra tenggelam di atas bahu. Ini berlaku kerana mangkuk coli yang digunakan terlalu kecil. Rasa tidak selesa muncul apabila bra berdawai mencengkam payudara. Ini juga kerana mangkuk yang dipakai terlalu kecil. Payudara yang terlalu rapat sehingga menimbulkan rasa tidak selesa juga adalah kerana salah memilih bra. Ketidakselesaan ini boleh menyumbang kesakitan di bahagian belakang, leher dan bahu.
(2) Ukuran yang betul
Anda mungkin pernah mengukur saiz bra yang betul tetapi ketika berumur 17 dahulu. Namun, sehingga sekarang masih memakai saiz yang sama. Hampir semua pengeluar pakaian dalam memberi pelanggan mencuba dahulu bra tetapi tanpa nasihat daripada yang pakar tentu tidak dapat saiz yang betul.
(3) Beli bra yang murah
Mengikut statistik, setiap wanita memiliki sekurang-kurangnya 19 helai bra tetapi hanya memakai empat bra yang selesa. Biasanya bra yang mahal mempunyai reka bentuk khusus dan selesa berbanding bra murah. Manakala bra murah tidak mempunyai pakar untuk mengira saiz bra yang sesuai. Membeli bra tanpa mencuba dahulu adalah cara yang salah kerana setiap rekaan mempunyai mangkuk dan tali bra yang berbeza.
(4) Beli bra yang cantik
Ada di antara anda yang merasakan bra yang mahal adalah membazir. Biar membeli bra yang cantik tetapi murah, itu kata mereka. Nah, sebaik-baiknya keluarkan duit untuk membeli bra yang baik dan sesuai mengikut keperluan. Cantik tidak semestinya elok!
(5) Membasuh bra di dalam mesin basuh
Tidak kira anda memakai bra yang betul atau tidak tetapi mencampak bra di dalam mesin basuh boleh mengubah reka bentuk asalnya. Ambil masa sedikit dengan membasuh bra dengan tangan dan sabun yang lembut agar bra tahan lama. Jangan jemur terus di bawah cahaya matahari untuk mengekalkan ketahanan bra tersebut.
(6) Memakai bra yang sama selamanya
Mungkin anda memakai bra yang betul tetapi asyik memakai bra yang sama sepanjang masa. Ini akan mempercepatkan jangka hayat bra tersebut. Mungkin tali bra menjadi cepat longgar dan tidak anjal dan cangkuk mudah tertanggal. Pastikan sekurang-kurangnya ada empat bra untuk dipakai secara bergilir-gilir.
(7) Perubahan tubuh
Selaras dengan peredaran masa, tubuh anda juga turut berubah. Saat akil baligh, mengandung, merancang keluarga, peningkatan usia dan stres fizikal tubuh juga berubah. Payu dara anda boleh membesar dan mengecil mengikut perubahan tubuh. Oleh itu, tukar bra mengikut perubahan tubuh anda.
(8) Tidak puas hati dengan saiz payudara
Anda mahu kelihatan seksi seperti model pakaian dalam tetapi tidak mempunyai payu dara yang besar? Oleh itu sengaja memakai bra yang lebih kecil agar kelihatan seksi. Sebenarnya dengan memakai bra yang betul boleh kelihatan seksi tetapi ada tekniknya!
Dilema Pereka Fesyen Di Ambang COVID-19, “Wanita Tak Melaram Bila Tiada Majlis Keramaian” Larney

Haluan fesyen global banyak beranjak sejak pandemik COVID-19. Banyak gedung pakaian ditutup, acara pertunjukan fesyen dibatalkan, stok melambak dan keperluan untuk mereka, menghasilkan serta mempersembahkan koleksi musim baru dikaji semula.
Lebih merisaukan, situasi ekonomi yang ‘terapung’ menjejaskan kuasa membeli golongan milennial dan Gen-Z. Akibat kesan tawaran kerja yang terhad, menyebabkan sebilangannya hilang pekerjaan atau dipotong gaji. Survival hidup pasca COVID-19 ini menjadikan industri fesyen semakin tenat.
Perubahan radikal ini turut mendorong rumah fesyen antarabangsa sehebat Saint Laurent untuk menukar landskap bisnes mereka.
View this post on InstagramA post shared by SAINT LAURENT (@ysl) on
Walau bagaimanapun, berkat usaha, strategi dan tawakal rezeki yang dijanjikan Allah SWT, kebanyakan pengusaha fesyen negara masih mampu mengaut untung sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa. Nona bersama Miss Larney atau Zuhurah Zaibidi, pemilik label Larney bercerita soal anjakan fesyen Malaysia selepas gelombang Coronavirus.
Nona: Hai, anda pernah beli pakaian preloved?
Miss Larney: Hai Nona! Jujurnya belum pernah lagi.
Nona: Sebagai orang fesyen, apakah nasihat anda untuk mereka yang suka membeli pakaian preloved?
Miss Larney: Sebenarnya bukan semua pakaian preloved itu murah dan berkualiti. Ada yang beli sebab terpedaya dengan visual atau gambarnya yang cantik dan ada juga kerana melihat populariti pemilik asal pakaian itu. Kalau dah preloved, bermaksud harganya pasti murah. Mungkin kalau potongan 70% baru berbaloi.

Nona: Bagaimana anda melihat COVID-19 mengubah habit membeli-belah masyarakat?
Miss Larney: Kita dapat lihat orang ramai cenderung membeli-belah secara online. Tak kira melalui laman web, Instagram atau sekadar menggunakan platform WhatsApp. Ia secara tak langsung menjadikan individu yang dahulunya cenderung membeli secara tradisional, kini tiada pilihan untuk membuat pembelian secara digital.
Ia juga secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan yang baru. Contoh paling dekat, industri pembungkusan dan penghantaran. Cepat atau lambat sesuatu perkhidmatan, itulah yang akan diukur oleh setiap pembeli.
Nona: Apabila showcase atau fashion show yang membabitkan ramai jemputan tidak dibenarkan, bagaimana caranya pereka fesyen dapat memperkenalkan koleksi pada masyarakat?
Miss Larney: Pastinya secara online. Seperti Larney, kami banyak berurusan secara online, terutama sekali Instagram. Malah sejak dari awal lagi, strategi pemasaran kami adalah menggunakan platform digital kerana kebanyakan pelanggan Larney adalah celik digital.

Nona: Adakah teknik pemasaran pereka fesyen juga bakal berubah selepas ini?
Miss Larney: Teknik pemasaran fesyen tempatan sebenarnya sudah lama berubah sesuai dengan perkembangan teknologi yang pesat. Cuma mungkin masih tidak ramai lagi yang mempraktikkannya.
Daripada pemerhatian saya, dulu memang ramai yang membuat perniagaan secara offline atau menerusi butik fizikal, tetapi sekarang sudah ramai yang mengukuhkan perniagaan secara online.
Malah sudah banyak pihak yang meganjurkan kelas latihan atau seminar bagi memperkasakan teknik pemasaran online. Tak percaya? Cuba tengok di Instagram atau Google, pasti jumpa!
Nona: Hubungan sesama pereka fesyen sepanjang PKP tempoh hari, ceritakan pengalaman anda.
Miss Larney: Saya akui, PKP sebenarnya telah berjaya menyatukan hubungan baik antara pereka fesyen. Malah saya lihat ada satu persatuan pereka fesyen yang telah bersatu hati untuk sama-sama melahirkan persalinan Personal Protective Equipment atau PPE. Saya kagum dengan semangat yang sebegini.
Pihak Larney juga tidak ketinggalan menyiapkan persalinan PPE untuk kakitangan hospital. Kami juga sentiasa berhubung dengan pereka fesyen yang lain dan memberikan sokongan moral serta saling bertukar pendapat.
Apatah lagi kami perlu bertukar pendapat tentang isu semasa dan berbincang tentang cara terbaik memasar dan menjual produk kami sepanjang PKP ini.
Nona: Dengan siapa anda pernah berbual secara serius tentang fesyen?
Miss Larney: Ada beberapa individu dan pereka fesyen antaranya Christy Ng, Shukri dari jenama Locka dan juga Datuk Radzuan Radziwill.
Berborak dengan Christy Ng, beliau seorang pereka kasut yang tak pernah lokek dengan ilmu. Apatah lagi beliau banyak mengajar saya supaya menyimpan cita-cita yang besar dalam perniagaan fesyen.
Manakala bersama Shukri, kami banyak bertukar pendapat bagaimana untuk membuat sistem pemasaran secara online yang lebih berkesan mengikut situasi semasa. Bagaimana berhadapan dengan pesaing dan memajukan perniagaan.
Sementara itu, bersama dengan Datuk Radzuan Radziwill, beliau sebenarnya seorang pereka fesyen senior yang sangat merendah diri. Banyak juga Datuk berkongsikan situasi industri fesyen dahulu dan kini serta bagaimana untuk kekal relevan di dalam industri.
Nona: Pendapat anda tentang masa depan industri fesyen tempatan selepas COVID-19.
Miss Larney: Industri fesyen akan berjalan seperti biasa. Sebagaimana fesyen yang mengikut trend, begitu juga dengan situasinya selepas COVID-19. Cuma cabarannya bagaimana untuk meyakinkan pelanggan untuk terus menyokong sesebuah jenama.
Kerana di Malaysia, orang yang membeli fesyen kebanyakannya untuk menghadiri acara atau majlis. Jadi apabila kawalan pergerakan semakin ketat dan acara keramaian sudah tiada, jadi permintaan daripada pelanggan untuk melaram, juga akan berkurangan. Make sense kan?
Dari segi rekaan pula, saya tidak boleh terlalu syok sendiri kerana saya perlu tahu apa yang pelanggan mahukan sesuai dengan terjemahan konsep setiap koleksi mahupun rekaan di Larney.
InsyaAllah, apabila permintaan dan pengeluaran seimbang serta saling memerlukan, maka saya yakin industri fesyen kita boleh bertahan dan kekal.
Nona: Pasaran baju raya sepanjang PKP ini, bagaimana sambutan daripada pelanggan?
Miss Larney: Alhamdulillah, sambutan di luar jangkaan. Ini mungkin kerana ramai golongan wanita dan peminat Larney yang duduk di rumah atau Work From Home suka membeli-belah secara online.
Larney baru sahaja melancarkan koleksi sempena lebaran iaitu Larney Raya 2020. InsyaAllah, selepas ini Larney akan hadir bersama koleksi kasual yang pastinya akan mendapat perhatian ramai.
Kebanyakan pelanggan kami ialah ibu muda berkerjaya yang inginkan sesuatu rekaan bersifat feminin, sofistikated dan berketerampilan. Rata-ratanya membeli di website Larney sendiri iaitu www.larney.com.my.
Nona: Tiga barangan perlindungan diri yang wajib anda bawa selain face mask dan hand sanitizer.
Miss Larney: Biasanya ini kewajipan saya selain dua di atas…
- Anti-bacterial wet tissue untuk lap apa juga permukaan licin terutama telefon bimbit dan cermin mata.
- Lipbalm bagi menyegarkan bibir saya.
- Essential oil yang selalunya saya akan letak di mask supaya sentiasa rasa segar dan bertenaga.
Mengakhiri temu bual ini, Miss Larney sempat berkongsi harapan beliau terhadap jenama yang dibina sejak lima tahun lepas itu.
“Sudah tentu saya ingin melihat perniagaan saya berkembang maju. Saya yakin terdapat banyak ruang dan peluang yang boleh diisi serta dikembangkan oleh pengusaha fesyen seperti saya. Banyak yang belum dicungkil dan insyaAllah sooner or later satu persatu pembaharuan yang bakal Larney tampilkan.
Saya juga menanam satu misi bagi peminat Larney di Malaysia untuk melihat lebih ramai kelompok yang menghargai fesyen modest untuk lebih bergaya, tidak kira ketika waktu formal ke tempat kerja atau santai. Larney juga bercita-cita untuk menjadi sebuah hab gaya hidup untuk wanita di negara ini,” akhirinya.