Dalam usaha menjadikan masyarakat Malaysia lebih sihat dan mengamalkan pemakanan sihat, soal pengambilan hidangan berasaskan makanan laut perlu dipertingkatkan memandangkan ikan kaya dengan sumber protein, selenium, zink, iodin, Vitamin A dan D serta Omega 3.
Bagi chef terkenal Datuk Chef Wan, memasak berasaskan makanan laut seperti ikan banyak meninggalkan nostalgia buat dirinya terutamanya ketika zaman kanak-kanak. Tambahnya, membesar dalam persekitaran yang susah dan anak sulung kepada tujuh adik-beradik, sejak kecil dia sudah didedahkan dengan pelbagai ragam kehidupan untuk membantu ibu dan bapanya menambah pendapatan keluarga.
“Dari kecil saya sudah diajar untuk mencari rezeki tambahan untuk keluarga. Bayangkan, ayah hanya bekerja sebagai seorang askar berpangkat korperal dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) manakala ibu pula merupakan seorang suri rumah. Sudah tentu pendapatan keluarga agak terhad.
Jadi, sebagai anak sulung ayah akan membawa saya memancing di kawasan lombong berdekatan kuarters dan dari situ saya belajar bagaimana memancing. Hasil tangkapan dijadikan lauk untuk kami adik-beradik.”
Ads
Selain itu, Datuk Chef Wan juga sering membantu ibunya menyediakan kuih-muih untuk dijual di dalam kaurters. Dari situlah minatnya mula didedahkan secara informal terhadap dunia masakan terutamanya makanan Melayu.
“Jika ada lebihan, ikan tersebut juga akan dibuatkan ikan masin dan dimakan pada saat-saat yang diperlukan,” ujarnya ketika ditemui di majlis santai Uncle Ali The Fishmonger yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam.
Pada majlis tersebut, Datuk Chef Wan turut berkongsi dua menu warisan keluarganya iaitu Gulai Udang Nenas dan Ikan Bakar Portugis. Resipi gulai tersebut telah diwarisi olehnya dari 5 generasi keluarga yang sememangnya mempunyai kepakaran dalam bidang masakan.
Ads
“Resipi yang saya sediakan hari ini adalah resipi keluarga yang diwarisi sejak turun-temurun lagi. Antara rahsia untuk mendapatkan hidangan gulai yang enak adalah melalui penggunaan bahan-bahan yang segar antaranya kunyit, lengkuas, buah keras, udang kering dan serbuk ketumbar.
Ads
“Saya tidak mempunyai sukatan khas dalam memasak. Sama seperti orang dulu-dulu memasak pakai campak-campak sahaja, saya juga begitu. Tetapi untuk memasak gulai, pastikan api besar digunakan untuk menaikkan bau bahan yang hendak ditumis. Pastikan jika mengisar bahan menggunakan mesin pengisar, ia akan mempunyai air dan tumislah dengan menggunakan api yang besar.
Jika menggunakan batu lesung, api yang sederhana sudah memadai dan pastikan ianya ditumis sehingga pecah minyak dan wangi. Jangan kedekut menggunakan bawang merah dalam masakan melayu kerana ia adalah antara salah satu rahsia untuk menyedapkan hidangan.”
Sebelum menamatkan proses memasak, Chef Wan turut berkongsi petua bagaimana memasak makanan berasaskan hidangan laut agar ia kekal segar dan enak ketika dinikmati.
“Untuk memasak hidangan berasaskan makanan laut, ia tidak boleh dimasak terlalu lama kerana akan menyebabkan manis pada makanan laut hilang. Jadi, sebagai contoh jika memasak gulai udang seperti ini, pastikan api ditutup beberapa minit sebelum dihidangkan kerana semasa proses tersebut udang masih boleh melalui proses memasak. Pastikan masa memasak makanan laut tidak terlalu lama bagi mengekalkan nutrien yang istimewa di dalamnya,” ujar Datuk Chef Wan mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pasti bakal ibu yang suami mereka merupakan kakitangan IKEA melompat gembira bila syarikat perabot dari Sweden ini memperkenal cuti bergaji satu bulan kepada kakitangan lelaki, bukan? Terasa ringan sedikit tugas ibu apabila suami berada di sisi. Sekurang-kurangnya ada juga tempat untuk wanita bergantung harap ketika berpantang di samping membantu mereka menguruskan keperluan bayi baru lahir.
Pengumuman berita gembira ini yang dibuat Pengarah Sumber Manusia IKEA Asia Tenggara, Lydia Song pada 20 Oktober lalu nyata disambut baik masyarakat. Menurut kenyataan Lydia, perkara tersebut diperkenalkan bagi membolehkan kaum bapa terlibat secara langsung dalam penjagaan bayi termasuk menyediakan kelengkapan dan curahan kasih sayang kepada keluarga tercinta.
Katanya, “IKEA sering menitikberatkan kehidupan di rumah bersama keluarga selain nilai-nilai Sweden termasuk kesamarataan di pejabat dan rumah. Malah kita percaya lelaki dan wanita wajar diberi peluang untuk sama-sama membesarkan anak mereka.
Tahun ini, di seluruh outlet dan pejabat IKEA di Asia Tenggara kita memperkenalkan cuti bersalin satu bulan gaji bagi membolehkan kakitangan lelaki menjaga bayi mereka dalam tempoh sebulan.”
Usaha murni ini dilihat bukan hanya memberi perubahan besar kepada kaum bapa yang bekerja di IKEA tetapi juga sebagai landasan buat mereka untuk menjadi ketua keluarga yang terbaik dan bertanggungjawab terhadap anak serta isteri.
Bagi membuktikan inisiatif itu tidak sekadar omong kosong, Muhammad Rizal Sunalim yang juga Ketua Kumpulan IKEA Food di IKEA Cheras merupakan kakitangan pertama di Malaysia yang mendapat manfaat itu berkuat kuasa 1 Januari lalu.
“Inilah masa yang paling berharga untuk saya dan keluarga. Ketika isteri saya bersalin anak pertama dan kedua, beliau melakukan semua kerja sendiri. Kali ini saya mempunyai peluang untuk menjaga bayi kami dan isteri tersayang.”
Beruntung pekerja IKEA sebab kebajikan mereka dipandang serius oleh majikan. Semoga pengumuman ini akan menjadi penanda aras dan membuka mata pelbagai pihak terlibat untuk melaksanakan perkara serupa. SUZIANA ABU DAUD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Unik dan menyeronokkan! Itu pengalaman yang tak dapat dilupakan sebaik menjejakkan kaki ke butik terbaharu dUCk. Berbeza daripada butik fesyen lain, dUCk di Pavilion Kuala Lumpur ini tampil dengan keunikkan dan kreativiti tersendiri yang sarat elemen ‘playhouse’!
Majlis perasmian lokasi terbaharu dUCk di Pavilion Kuala Lumpur berlangsung pada 29 Jun lepas. Sebelum ini dUCk sudah pun membuka butik mereka di pusat beli-belah terkemuka berkenaan. Namun kali ini ia beralih ke lokasi yang lebih luas dan strategik.
Menurut Pengasas bersama The dUCk Group, Vivy Yusof, “Seiring jenama dUCk yang makin berkembang maju, kami sentiasa menawarkan pengalaman beli-belah menyeronokkan kepada para pelanggan.
Selain butik yang dihias indah, kami juga mahu terus memberikan yang terbaik supaya pengguna dapat merasai pengalaman beli-belah di samping menjadikan dUCk modest fashion playground.”
Berkeluasan 1,758 meter persegi, butik ini mengetengahkan konsep playhouse yang penuh keseronokkan ketika membeli produk-produk dUCk. Antaranya selendang, aksesori hijab, pakaian, telekung, kosmetik, beg tangan, perhiasan rumah dan kelengkapan dapur.
Selain itu, butik ini juga dilengkapi dengan dUCk’s scarf library, rak Mighty UnderdUCk, pohon Sakura berwarna ungu simbolik rona rasmi dUCk, bilik persalinan inspirasi ‘phone booth’, ruang ready-to-wear dan sebagainya.
Sepanjang lapan tahun dUCk berada di pasaran, ia berjaya membuka sembilan buah butik iaitu lapan di Malaysia dan satu di Singapura. Malah, mereka juga sudahpun mempunyai team di United Kingdom yang dikhabarkan merancang membuka pop-up store di sana!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
9 Zulhijjah 1439 Hijrah atau bersamaan 21 Ogos 2018 merupakan Hari Wukuf Arafah yang menjadi kemuncak bagi ibadah haji tahun ini. Menjelangnya hari istimewa ini, seluruh umat Islam di seluruh dunia digalak memperbanyakkan ibadah memandangkan ganjaran yang bakal diterima sangat besar. Lakukanlah dengan penuh khusyuk, tawaduk dan hanya kerana Allah SWT.
Rahmat dan kasih sayang Allah itu sangat luas. Meskipun belum dikurniakan rezeki untuk menjadi tetamu Allah dan melaksanakan rukun Islam kelima berkenaan namun kita semua tetap diberi ganjaran besar walaupun hanya menghambakan diri kepada-Nya di negara sendiri ketika detik ini. Mohon panjatkan kesyukuran dan perlindungan Yang Maha Esa agar keselamatan para jemaah haji yang berdepan ribut di Arafah terpelihara daripada segala insiden yang tidak diingini.
Antara kelebihan bagi mereka yang melakukan Puasa Sunat Hari Arafah, segala dosa yang dilakukan setahun lalu dan setahun akan datang akan dihapuskan. MasyaAllah, sesungguhnya Dia Maha Pemurah dan Maha Pengampun.
Selain menunaikan Puasa Sunat Hari Arafah esok, bulatkan niat untuk turut melakukan amalan ini.
1. Tidur awal (pada malam Selasa) dengan niat bangun awal untuk beribadah.
2. Bangun awal beberapa jam sebelum fajar dan lakukan Solat Tahajud.Tasbih dan witir, lanjutkan dengan doa munajat disertai linangan air mata taubat dan keinsafan akan kefakiran diri
3. Perbanyak istighfar agar termasuk dalam kalangan orang yang beristighfar pada waktu sahur.
4. Makan sahur secukupnya disertai niat berpuasa sunat kerana Allah.
5. Solat Subuh berjemaah, jangan lupa ucapkan takbir selepas solat.
6. Duduk di tempat solat hingga terbit matahari untuk membaca zikir ma’thurat, doa dan bacaan al-Quran, lalu laksanakan solat sunat Syuruq dua rakaat.
7. Sepanjang hari itu, perbanyak ibadat dan zikir, kurangkan ucapan yang tak bermanfaat, dan jauhkan diri daripada maksiat.
8. Apabila masuk waktu Asar, laksanakan solat berjemaah, lalu sibukkan diri dengan doa dan zikir hingga Maghrib. Mintalah kepada Allah agar tidak terbenam matahari sebelum semua dosa kita diampunkan dan semua hajat kita dimakbulkan.
9. Bersegera berbuka puasa sejurus masuk waktu Maghrib. Pada waktu berbuka terdapat peluang doa mustajab bagi orang yang berpuasa. Jangan lupakan ahli keluarga kita yang telah meninggal dunia dan yang masih hidup, juga kaum muslimin yang tengah dalam kesusahan di seluruh dunia.
10. Memaafkan orang yang bersalah dengan kita.
11. Mendoakan orang yang menyakiti kita sama ada dengan kata-kata atau perbuatan.
12. Bersilaturrahim dengan orang yang cuba memutuskannya dengan kita.
Moga dengan amalan-amalan yang dilakukan ini mampu menghilangkan resah gelisah yang selama ini bersarang di dalam hati. Sekaligus mencetuskan rasa tenang, syukur dan gembira atas segala yang dikurniakan kepada kita semua. Semoga Allah menerima amal ibadah kita!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.