Tak Menang Tangan Terima Tempahan, EKIN MAWI Kreatif Jual Polka Pops Dessert!

Kalau Mawi kini lebih selesa berkarya di sebalik tabir sebagai pengarah, Ekin pula makin rancak merencana karier sebagai usahawan. Bakal menyambut ulang tahun perkahwinan ke-12 pada 20 Disember nanti, Ekin atau nama sebenarnya Nora’ashikin Rahmat tetap kelihatan cantik dan menawan seperti dulu. Meskipun hakikatnya Ekin merupakan ibu kepada seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Cahaya Malaika berusia lapan tahun.

Enggan terlalu bergantung kepada suami dan selesa berdikari, wanita jelita berusia 41 tahun ini ligat menguruskan perniagaan miliknya. Jika dulu, Ekin memiliki rangkaian produk kesihatan, Unequein tapi hari ini dia meluaskan lagi empayar niaga dengan menceburi bidang makanan pula. Menariknya, bisnes ini turut diusahakan bersama adik kembar, Aenn atau Nora’ain Rahmat. Dari dulu sampai sekarang, memang susah hendak cam mana satu Aenn dan Ekin sebab muka mereka yang seiras!

Pernah bergelar pelakon, percaturan Ekin untuk menjadi ahli perniagaan nyata membuahkan hasil. Satu per satu produk berjaya dihasilkan dan terbaru, mereka mengambil risiko menjadi usahawan makanan dengan menjual hidangan pencuci mulut Polka Pops Dessert. Difahamkan idea untuk menghasilkan dessert

ini bermula sejak Ogos tahun lalu.

Biarpun tidak sampai setahun berada di pasaran namun sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Apatah lagi, Ekin mencurahkan segala keringat dan kreativitinya demi memberikan sajian pencuci mulut terbaik dan mampu dibeli orang ramai. Sebekas Polka Pops Dessert mengandungi pelbagai elemen pencuci mulut menyelerakan dan berwarna-warni seperti pearl (boba), cincau, mochi serta kuah sebagai pelengkap sajian.

Bagi memastikan pelanggan tidak jemu dengan sajian ini, Ekin turut mempelbagaikan Polka Pops dengan edisi khas sempena sesuatu perayaan. Antaranya polka pops versi Olaf sempena Krismas dan sempena lebaran ini, polka pops versi raya turut dihasilkan. Istimewanya, sajian ini mengandungi mochi berupa bentuk seperti ketupat, kuih tart dan kuih makmur. Memang kreatif sangat!

Kongsi Ekin, “Alhamdulillah sambutan polka pops edisi raya luar biasa. MasyaAllah thank you so much guys

yang dah order and repeat order hari-hari. Syukur alhamdulillah.”

Untung Mawi dikurniakan isteri yang bukan saja pandai menjaga penampilan diri tetapi bijak berniaga dan menjana pendapatan sendiri. Buat Ekin, teruskan usaha dan kerja keras anda. Moga kesungguhan Ekin memajukan diri dan perniagaan ini mampu menjadi suntikan semangat kepada masyarakat untuk berjuang mengejar impian.

Sesuatu yang menarik untuk anda ada di sini.

IKLAN
Share