Tak Sempat Ganti Puasa? Ini Caranya Bayar Fidyah Secara Online

Bulan Ramadan bakal menjelang. Ramai yang bertanya tentang bayaran fidyah terutama dari kalangan ibu mengandung, ibu yang menyusukan anak dan orang tua yang uzur. Kebanyakannya belum sempat menggantikan puasa atau tiada kemampuan melaksanakan ibadah tersebut.

Sebahagian kecil orang Islam terlalu menyulitkan diri mereka sendiri, padahal prinsip Islam adalah mudah, tidak menyusahkan. Umpamanya menjadikan PKP sebagai alasan tidak membayar fidyah. Di Selangor, terdapat dua kaedah pembayaran fidyah iaitu melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atau Lembaga Zakat Selangor (LZS MAIS).

Pada masa PKP ini, bayaran fidyah boleh dibuat secara online.

Tapi sebelum itu, ikuti soal jawab di antara Nona & Pengarah Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tuan Indera Shahril Mohd Shahid ini berkaitan fidyah secara ringkas.

Ustaz Indera Shahril

 

HUTANG DENGAN ALLAH

Nona: Pengertian fidyah?

MAIS: Fidyah merupakan bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasanya di bulan Ramadan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadan tahun berikutnya.

 

Nona: Apakah dalil pensyariatan fidyah?

MAIS: Daripada Al-Quran, firman Allah SWT yang bermaksud:

(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. Al-Baqarah: 184

Manakala hadis daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya. Riwayat al-Tirmizi

 

HUKUM FIDYAH

Nona: Apakah hukum membayar fidyah?

MAIS: Hukum membayar fidyah adalah WAJIB. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

 

Nona: Apakah sebab-sebab kita dikenakan fidyah?

MAIS: Terdapat beberapa sebab yang dibolehkan bagi meninggalkan puasa, antaranya…

(a) Meninggalkan puasa kerana tua

Orang tua yang tidak mampu berpuasa dan jika mereka berpuasa akan memudaratkan dirinya sendiri dan  kesihatan tubuh badannya.

(b) Meninggalkan puasa kerana sakit kronik

Orang yang sakit berpanjangan dan tidak diharapkan boleh sembuh berdasarkan pengesahan doktor perubatan.

(c) Meninggalkan puasa kerana hamil

Wanita yang bimbang akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Mereka hendaklah membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

(d) Meninggalkan puasa kerana menyusukan anak

Ibu yang merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Mereka hendaklah membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

(e) Meninggalkan puasa kerana musafir atau sakit dan tidak qada’ puasa pada tahun ia ditinggalkan

Musafir dan Pesakit yang tidak menggantikan (qada’) puasa pada tahun ia ditinggalkan wajib menggantikan (qada’) puasanya dan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

(f) Melambatkan ganti puasa (qada’)

Mereka yang melambat-lambatkan ganti (qada’) puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadan) dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

(g) Orang yang telah meninggal dunia

Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

 

BAYARAN FIDYAH

Nona: Bagaimana kiraan fidyah dibuat?

MAIS: Kiraan fidyah dihitung dari berapa banyak hari puasa Ramadan yang ditinggalkan. 1 hari bersamaan 1 cupak. Contohnya; (hari yang ditinggalkan) X (1 cupak) = FIDYAH

 

Nona: Jadi, berapa kadar fidyah?

MAIS: Kadar fidyah dikira berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) semasa iaitu sebanyak 1 cupak. Kadar tersebut berubah mengikut harga yang ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat. Beras tersebut hendaklah diberi makan kepada fakir dan miskin dan bukan berbentuk wang tunai, pakaian dan sebagainya.

Dalam bentuk nilaian matawang adalah berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Selangor sehingga tahun 2019, iaitu secupak beras bersamaan dengan 600 gram dinilai dengan kadar RM 1.80.

Kiraan fidyah di Selangor adalah tidak berganda walaupun melangkau tahun. Hanya masukkan jumlah keseluruhan puasa yang ditinggalkan.

 

Nona: Bagaimana membuat bayaran fidyah secara online?

MAIS: Di Selangor terdapat dua kaedah pembayaran fidyah iaitu melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atau Lembaga Zakat Selangor (LZS MAIS). Pada masa PKP ini, bayaran boleh dibuat secara atas talian iaitu:

1. Majlis Agama Islam Selangor

2. Lembaga Zakat Selangor

Kedua-dua bayaran ini sama ada melalui MAIS atau LZS MAIS akan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Harta Baitulmal sebelum diagihkan kepada fakir miskin.

Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat membantu kita melunaskan hutang kita dengan Allah Ta’ala.

Ramadan Kareem, Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan!

IKLAN
Share