
Sekali lagi nama negara harum di mata dunia. Kali ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diberi penghormatan menerima anugerah dari Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) International Medal 2021 sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam bidang pembedahan perubatan di Malaysia.
Berita tersebut turut dikongsikan oleh koresponden TV3, Haliza Hashim melalui hantaran di laman Instagram miliknya.

Malah, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada beliau sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam bidang pembedahan perubatan di Malaysia.
Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menurut catatan di akaun Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas penganugerahan tersebut yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
“Penganugerahan tersebut membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa,” menurut hantaran itu.
Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Dr Noor Hisham dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kecemerlangan yang berterusan.
Dr Noor Hisham menerima anugerah tersebut daripada Presiden RSCEd Prof Michael Griffin pada majlis santapan malam bagi memuliakan keberangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, felo terhormat RSCEd yang juga Canselor Diraja Universiti Kebangsaan Malaysia.
Turut berangkat pada majlis itu Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Untuk rekod, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerima anugerah utama dalam pengiktirafan Nona Superhero Award 2021 yang lalu.
Sumber: Utusan Malaysia.
Kudratnya Dikerah, Tubuh Badannya Diratah! Sengsara Balu Miskin Ini Makin Bertambah Sejak DIBELA Lelaki Tak Guna

Dua tahun lalu, penulis bertemu Khatijah, seorang balu yang mempunyai empat orang anak. Suami yang menjadi tempatnya bergantung hidup baru saja diambil Allah.
Penyakit kulit yang serius dihadapi arwah ditanggung selama hampir tiga tahun, memberikan Khatijah satu tamparan hebat kerana dia terpaksa bekerja lebih kuat untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Namun, Allah lebih mengasihi arwah. Kehidupan Khatijah diteruskan dengan pelbagai ranjau. Khatijah hilang arah kerana dia tidak tahu bagaimana harus memulakan kehidupan tanpa seorang suami di sisi.
Dia hilang tempat mengadu dan lebih menyakitkan, keluarga mertua menyalahkannya kerana tidak pandai menjaga suami. “Akak hidup dengan anak-anak saja. Rumah ini adalah peninggalan arwah ibu akak tetapi rumah ini pun satu isu juga.
Ia bukan milik akak seorang kerana rumah ini sepatutnya hak adik-beradik lain juga. Selepas ibu meninggal dunia, adik-beradik lain datang dan maki hamun akak, kata akak menumpang.
Kalau nak pindah pun, akak tidak ada duit. Sedangkan untuk makan kami anak-beranak pun kais pagi makan pagi, inikan pula hendak pindah rumah. Akak nak ke mana?”
Pahit untuk menelan kisah Khatijah. Harta pusaka, jika tidak diwasiatkan pasti akan mencetus huru-hara dalam keluarga. Adik-beradik pun boleh berbunuhan!
Baru-baru ini penulis ke kediamannya untuk bertanya khabar. Ya Allah, rumahnya dipenuhi besi-besi buruk! Anak-anaknya pula comot menyambut kedatangan saya.
Tetapi, ada dua orang kanak-kanak lebih kurang usia setahun dan beberapa bulan memeluk erat Khatijah. “Ini anak akak. Tahun lepas akak kahwin dengan abang Udin. Masa akak dalam kesusahan, akak kutip sampah di merata-rata tempat termasuklah kedai besi abang Udin.
Lama-lama kenal, akak pun pinjam duit abang Udin buat beli makanan. Dari situlah abang Udin sudi terima akak sebagai isteri. Mujur abang Udin ada kerana dialah yang banyak ajar akak soal agama.”
Wajah Khatijah seakan tersenyum tetapi senyuman itu penuh maksud tersirat. Matanya melirik ke arah suami yang duduk bersama-sama kami di ruang tamu.
Banyak yang kami bualkan. Hidup Khatijah lebih teruk dari sewaktu arwah suaminya masih ada. Pelik juga kerana dia kini sudah ada pengganti, seorang suami yang sepatutnya menjadi pelengkap kehidupan.
Entah kenapa Khatijah mengajak saya ke tempat yang biasa dia mengutip sampah. Dengan rela hati, kami berdua ke sana, anak-anak ditinggalkan bersama suaminya di rumah.
Sebaik kereta melepasi kawasan perumahannya, Khatijah tiba-tiba terus menangis.
“Akak dah tak sanggup macam ni dik. Akak tak tahu apa status akak dengan abang Udin. Ini kali kedua akak rasa susah. Akak pernah gantung diri pada kipas sebab dah tak tahan dengan semua ni!” jerit Khatijah.
Panik juga dibuatnya kerana baru sahaja sebentar tadi Khatijah seronok bercerita kisah anak-anaknya.
“Akak terima duit bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa bantuan lain lagi. Tapi, duit anak-anak untuk kegunaan sekolah semuanya habis dikerjakan abang Udin.
Dik, kamu tahu tak, sebelum mak meninggal abang Udin bawa kami ke sebuah rumah, kononnya untuk bernikah. Tetapi rumah itu adalah rumah kongsi pendatang asing! Dia tipu akak dik. Sijil nikah pun kami tak ada!” ujarnya.
Masya Allah! Maknanya selama ini Khatijah bersekedudukan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Lebih dahsyat, dua orang anak hasil perkongsian hidup dengan abang Udin bukan anak sah taraf?
Tidak sanggup lagi saya membiarkan otak ini ligat berfikir kerana segala-galanya membawa kepada tanggapan negatif sahaja. Khatijah memang lurus orangnya. Mungkin kerana tidak berpelajaran tinggi menyebabkan dia hanya terima bulat-bulat penipuan seorang lelaki.
Menurut Khatijah, hasil daripada dia mengutip sampah di tepi jalan untuk dijual tidak sampai ke tangan. Apa sahaja yang ditemui, kicap yang sudah tamat tarikh luput, jem dan air botol antara barang-barang yang dibawa pulang untuk dimakan bersama anak-anak walaupun sudah melebihi tarikh luput!
“Akak pernah cuba gantung diri kerana terlalu tertekan. Tetapi abang Udin sempat selamatkan akak. Kamu tahu kenapa? Dia balik ke sini semata-mata untuk mengadakan hubungan seks sedangkan dia mempunyai isteri lain! Kononnya nak kahwin untuk membantu akak tetapi tidak lama selepas berkahwin, dia jatuh bankrap.
Dia ambil duit belanja anak-anak dan duit hasil jualan sampah-sarap yang akak kutip kononnya dia akan bayar nanti. Tapi sebenarnya dia penipu!” keluh Khatijah.
Memang benar, abang Udin hanya mempergunakan Khatijah. Dia sendiri akui. Dia tiba di kawasan pengumpulan sampah dan hanya duduk di dalam kereta. Dia langsung tidak membantu Khatijah mengutip sampah kerana baginya, dia hanya ‘membantu’ Khatijah.
Kehadiran dia di rumah ini pada hari itu juga hanya untuk berlakon dan memastikan Khatijah tidak ‘buka mulut’. Hidup Khatijah seperti keluar dari mulut buaya dan masuk mulut naga.
Penulis berdoa agar Khatijah dapat melarikan diri daripada abang Udin kerana tidak mahu dia terus diselubungi dosa.
Beberapa pihak telah kami temui untuk membawa Khatijah jauh dari sini. Insiden Khatijah dipukul abang Udin gara-gara Khatijah cuba melarikan anak-anaknya sungguh terkesan di hati. Semoga ada sinar dalam hidup Khatijah selepas ini. KR
Beruntung Izara Aishah, 3 Mak Buat Kejutan Baby Shower & Bakal Terima Anak Perempuan

Bertuah badan figura cantik yang berdarah kacukan Melayu-Pakistan ini apabila dilimpahi kasih sayang daripada tiga orang emak. Saat menanti kelahiran bayi sulungnya pada bulan April nanti Izara telah dikejutkan dengan parti Baby Shower yang berlangsung semalam di The Majapahit Residence Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Izara Aishah atau nama sebenarnya Nik Izara Aishah Nik Izazurin begitu gembira dan teruja melihat kesungguhan ibu mentuanya, YM Tengku Datin Seri Zawyah Tengku Izham mengatur majlis kejutan buatnya. Lebih istimewa apabila ibunya sendiri Puan Safina dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza Taruddin turut berkomplot menjayakan majlis ini.
Izara Aishah hadir bersama suaminya, Adib Khalid kelihatan benar-benar terkejut dengan parti yang telah dianjurkan untuknya itu. “Saya ingatkan majlis secara kecil-kecilan sahaja bersama keluarga, tak sangka sebesar ini,” ucap Izara Aishah kepada pengacara majlis pada petang itu, Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak.
Semua tetamu begitu gembira meraikan pasangan bakal ibu dan bapa muda ini dan begitu sporting berpakaian warna mint green mengikut tema yang ditetapkan.
Izara Aishah yang kini berusia 27 tahun bersama suaminya turut mendedahkan jantina bayi yang berada dalam rahimnya. ‘It’s a GIRL‘. Tahniah Izara dan suami yang bakal memperoleh cahaya mata perempuan. Tak sabar nak tengok bayi itu nanti, pasti comel mewarisi kejelitaan ibunya dan kekacakan ayahnya.
Majlis perkahwinan pasangan bahagia ini telah digelar sebagai Wedding of The Year apabila sepakat mengikat ikatan perkahwinan pada 17 November 2017. Majlis resepsi pasangan ini cukup eksklusif apabila memilih tema klasik dan telah direalisasikan oleh perancang perkahwinan terkenal tanah air, Dato’ Rizalman Ibrahim.
Izara Aishah juga telah dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua dalam Pencarian Dewi Remaja 2009/2010 dan menjadi pilihan pengarah drama dan filem tempatan.
Official Photographer: @712studios
Belum Matang & Mentah, Fahami Isu DEPRESI KANAK-KANAK Ini Yang Mendorong Pelbagai JENAYAH JUVANA

Mereka yang dikaitkan dengan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, masih lagi dikira sebagai kanak-kanak (Akta Kanak-Kanak 2001). Laporan akhbar mengatakan 6 daripada 7 suspek positif dadah dan semua ditahan di atas kesalahan khianat dengan api.
Walau bagaimanapun mereka masih lagi dianggap kanak-kanak. Ya, kita marah pada mereka. Tetapi mungkin kita tidak faham apa yang mereka lalui dan rasa.
Persoalannya, mengapa mereka sanggup bertindak sedemikian? Mari kita memahami depresi kanak-kanak dan manfaatkan info ini untuk masa depan yang lebih tepat. Norzalina Mohd Alias
DEPRESI & KANAK-KANAK, APA YANG ANDA PERLU TAHU?
Topik ini adalah topik yang amat penting, namun ia jarang dibincangkan.
Hal ini kerana, orang dewasa beranggapan bahawa zaman kanak-kanak adalah zaman yang ceria, meriangkan dan tidak mempunyai bebanan serta tanggungjawab.
Hakikatnya, kanak-kanak juga mempunyai perasaan sama seperti orang dewasa. Mereka juga ada saat merasa sedih, kecewa, takut, bimbang dan sebagainya.
Disebabkan kurangnya pengalaman dan pendedahan dalam hidup, kanak-kanak tidak mempunyai kemahiran menguruskan perasaan dan emosi dengan baik. Perkembangan mental dan emosi mereka juga belum cukup matang untuk memahami konsep tekanan atau stres yang dialami.
Pengetahuan tentang depresi pada kanak-kanak oleh orang dewasa, khususnya ibu bapa dan guru AMAT PENTING.
Sekiranya masalah ini tidak dikesan dan dirawat dari awal, akan mengakibatkan pelbagai implikasi jangka masa singkat dan panjang seperti gangguan perkembangan minda, pembelajaran akademik, kemahiran pergaulan, pembentukan personaliti serta kerjaya kanak-kanak itu di masa hadapan.
Masyarakat seharusnya lebih terbuka dan perlu diberi pendedahan yang berterusan agar isu ini boleh difahami dengan baik.
Kanak-kanak bukan saja berkembang dari segi pertumbuhan fizikal, tetap juga aspek emosi, sosial dan kognitif (intelektual) yang membentuk personaliti serta minda mereka.
Berikut merupakan tahap perkembangan psikososial anak-anak dari peringkat kanak-kanak hinggalah remaja. Lihat di tahap manakah yang paling kritikal.
PERINGKAT 0-2 TAHUN
Bayi akan menjalinkan kepercayaan dengan orang lain seperti ibu atau penjaga yang sensitif, mesra dan konsisten.
Perasaan yakin dan selamat menguatkan lagi jalinan emosi ini, keadaan tersebut dapat dilihat daripada cara mereka berinteraksi seperti senyum, menangis dan mengeluarkan bunyi suara.
PERINGKAT 3-6 TAHUN
Kanak-kanak mula pandai berjalan dan meneroka persekitaran. Mereka juga sudah boleh berfikir secara simbolik, pandai memberontak sekiranya kemahuan mereka tidak dipenuhi tetapi belum pandai berfikir secara logik.
PERINGKAT 7 TAHUN KE ATAS
Pendedahan di sekolah membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran sosial, mula mengenal diri, rajin berusaha untuk kepuasan diri. Mereka sudah boleh berfikir secara logik tetapi belum mampu memahami perkara-perkara yang bersifat konsep.
PERINGKAT REMAJA
Kanak-kanak mula melangkah ke alam remaja setelah mencapai akil baligh. Kebiasaannya pada umur 11 hingga 13 tahun adalah tempoh baligh bagi perempuan dan tempoh baligh bagi lelaki antara umur 13 hingga 17 tahun.
Di peringkat ini mereka ingin mempunyai identiti sendiri, tidak suka dikongkong serta ada naluri ingin bekerja untuk mencari wang sendiri. Cara berfikir mula berkembang, sudah pandai menunjukkan bantahan dan merasakan pendapatnya betul.
Tanggungjawab siapa?
Apabila bercakap tentang isu kanak-kanak, kita tidak akan dapat lari dari mendalami dua isu penting yang amat berkait rapat kepada dunia kanak-kanak iaitu institusi kekeluargaan dan persekolahan.
Contoh, jika situasi di sekolah tidak baik atau dilihat sebagai memberi ancaman kepada kanak-kanak itu seperti berlakunya kes buli, ini menyebabkan kanak-kanak tersebut akan memperlihatkannya melalui tingkah laku yang tidak sepatutnya.
Begitu juga sebaliknya sekiranya dari segi emosi mereka terganggu, ia akan menjejaskan pencapaian akademik mereka.
Begitu juga sekiranya berkait isu keluarga. Situasi tidak selesa seperti berlakunya pertelingkahan atau penceraian ibu bapa di rumah akan mengganggu emosi dan tingkah laku kanak-kanak.
Sebaliknya sekiranya berlaku tingkah laku tidak diingini dalam diri kanak-kanak tersebut, ini juga akan menyebabkan institusi keluarga menjadi lebih stres dan tidak harmoni.
Kanak-kanak akan memperlihatkan masalah emosi melalui salah satu cara berikut:
(a) Externalizing behaviours
Berkelakuan memberontak (rebellious) seperti menunjukkan kemarahan (tamper tantrum), memecahkan barang, berkelakuan nakal, melawan peraturan dan arahan.
(b) Internalizing behaviours
Menjadi lebih senyap, menyendiri, menjauhkan diri dari keluarga dan masyarakat serta terganggu prestasi pelajaran.
Maka adalah tidak benar semua kanak-kanak yang dilabelkan nakal atau memberontak seperti terlibat dalam masalah disiplin ini sebagai semuanya mempunyai masalah sikap (attitude problem).
Adalah penting ibu bapa dan guru cuba mendekati perasaan mereka mengapa mereka berkelakuan begitu.
Kerana di sebalik tingkah laku mereka, ada di kalangan mereka tidak bernasib baik seperti datang dari keluarga bermasalah, ibu bapa bercerai, berlaku konflik keluarga, kurang tumpuan, kasih sayang dan perhatian ibubapa, ibubapa yang mengabaikan tanggungjawab, berlaku penderaan fizikal atau seksual dan sebagainya.
Walau bagaimanapun tidak semua situasi boleh ditangani oleh ibu bapa dan guru. Bantuan pihak ketiga seperti kaunselor, psychologist dan psychiatrist banyak membantu.
Fikirkan kepentingan anak dan tolak ke tepi pandangan masyarakat apabila berlaku dilema dan halangan untuk membantu kanak-kanak ini.
Kanak-kanak yang mengalami tekanan dalam sesuatu situasi tetapi pada masa yang sama merasai keseronokan dalam situasi yang lain dapat mengurangkan perasaan negatif tersebut.
Contohnya apabila berada di sekolah, kanak-kanak tertekan dengan pelajaran tetapi apabila berada di rumah, dia gembira dengan layanan baik ibu bapa terhadapnya. Pengalaman yang seimbang ini dapat membantu kanak-kanak menghadapi tekanan dengan lebih baik.
Marilah kita berusaha menjadi ibubapa yang ikhlas melayan anak-anak. Penuhilah keperluan emosi dan fizikal mereka dengan penuh kasih sayang, perhatian dan sikap yang baik.
Jangan jadikan anak-anak sebagai tempat kita melepaskan tekanan dan kesusahan kita. Janganlah kita pula yang menjadi penyebab kepada tekanan yang dihadapi oleh anak-anak.
Che Siti
Link sumber:
Kredit: Facebook Root Of Science