Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Terima Penganugerahan Royal College of Surgeons of Edinburgh

Sekali lagi nama negara harum di mata dunia. Kali ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diberi penghormatan menerima anugerah dari Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) International Medal 2021  sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam bidang pembedahan perubatan di Malaysia.

Berita tersebut turut dikongsikan oleh koresponden TV3, Haliza Hashim melalui hantaran di laman Instagram miliknya.

Foto: Instagram @halizahashimdoyle

Malah, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada beliau sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam bidang pembedahan perubatan di Malaysia.


Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut catatan di akaun Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas penganugerahan tersebut yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.


“Penganugerahan tersebut membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa,” menurut hantaran itu.
Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Dr Noor Hisham dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kecemerlangan yang berterusan.


Dr Noor Hisham menerima anugerah tersebut daripada Presiden RSCEd Prof Michael Griffin pada majlis santapan malam bagi memuliakan keberangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, felo terhormat RSCEd yang juga Canselor Diraja Universiti Kebangsaan Malaysia.

Turut berangkat pada majlis itu Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Untuk rekod, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerima anugerah utama dalam pengiktirafan Nona Superhero Award 2021 yang lalu.

Sumber: Utusan Malaysia.

IKLAN
Share