Pasti ramai wanita berkongsi rasa kagum dan bangga dengan kejayaan yang diraih Ayu Damit hari ini. Iyalah, selain sibuk menjalani rutin harian sebagai seorang isteri, ibu kepada tiga orang anak dan juga penyanyi… Juara program nyanyian One In A Million ini dalam diam rupa-rupanya sudah bergelar usahawan pertanian berjaya. Daripada tanaman secara kecil-kecilan, kini Ayu dan suami mampu mengembangkan tanaman di ladang seluas 4 ekar.
Ayu yang dihubungi pihak Nona hari ini dalam nada ceria sudi berkongsi pengalaman khusus buat mereka yang menyimpan hasrat bergelar ahli pertanian berjaya kelak. Tanpa berselindung, dia menyusun bicara.
“Alhamdulillah, Ayu dan suami tengah mengusahakan cili padi sistem fetigrasi selama dua tahun. Tapi sebenarnya, kami sudah terlibat dalam bidang pertanian hampir lima tahun. Pada mulanya, kami mengusahakan penanaman kelapa mataq dan nanas. Pun begitu, buat masa sekarang kami lebih fokus kepada penanaman cili padi. Tanaman kelapa masih ada cuma nanas je dah tak ada.”
Ads
Tatkala diaju persoalan mengapa memilih tanaman cili padi, ini jawapan Ayu. “Sebab utama pilih cili padi adalah kerana pasaran yang agak tinggi selain Malaysia kekurangan pengeluar cili dan kebanyakan pembekal cili berasal dari negara lain.”
Terang isteri Syed Fauzi Syed Baharuddin ini lagi, “Setakat ini kami menyewa tanah Orang Asli yang terletak di Pangsoon, Hulu Langat seluas 4 ekar dan di ladang tersebutlah kami usahakan tiga jenis tanaman iaitu cili padi, timun dan terung.
Produk terbaru yang Ayu keluarkan ialah cili jeruk dan masih berjinak-jinak untuk dipasarkan di dalam Malaysia. Pengurusan tanaman dan bisnes pertanian ini dikendalikan sepenuhnya oleh suami.
Ads
Tugas Ayu lebih kepada membantu dari segi promosi dan penjualan saja. InshaAllah, dalam masa lima tahun akan datang Ayu ingin meluaskan ladang yang ada sekarang ini untuk dieksport ke luar negara.”
Selaku ibu bekerjaya, bukan mudah bagi Ayu untuk membahagikan masa di antara keluarga, perniagaan dan karier seni. Pun begitu, baik Ayu mahupun suami.. kedua-duanya memilih untuk tidak lagi menggunakan khidmat pembantu rumah selepas berdepan dengan pelbagai dugaan.
“Dulu Ayu memang menggunakan khidmat pembantu rumah tapi banyak kali lalui macam-macam ragam pembantu ni. Jadi, buat masa sekarang Ayu dan suami yang menjaga anak-anak.
Kalau Ayu ada kerja, suami yang akan jaga dan begitu juga sebaliknya.”
Selama 11 tahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Syed Nasrul Haikal (9 tahun), Sharifah Alya Adriana (7 tahun) dan Syed Aqif Najmi yang kini berumur 3 tahun.
Kredit: Instagram Ayu Damit
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sememangnya penampilan Datin Maria Arshad buat ramai wanita ‘cemburu’. Selebriti ini berjaya membuktikan usia hanyalah angka semata-mata.
Di usia 63 tahun, ibu mentua kepada pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah atau lebih mesra disapa Shiera ini kekal menawan. Cemburukan tengok gaya Datin Maria Arshad, kalah anak dara!
Seperti yang kita tahu hubungan Shiera dan ibu mertuanya umpama isi dengan kuku. Beruntungnya Shiera kerana disayangi dan sangat serasi dengan mertuanya itu yang dipanggil Mama.
Shiera merupakan ibu kepada lima orang anak iaitu Allisya, Airell, Airra, Auddra dan Adeena. Isteri kepada pelakon, Ijoy Azhari ini bukan saja mengkagumi cara didikan ibu mertuanya terhadap anak-anak malah dia juga bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga dan cantik.
“Mama seorang yang sangat disiplin dengan amalan petuanya dan dilakukan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Saya pula sebaliknya, tak dapat nak ikut sangat petua-petua yang diamalkan sebab terlalu sibuk. Kalau buat pun hangat-hangat tahi ayam saja. Setiap orang ada cara masing-masing.
Kalau berbual tu memang kami tak pernah cakap topik kecantikan. Selalunya lebih kepada hal-hal anak cucu, ‘membawang’ pun ada lah sekali sekala. Walaupun mama tak pernah kongsi apa petua yang diamalkan tapi saya dapat lihat melalui perbuatannya,” kata Shiera.
Teruja melihat penampilan Datin Maria Arshad saat dikejutkan oleh anaknya yang sudah tiga tahun tidak berjumpa lantaran kerana COVID-19.
“Anak bongsu saya dah hampir 3 tahun tak dapat balik Malaysia sebab dia masih belajar di Perth dan disebabkan pandemik. Rupanya dia pakat dengan kakak dia untuk surprise ni,” kongsi Datin Maria Arshad di laman media sosial milik peribadinya.
Datin Maria Arshad juga ligat berniaga kek. Ramai yang memuji kek air tangan Datin Maria Arshad di bawah jenama By CitarasaMariaArshad ini.
Untuk rekod, tahun lalu, selebriti veteran ini telah disahkan positif COVID-19 selepas mengalami demam berpanjangan selama hampir dua minggu. Setelah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta, Datin Maria Arshad telah sembuh dan dibenarkan untuk pulang ke rumah.
Ketika di negara kita saban hari kes COVID-19 dicatatkan semakin meningkat tetapi berbeza pula jumlah kes yang dikatakan semakin menurun di negara China. Seperti kita ketahui wilayah Wuhan adalah kes pertama munculnya virus yang pada awalnya dikenali sebagai Novel Coronavirus 2019.
Nona berkesempatan menghubungi salah seorang warganegara Malaysia yang menetap di China untuk berkongsi pengalamannya sepanjang tempoh penularan COVID-19 ini. Zamilah Asnawi berada di China bagi menemani suaminya yang bekerja di sana.
“Sekarang keadaan di China sudah semakin baik. Tiada kematian dan sangat sedikit kes baru. Di Wuhan ada 8 kes sejak 3 hari lalu (ketika artikel ini ditulis). Hospital sementara di Wuhan juga banyak sudah ditutup. Hospital sementara ini dibuat di stadium, dewan besar dan bangunan pasang siap sementara.
Manakala di Guangzhou ada 4 kes baru minggu ini (ketika artikel ini ditulis) tetapi, ia berpunca dari pelancong luar atau warganegara China yang baru balik dari luar negara,” tutur Zamilah membuka bicara.
Bercerita lanjut, “Ketika ini di Huadu (tempat tinggal Zamilah) dalam peringkat lockdown level 2. Semua kedai tutup kecuali pasar raya. Penduduk perlu mendaftar perjalanan keluar dari daerah jika perlu.
Kami yang baru balik dari Malaysia perlu lapor diri kepada polis dan buat kurungan di rumah. Boleh keluar ke pasar raya untuk beli keperluan tapi kena cepat dan pantas. Kebetulan sebelum balik cuti ke Malaysia saya ada simpan stock lauk-lauk untuk keperluan 2 minggu.
Jadi kami ke pasar raya hanya untuk beli keperluan lain dan sayur-sayuran. Membeli sayur-sayuran dah tak sama macam sebelum ini kerana sayur-sayuran dah tak segar lagi seperti sebelumnya. Tak ada jualan ikan-ikan tapi yang seronoknya dah tak ada langsung haiwan-haiwan eksotik seperti buaya, biawak, ular, katak dan kura-kura dijual di pasar raya,” ujar Zamilah tersenyum.
Tambahnya lagi, “Keadaan di Huadu sunyi kerana semua tempat awam ditutup. Taman rekreasi dan riadah berhampiran rumah siap dipasang tali merah putih rentang semua kawasan tak dibenarkan masuk.
Tak kelihatan lagi orang ramai yang sentiasa memenuhi mall dekat rumah kami, apalagi kanak-kanak tidak kelihatan terus. Semua kawasan dipasang pagar dan hanya satu pintu dibuka dan pegawai sekuriti akan memeriksa suhu badan setiap orang yang masuk.
Masa ini bekalan mask sangat terhad. Di farmasi orang ramai berbaris panjang sehingga hampir 2km untuk mendapatkan mask. Mujur kami dah sedia mask dari Malaysia dan bawa agak banyak kerana staf-staf suami pesan untuk mereka.
Semua perkhidmatan awam juga dihentikan dan tidak dibenarkan masuk ke station subway jika tak pakai mask. Urusan bank hanya lima orang dibenarkan pada satu masa. Yang lebih kena tunggu di luar bank dan kerusi jarak 1 meter. Begitu juga bila kedai makan dibuka, boleh makan 1 meja 1 orang dan tidak berhadapan.
Jabatan kesihatan akan hantar pesanan ringkas setiap hari dengan memberi peringatan kepada orang ramai supaya menjaga kesihatan dan mendapatkan rawatan segera jika ada tanda jangkitan. Jika mahu mendapatkan sebarang rawatan tidak dibenarkan guna kenderaan awam sebaliknya panggil ambulans dan kereta ambulans akan datang ambil.
Setiap hari kami akan dipesan agar sentiasa buat senaman dan melakukan pergerakan dalam rumah. Jangan percaya kepada khabar angin apatah lagi menyebarkannya. Kami juga disarankan agar ikut arahan dari aplikasi kerajaan, tidak berkongsi makanan dan jangan keluar tanpa urusan,” katanya lagi.
Menurut Zamilah menjadi suri rumah, beliau terpaksa menukar rutin harian agar tidak menjadi bosan. “Biasanya rutin harian saya adalah masak sarapan dan makan tengah hari untuk suami bawa bekal. Ini kerana tempat kerja suami tak ada makanan halal. Kebiasaanya saya keluar selang sehari untuk dapat bekalan sayur-sayuran.
Seminggu atau 2 minggu sekali saya akan keluar ke Guangzhou untuk berjumpa kawan-kawan dari Malaysia atau ke masjid jumpa kawan-kawan Muslim yang lain. Kadang-kadang bawa tetamu dari Malaysia.
Sekarang hanya duduk di rumah. Bagi mengelakkan rasa bosan saya ubah rutin harian dan cuba banyak cuba masakan baru, berkebun dan lebihkan bacaan al-Quran serta mengikuti live belajar apa-apa yang patut. Kemudian buat senaman sikit bagi keluar peluh,” ujar Zamilah yang kagum dengan rakyat China kerana patuh kepada semua arahan kerajaan mereka.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dari syarikat korporat ke dunia penjagaan kanak-kanak, Muhaini Mahmud akhirnya menemui kerjaya yang diimpikan. Bersandarkan sifat keibuan yang tebal, wanita jelita berusia 43 tahun ini bangkit bersama rakan kongsi, Nadira Yusoff mengasaskan Kiddocare Sdn Bhd. Misi mereka jelas, mahu membantu menangani isu pengasuh di Malaysia dan menjana pendapatan wanita yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Peramah dan menyenangkan. Begitulah personaliti Muhaini ketika pertemuan kami di program MySTEP di The Club, Bukit Utama. Tampil anggun dalam persalinan sut serba putih, Muhaini mesra menyapa penulis sambil menerangkan program latihan team Kiddocare yang sedang berlangsung waktu yang sama.
Kiddocare diasaskan dengan tujuan membantu ibu bapa yang bekerja untuk menjaga anak-anak di rumah menggunakan perkhidmatan pengasuh terlatih dan boleh dipercayai.
“Semuanya bermula apabila Nadira mendapat idea untuk mengasaskan Kiddocare. Secara kebetulan idea tercetus apabila beliau terlupa untuk mengambil anak dari taska kerana terlalu sibuk bekerja. Dia hanya menyedari perkara ini apabila guru taska menelefonnya pada lewat petang.
Saya pula seorang ibu tunggal kepada anak lelaki, Mateen Maliq yang baru berusia setahun waktu itu. Jadi saya sangat memahami keadaan ibu bekerja, terutamanya ibu tunggal yang sentiasa memikirkan anak-anak dan sama ada mereka dijaga dengan baik atau sebaliknya.
Iya, memang susah nak mengimbangi kerjaya dan komitmen dalam satu masa.
Ibu-ibu sebenarnya menghadapi cabaran dan tekanan yang besar apabila bekerja. Mereka mempunyai komitmen tambahan terhadap pekerjaan. Tetapi apabila berlaku sesuatu yang besar berkaitan keluarga, hendak atau tidak mereka terpaksa mengambil cuti sehingga menjejaskan tugas.
Jadi berdasarkan hal ini, timbul idea penubuhan Kiddocare untuk membantu ibu bapa mendapatkan pengasuh yang boleh dipercayai untuk anak-anak mereka sewaktu bekerja.
Selain itu, masa bekerja yang fleksibel dan peluang menjana pendapatan di Kiddocare mampu memperkasakan semula wanita daripada komuniti B40 untuk menyara keluarga.
Kami juga memberi peluang pendapatan kepada wanita yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 yang lepas. Ada banyak kisah kejayaan mengenai pengasuh kami dan bagaimana Kiddocare telah mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.” Muhaini
ILMU & LATIHAN
Bercerita isu pengasuh tanpa kelayakan yang banyak menjalankan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak, Muhaini pantas menekankan pentingnya ilmu dan latihan kepada bakal pengasuh Kiddocare.
“Kami selalu memberi latihan kepada mereka melalui kursus-kursus dan mengajar kemahiran asas seperti kursus penjagaan kanak-kanak, kursus CPR & Safety serta sebagainya. Malah dalam kerja asuhan mereka pun kami akan buat pemantauan dan penilaian berterusan.
Bukan itu saja. Kami juga akan sering berbincang tentang apa yang baik dan apa yang boleh diperbaiki.
Dengan ini dapat melengkapkan kemahiran mereka bukan sahaja sebagai pengasuh, malah sebagai seorang insan kerana semua kursus ini dikendalikan oleh pakar industri yang berwibawa dan berpengalaman.” Muhaini
Tonton temu bual Nona bersama Nadira Yusoff dan Muhaini Mahmud tentang aspirasi penubuhan Kiddocare untuk ibu bapa Malaysia ni…
Menyelami sejarah kerjaya Muhaini, wanita jelita asal Kuala Lumpur ini rupanya memiliki kelulusan tinggi dan pernah bertugas di syarikat korporat terkemuka Malaysia. “Saya memiliki ijazah dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Kemudian saya melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam Sains Aktuari di City University di London.
Kerjaya saya bermula dalam sektor korporat dan di sana saya berkhidmat kira-kira 14 tahun. Lebih lima tahun sebagai Perunding Aktuari di The Actuarial Partners dan lebih lapan tahun sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat di The Weststar Group. Saya banyak menimba pengalaman dan itulah yang membantu saya sehingga hari ini untuk menubuhkan Kiddocare.
Pada awal kerjaya saya ketika muda, memang menjadi kebiasaan apabila kita terbiasa mencurahkan segala usaha dan tumpuan kepada kerja supaya boleh mencapai standard hidup yang lebih baik dan maklum jugalah, sektor korporat ini memang penuh dengan cabaran, tekanan dan kerja yang tak habis-habis jadi saya mempunyai jadual kerja yang sangat sibuk dan padat ketika itu.”
****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
****************
KEIBUAN
Menjadikan masa bersama si kecil sebagai momen ‘me time’ dan cara menghilangkan stres, Muhaini kebiasaannya suka melancong atau bersantai di rumah dengan anakanda tersayang.
“Selain itu, saya suka melakukan aktiviti fizikal seperti berlari, berbasikal, ‘personal training’ di gym dan bermain golf apabila kerana saya percaya senaman itu bukan sahaja penting untuk tubuh dan kesihatan kita, malah ia berfungsi sebagai penghilang stres. Bila saya melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, saya rasa seperti bebanan kerja dan hidup saya teralih sementara.”
Muhaini juga bijak mengagihkan tugas di Kiddocare di antara sesama rakan kongsi. Katanya, mereka akan melihat kepada minat, kecenderungan dan kemahiran masing-masing dalam bisnes.
Misalnya, jika ada sesi bersama pelabur, mungkin yang lebih mahir bercakap dan bersosial akan lebih ‘ke depan’ dan jika ada promosi yang perlu dilakukan melalui laman web atau media sosial pula, yang lebih mahir menulis atau mereka bentuk bahan promosi akan melakukan tugas ini.
“Tetapi apa pun tugas kami berdua, kami sentiasa membincangkan pelan tindakan kami dan kami juga akan saling memberi komen dan cadangan kepada satu sama lain. Di antara kami, ada banyak perbincangan, input dan komen yang diberikan dan kami sering menyelesaikannya bersama-sama.” Muhaini
Kini Kiddocare giat melakukan promosi untuk menarik para pelanggan seperti pakej harga murah, pemberian diskaun dan sebagainya.
Mengakhiri pertemuan, Muhaini turut berkongsi impian mereka.
“Kiddocare juga sering bergandingan dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta dan NGO untuk mencari hubungan kerjasama dan sinergi, dan dengan memaksimumkan pengaruh pihak-pihak ini, kami dapat berkembang dan menyebarkan konsep perniagaan kami kepada jaringan audiens yang lebih besar.
Setakat ini, khidmat asuhan kami meliputi bandar-bandar besar di Malaysia tetapi kami menyasarkan supaya khidmat Kiddocare boleh dicapai di mana-mana sahaja di Malaysia. Itulah yang kami ingin usahakan.
Dalam pada itu, kami juga memasang niat untuk berkembang ke negara-negara jiran juga kerana konsep perniagaan kami yang unik ini saya rasa ada potensi untuk dimajukan sebagai suatu konsep yang boleh mengubah dan memodenkan industri jagaan kanak-kanak.
Seperti di Malaysia, saya yakin negara-negara jiran yang lain juga ada potensi yang besar untuk kami ke sana.
Selain meluaskan perniagaan, kami akan sentiasa mencari peluang untuk menambah baik lagi model perniagaan semasa kami supaya tidak ketinggalan dan dapat memenuhi kehendak pelanggan kami yang sedia ada dan juga menarik lebih ramai lagi pelanggan yang baharu.” Muhaini
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Foto: Nor Yanti Shaharudin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!