Tawan Bumi Monaco, NEELOFA Menang Anugerah Entrepreneur Di Influencer Awards 2019!

Kuatnya aura dan pesona Noor Neelofa Mohd Noor! Selepas menawan kota eropah dalam New York dan Milan Fashion Week, kali ini pengasas Naelofar Hijab sekali lagi mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai salah seorang penerima anugerah Influencer Awards 2019 Monaco. Penampilan Neelofa yang anggun mengayakan busana putih salju nyata berjaya memukau pandangan hadirin dalam majlis berprestij tersebut.

Berlangsung di Monte Carlo, Monaco semalam… anak kelahiran Kelantan ini menerima pengiktirafan di Influencer Awards 2019 bagi kategori Entrepreneur. Sambil melahirkan rasa teruja dengan penganugerahan tersebut, Neelofa mengakui kehebatan juri dan calon yang bertanding datang dari seluruh pelosok dunia.

“Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur dan teruja menerima anugerah ini. Memandangkan pemilihan setiap penerima anugerah dibuat berdasarkan penilaian juri dari New York, Los Angeles, Perancis dan negara Timur Tengah. Ia membuatkan anugerah ini bertambah istimewa.”

Tambah Neelofa lagi, bisnes hijab yang diusahakan sejak tahun 2014 berkenaan telah membuka peluang kepadanya untuk mengembara dan memperkenalkan Malaysia ke persada dunia. “Saya sendiri tidak sangka diberikan pengiktirafan sebegini rupa. Bermula dengan perniagaan kasut secara kecil-kecilan di rumah, membawa kepada kewujudan jenama Naelofar.

Pengiktirafan ini merupakan titik tertinggi dalam karier bisnes saya setakat ini. Sejujurnya, saya rasa sangat bertuah memandangkan bisnes hijab ini mampu menjadi platform buat saya mempromosikan Malaysia dan modest fashion kepada orang luar,” ujarnya.

Influencer Awards 2019 Monaco kini memasuki tahun kedua selepas penganjurannya pada tahun lalu berlangsung dengan jayanya. Untuk makluman, anugerah ini direalisasikan Pauline Ducruet iaitu anak sulung kepada Puteri Monaco, Puteri Stephanie dan beberapa lagi individu lain termasuk Lolita Abraham, Maxime Giaccardi dan Thomas Peters.

Mengintai kemeriahan Influencer Awards tahun lalu yang diadakan pada 7 Oktober 2018, sebanyak 27 anugerah telah diberikan kepada usahawan, selebriti dan anak seni yang meraih pencapaian membanggakan dalam kerjaya masing-masing di seluruh negara. Antara pemenang pada majlis tersebut termasuk blogger fesyen dari Perancis, Caroline Receveur (kategori Lifestyle) dan jurusolek Kim Kardashion, Mario Dedivanovic bagi kategori Make-Up Artist influencer.

 

IKLAN
Share