
Alahai, comelnya Isaac Raees! Sebagai anak selebriti popular, Isaac tidak terlepas tempias dunia glamor dan sentiasa menjadi perhatian khalayak. Lebih-lebih lagi dalam kalangan peminat ibu bapanya iaitu Zahirah MacWilson dan Aiman Hakim Ridza.
Telatah anak kecil ini yang sering dikongsikan Zahirah di media sosial miliknya cukup menghiburkan. Apatah lagi melihat gelagat Isaac yang petah berbicara dan fasih cakap Melayu!
Bahkan Isaac juga seorang anak yang comel, ceria dan suka senyum. Terpikat dengan lesung pipitnya!



Seperti ketahui umum, Zahirah yang dilahirkan di Kuala Lumpur dan dibesarkan di Sheffield, London serta Perth, Australia ini berketurunan British dari sebelah bapanya dan
Melayu daripada ibu. Sebagai anak kacukan pastinya Zahirah fasih berbahasa Inggeris.
Bagaimana pun isteri aktor kacak ini dilihat selesa berbahasa Melayu dengan anak tersayang. Malah Zahirah dan Aiman melayan serta mendidik Isaac dengan penuh kasih sayang.






Isaac Raees turut mempunyai akaun Instagram sendiri dengan hampir 150 ribu followers.
5 Januari lepas, Isaac menginjak usia dua tahun. Bersempena ulang tahun kelahiran anak tersayang, Zahirah dan Aiman mengadakan majlis sambutan hari lahir Isaac di Perth, Australia yang bertemakan safari.
Pasangan selebriti romantis ini mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020 dan menyambut cahaya mata sulung mereka pada 5 Januari 2021.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/bunga-elhaqs-first-ramadan-sedondon-berbusana-putih-telatah-anak-elisya-sandha-cuit-tumpuan/
“Orang Panggil Saya Barbie Kerana Kulit Putih & Tinggi Macam Model!” Fazulkafli

Jika anda seorang Instagrammer, nama Fazulkafli pastinya sudah tidak asing lagi. Mana tidaknya, meninjau laman Instagram miliknya iaitu @fazulkafli, dia lebih selesa dikenali sebagai Faz Barbie atau Barbie Malaysia.
Mempunyai pengikut seramai 204K di laman Instagram, pemilik perniagaan Scrub District dan Skinny Dollz ini sering menjadi perhatian lantaran penampilannya yang berbeza dan elegan.
Empunya nama sebenar Farah Hazwani Zulkafli, 36 tahun lebih selesa disapa Barbie ini bercerita dengan panjang lebar bagaimana gelaran Barbie itu melekat di dalam dirinya.
Menurut Barbie, gelaran Barbie Malaysia itu ‘melekat’ pada dirinya ketika baharu sahaja melangsungkan perkahwinan dengan suami tersayang, Asadel Farhaan Hamdan pada tahun 2016.
“Selepas berkahwin, saya mula mewarnakan rambut dengan rona blonde. Memandangkan saya memiliki kulit yang putih dan ketinggian bagaikan seorang model, ramai yang menggelar saya dengan panggilan Barbie.
Saya juga selesa digelar Barbie dan sememangnya patung Barbie mempunyai keistimewaan di hati wanita,” ujar Barbie sambil wajahnya disolek dengan rona terang seperti merah jambu.
Selain dikenali sebagai Instafamous, Barbie juga merupakan seorang seorang jutawan kosmetik yang sering memberi inspirasi kepada para pengikut laman Instagram melalui video secara langsung mahupun captions di setiap postingnya.
Menurut Barbie lagi, dia mahu memberi dan menjadi inspirasi untuk wanita muda bangkit dan mengejar impian mereka.
“Saya percaya, dengan motivasi dan role model yang betul, setiap individu mampu mengejar impian. Berada di era media sosial, ramai wanita muda tidak sedar bahawa mereka mampu merubah taraf kehidupan mereka dan mengejar impian untuk berjaya.
Saya menjadikan kisah kejayaan saya sebagai inspirasi untuk wanita mudah di luar sana berjaya,” ujar Barbie yang mengusahakan produk kecantikannya sendiri.
Sebagai seorang selebriti media sosial yang memiliki produk kecantikan jenama sendiri iaitu Scrub District dan Skinny Dollz, Barbie berkata sejak zaman remaja lagi dia mengimpikan memiliki empayar perniagaan sendiri.
Hasil kerja keras dan dorongan keluarga, Barbie mengeluarkan produk skrubnya sendiri dan menjadi jenama pilihan nombor satu di atas talian di Malaysia.
Selain terkenal dengan imej seksi, dia juga dikenali dalam kalangan pengikutnya dengan sikap positif, yakin dan sering memberikan kata-kata semangat kepada orang lain.
Sikap positif dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi banyak diwarisi dari didikan serta pendedahan kedua ibu bapanya yang mementingkan pendidikan dan nilai kekeluargaan yang akrab.
GRADUAN HEBAT
“Barbie dilahirkan dan dibesarkan di Australia serta mendapat pendidikan rendah di Clapham Primary School sebelum meneruskan persekolahan peringkat menengah di Convent Bukit Nanas Kuala Lumpur.
Selepas menamatkan alam persekolahan, Barbie melanjutkan pelajaran dalam bidang Teknologi Maklumat di Universiti Malaysia dan memperolehi keputusan 3.55 CGPA.
Sebelum memulakan perniagaan, Barbie turut menimba ilmu dengan melalui alam pekerjaan di beberapa syarikat korporat,” ujar Barbie yang pernah bertugas di Petronas, KPMG dan beberapa syarikat bertaraf antarabangsa.
Tambah Barbie lagi, keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Teknologi Maklumat banyak dipengaruhi oleh bapa tersayang, Zulkafli Kasim yang merupakan graduan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Senibina dari Australia.
“Melihat kejayaan mama dan papa mendorong Barbie melanjutkan pelajaran dalam bidang Teknologi Maklumat kerana papa banyak mendorong dan membentuk keperibadian Barbie kini.
I became strong and powerful woman because of him,” ujar Barbie yang sememangnya amat rapat dengan kedua ibu bapanya.
Menurut Barbie lagi, hubungan kekeluargaan sememangnya amat penting buat dirinya dan ia menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan yang dikecapinya kini.
“Barbie amat rapat dengan papa dan mama serta adik beradik. Malah Barbie anggap mama dan papa seperti rakan baik dan sentiasa berdiri di belakang Barbie untuk memberi sokongan dan dorongan dalam perniagaan.
Jangan tidak tahu, Barbie sebenarnya amat manja dengan papa. Papa banyak mendorong Barbie untuk berjaya seperti sekarang ini,” ujar Barbie.
Melihat penampilan dirinya yang mempunyai tubuh yang langsing, sudah tentu faktor pemakanan menjadi salah satu perkara yang amat dititikberatkan oleh wanita cantik ini.
Mana tidaknya, sebagai beauty influencer, sudah tentu Barbie mahu mengajak pengikutnya mengamalkan diet seimbang untuk mengekalkan kecantikan.
“Barbie mengamalkan gaya hidup yang sihat dan amat prihatin soal pengambilan makanan. Makan organik tanpa garam, gula dan minyak menjadi pilihan. Barbie juga lebih selesa mengamalkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran di dalam diet seharian,” jelasnya.
BARANG BERJENAMA
Melihat deretan tas tangan serta kasut jenama mewah miliknya, Barbie berkata ia merupakan sebahagian koleksi peribadi kesayangannya yang disimpan rapi di kediaman miliknya yang terletak di kawasan kejiranan elit di ibu negara.
Tambah Barbie lagi, antara jenama tas tangan kegemarannya termasuklah Hermes Birkin yang disifatkan sebagai so glamorous.
“Barbie suka tampil cantik dan menarik. Antara jenama pakaian kegemaran Barbie termasuklah Herve Ledger dresses,” ujar Barbie yang gemar mengunjungi London dan Paris sebagai destinasi untuk membeli-belah.
“Barbie jatuh cinta dengan kota glamor dan gaya hidup seperti London dan Paris. Ia merupakan destinasi wajib dikunjungi untuk membeli belah. Malah London sudah menjadi rumah kedua buat Barbie kerana setiap tahun wajib berkunjung ke sana,” jelas Barbie.
Diuji Fibroid, Nora Danish Tak Serik Mengandung Lagi & Impi Anak Perempuan Sebelum Umur 40

Tidak berkelip mata setiap kali melihat kelibat figura yang cantik menawan ini. Nora Danish sentiasa tampil menawan dan bijak mengadun gaya yang sesuai dengannya. Berkesempatan bertemu dengan ibu kepada tiga orang anak ini, Nona tidak melepaskan peluang untuk bertanya khabar.
Nora khabarnya baharu sahaja selesai penggambaran filem terbaharunya. “Saya baharu sahaja shooting filem Polis Evo 3 dan selepas ini saya akan masuk set semula untuk sebuah telemovie dengan Osman Ali (ketika temu bual ini berlangsung),” tutur Nora Danish lembut.
Menurut Nora Danish selain berlakon pelakon berkulit putih ini sibuk menguruskan dua perniagaan iaitu Salun Karva dan jenama pakaian OwlbyNd. “OwlbyNd kini sedang sibuk dengan Raya Collection dan sekarang saya juga ada keluarkan produk terbaharu iaitu Tara V-mist. Jadi sekarang saya sedang tumpukan perhatian pada produk tersebut,” kata Nora Danish.
Bila ditanya tentang keinginan Nora Danish untuk tambah anak, sambil tersenyum jawab Nora Danish, “Itu lah seperti mana kata orang, seorang ibu selalu lupa kesakitan masa melahirkan sebab bila tengok anak dah besar rasa rindu nak ada baby balik.
Macam sekarang, anak saya dah berusia dua tahun, rasa macam cepat masa berlalu. Daripada baby kemudian dah boleh berjalan. Rindu nak ada baby especially baby girl sebab saya dah ada 3 anak lelaki. Kalau diberikan rezeki Nora nak anak perempuan. Insyaallah sebelum berumur 40 tahun ni,” ucap pelakon yang berusia 37 tahun ini.
Menyingkap kisah kelahiran Nora Danish terdahulu, “Kalau ikutkan saya ada rasa takut nak mengandung lagi sebab lastest baby lahir di usia 8 bulan sebab ada komplikasi fibroid. Saya ada pendarahan yang sangat teruk, so memang takut. Takut tapi macam nak juga, macam mana?” tutur Nora Danish berseloroh.
Nora Danish sempat menitipkan nasihat kepada semua wanita agar sentiasa menjaga kesihatan, “Nasihat saya kepada semua wanita agar selalu buat medical check up, pap smear dan sebagainya.
Ini penting supaya kita tahu tahap kesihatan dalaman. Kalau ada benda-benda (ketumbuhan) macam tu elok kita buang sebab takut boleh mendorong kepada kanser. Sentiasa buat check up sekurang-kurangnya setahun sekali.
Saya sendiri tak buat check up sebab tu tak tahu ada fibroid. Jangan amalkan sikap selalu ambil sambil lewa tahap kesihatan kita. Ingatan ini penting terutama wanita yang lepas melahirkan anak wajib buat check up,” ungkap Nora Danish yang sudah membuang fibroidnya.
Nora Danish sentiasa berpenampilan cantik, ketika diajukan sukarkah untuk kelihatan cantik, ujarnya, “Susah, memang susah. Paling susah untuk saya nak jaga berat badan. Sebab lepas melahirkan anak makan sikit saja tapi berat badan cepat naik,” bicara Nora Danish mengakhiri perbualan kami.
Bina Hubungan Mesra Bersama Bayi Ketika Sesi Penyusuan

Menerima kehadiran anak pertama pastinya memberi sinar kebahagiaan kepada pasangan. Inilah titik permulaan untuk si ibu mempelajari cara terbaik untuk menjaga mereka. Paling utama, si ibu perlu tahu bagaimana untuk menyusukan anak.
- Sebaik sahaja bayi lahir, letakkan dia di dada anda. Sebaik-baiknya lakukan sewaktu masih di dalam bilik kelahiran (delivery room).
- Bayi yang baru lahir akan bergerak dengan sendirinya ke arah dada si ibu dan menyusu. Proses ini mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam. Beri masa pada si ibu dan bayinya untuk mengenali antara satu sama lain. Sentuhan kulit ke kulit di antara si ibu dan bayi membuatkan bayi lebih selesa.
- Bayi memerlukan sekurang-kurangnya 12 kali penyusuan sehari. Komitmen si ibu memberi penyusuan penuh secara berkala dapat meningkatkan kadar pengeluaran susu ibu.
- Susukan bayi selama mana bayi perlukan. Biasanya untuk melengkapkan penyusuan, bayi memerlukan masa lebih kurang 45 minit.
- Elakkan menyusu bayi ketika dia sedang menangis. Redakan tangisannya terlebih dahulu sebelum menyusukan bayi.
- Posisikan kedudukan anda untuk menyusu dengan betul. Gunakan bantal untuk kedudukan lebih selesa.
Posisi yang salah ketika menyusukan bayi bukan hanya boleh menyebabkan si ibu tidak selesa tetapi ia juga boleh membawa maut. Beberapa kes yang sedang menular di Malaysia mengenai bayi tersedak susu acapkali dipaparkan di dada akhbar dan televisyen. Langkah awal perlu diambil agar perkara ini tidak berulang.
TEKNIK PENYUSUAN BAYI
Kedudukan badan
- Pastikan posisi anda selesa. Sandarkan badan pada dinding atau menggunakan bantal kerana anda memerlukan waktu yang lama untuk menyusukan bayi.
- Rapatkan badan anda dengan mulut bayi dan alaskan bahagian bawah bayi dengan bantal.
- Penggunaan kusyen dan bantal lembut untuk menyokong anda dan bayi semasa penyusuan amat penting.
Cara memegang bayi
- Pastikan kepala, leher dan tubuh bayi dalam keadaan lurus.
- Wajah bayi dihadapkan ke arah payu dara dan hidungnya bertentangan puting payu dara ibu.
- Bayi perlu berada rapat dengan ibu.
Cara memegang payudara
- Cara yang betul untuk memegang payudara adalah dengan pegangan C iaitu ibu jari dan jari telunjuk di atas puting dan jari lain pada bahagian bawahnya.
- Elakkan pegangan ‘gunting’ iaitu ibu jari dan jari telunjuk di atas puting manakala jari lain pada bahagian bawahnya.
POSISI PENYUSUAN
Posisi mendukung/buai
- Si ibu memangku bayi dengan lengan.
- Kepala dan muka bayi menghadap payudara.
Posisi mendakap
- Ibu duduk dengan badan bayi di sokong sepanjang lengan dan bahagian kaki dibalut longgar.
- Ibu memangku bahu bayi dan memegang kepala.
- Pastikan terdapat ruang yang cukup kepada bayi ketika menyusukannya agar bayi tidak lemas. Ibu tidak perlu membongkokkan badan kepada ke hadapan.
Posisi baring
- Bayi baring mengiring menghadap ibu. Posisi ini sesuai untuk ibu yang hendak lebih santai dan berehat.