Teman DATUK YUSRY Terima Pingat YDP Agong, Penampilan Anggun DATIN LISA SURIHANI Tarik Perhatian!

Segaknya tengok Datuk Yusry Abdul Halim yang menghadiri majlis penyampaian rasmi Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan di Istana Negara pada Jumaat lepas. Turut menemaninya ialah isteri tercinta yang juga pelakon terkenal, Datin Lisa Surihani. Menyarung persalinan kurung rona hitam, keanggunan Datin Lisa nyata terserlah dan menarik perhatian peminat.

Datuk Yusry yang kini berusia 48 tahun merupakan pengarah, pelakon dan penyanyi. Beliau menerima kurniaan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membawa gelaran Datuk.

Memetik kenyataan Datuk Yusry, “Penanugerahan ini bersempena Hari Wilayah 2021 tempoh hari. Ia kerana majlis tertunda selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Ini anugerah yang sama untuk penerimaan gelaran Datuk itu. Cumanya majlis baharu dapat diadakan.”

Sementara itu menerusi perkongsiannya di media sosial pula, bapa kepada tiga cahaya mata ini menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut. “Bismillah. Memanjat kesyukuran ke hadrat ilahi kerana di atas keizinan dan kurniaan-Nya. Alhamdulillah Rabbil Al Aamiin.”

Bekas kumpulan KRU ini mendirikan rumah tangga dengan selebriti cantik Datin Lisa Surihani pada 23 Februari 2012 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan Yahaira Leanne, 6 tahun, Yusof Leonne, 4 tahun dan Yunos Laith yang dilahirkan pada 15 Jun lalu.

Pada Hari Wilayah 1 Februari lepas, Datuk Yusry ialah salah seorang daripada 355 penerima anugerah bersama rakan dunia seni, Datuk Nora Ariffin dan Datuk Habsah Hassan.

Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa memberitahu pengurniaan tersebut adalah sebagai menghargai sumbangan besar penggiat seni dan budaya terhadap lapangan yang mereka ceburi.

 

 

Kredit foto: Instagram Yusry Abdul Halim

IKLAN
Share