Gaya Hidup

Tenangnya Tengok DEKORASI Rumah Ni, Kreatif Pula Tu!

Berpaksikan kepada keindahan rona biru lembut menjadikan hunian ini cukup mendamaikan bermula dari sudut halaman sehinggalah ke dalam rumah. Rona biru lembut bukan sekadar melatari segenap ruang tamu bahkan di dapur serta bilik tidur. Tambahan pula, kawasan kejiranannya juga lebih privasi serta jauh dari kesibukan kota.

Pasangan suami isteri, Intan Suria dan Mohd Fadly Daud memilih kediaman jenis ini yang terletak di Puncak Alam, Shah Alam disebabkan oleh lokasinya yang strategik serta menarik. Ini merupakan kediaman pertama mereka yang didiami sejak tahun 2014.

Intan, ibu kepada tiga orang anak ini seorang yang sangat teliti dalam menerapkan dekorasi kediaman mereka. Lebih-lebih lagi rona biru lembut yang berperanan penting dalam mencetuskan suasana nyaman dalam rumah. Ringkas namun masih kelihatan menawan!

TENANG

“Saya memilih kediaman ini kerana sukakan kawasan kejiranannya yang tenang. Setiap hari saya dapat menikmati pemandangan hijau yang indah di samping menghirup udara segar. Jiwa dan minda terasa tenang. Biru lembut dipilih kerana selain menjadi warna kegemaran saya ia juga mampu menyerlahkan sisi elegan pada kediaman. Ia juga serasi dengan apa jua warna.

Kebanyakan perabot serta barangan perhiasan dibeli di IKEA dan Ain Furnishing. Saya dan suami sama-sama mencari idea serta menata rias setiap ruang di kediaman ini. Saya banyak membaca dan merujuk majalah-majalah berkonsepkan dekorasi bagi mencari idea-idea-idea baru mengikut trend semasa.

Bagi saya idea sendiri lebih baik di samping menjimatkan dan dapat merealisasikan impian sendiri. Agar tidak terlihat membosankan dengan dekorasi sama, setiap dua minggu sekali atau sebulan sekali saya akan mengubah kedudukan perabot.

Konsep moden kontemporari serta Scandinavian menjadi pilihan utama kerana ia adalah ‘jiwa’ saya. Begitu juga dengan penggunaan warna putih yang memberi ilusi luas kepada ruang kediaman sederhana di samping kelihatan lebih moden,” ungkap anak kelahiran Kuala Lumpur ini yang bertugas sebagai Eksekutif Pemasaran.

SELESA

Menjengah ke ruang dapur, nyata warna putih dan biru lembut masih menjadi pilihan. Ruang dapur moden sederhana luas dilengkapi dengan kabinet putih mencetuskan suasana damai. Sementara sudut memasaknya pula ditempatkan sebuah dapur rekaan terkini. Meninjau pula ke ruang makan, terletaknya set meja makan untuk enam orang yang turut mengaplikasikan warna putih dan biru lembut.

“Untuk ruang dapur saya turut menggunakan warna terang. Disebabkan saya suka memasak maka ruang dapur yang praktikal menjadi pilihan.

Ruang makan menjadi ruang kegemaran kami sekeluarga. Di sinilah tempat untuk kami berkumpul untuk makan malam bersama,” kongsi wanita berusia 40-an ini. Selain mengemas, Intan juga gemar berkebun di halaman rumah antaranya menanam tanaman herba.

 

IKLAN
Share