Seni & Budaya

Sambung Belajar Usia 64 Tahun, Momen Sweet Sultan Pahang Temani Tengku Ampuan Pahang Siapkan Tesis Titip Inspirasi

Gelaran Permaisuri sedikit pun tidak menghalang Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, untuk terus menimba ilmu sebagai seorang mahasiswa. Keazaman baginda untuk kembali menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian awam pada lewat tahun 2024 menjadi inspirasi bukan sahaja kepada golongan wanita, malah seluruh lapisan masyarakat.

Baru-baru ini, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, berkenan berangkat bercemar duli ke Muzium Seni Kontemporari (MOCA) di Kuantan. Menurut sumber rasmi Kesultanan Pahang, keberangkatan tersebut membawa makna tersendiri buat Tengku Ampuan Pahang yang kini sedang bertungkus lumus menyiapkan tesis akademik baginda.

Tesis berjudul The Hukum Kanun Pahang: A Sovereign Malay-Islamic Constitution mencerminkan minat mendalam baginda terhadap pemikiran Islam, perundangan Melayu dan warisan ketamadunan Islam di Alam Melayu.

Keberangkatan pasangan diraja ini turut mencuri perhatian apabila mereka dilihat bergurau senda dalam suasana santai. Keakraban tersebut jelas mencerminkan sokongan moral dan emosi yang kukuh antara suami dan isteri, sekaligus memperlihatkan keharmonian institusi diraja Pahang.

Facebook Kesultanan Pahang
Facebook Kesultanan Pahang
Facebook Kesultanan Pahang

Turut berangkat mengiringi ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.

Mahasiswa UIAM

Kini, Tengku Ampuan Pahang bergelar mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Jadual harian baginda cukup padat apabila perlu mengimbangi tanggungjawab rasmi sebagai Permaisuri dengan pengajian di peringkat Sarjana.

Baginda sedang mengikuti program Master of Arts in Islamic Thought and Civilization

di International Institute of Islamic Thought and Civilization, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM). Bidang ini sejajar dengan kecenderungan baginda terhadap sejarah, budaya dan pemikiran Islam.

Keberangkatan Sultan Pahang ke MOCA bukan sekadar lawatan rasmi, malah menjadi simbol sokongan terhadap perkembangan akademik Tengku Ampuan Pahang. Paduka Baginda turut berkenan menyantuni para pengunjung muzium, menjadikan lawatan tersebut penuh makna dan nilai kekeluargaan.

Pengiktirafan Seni & Warisan

Selain cemerlang dalam dunia akademik, Tengku Ampuan Pahang turut aktif memartabatkan seni dan warisan budaya Melayu. Baginda pernah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pengiktirafan tersebut diberikan atas sumbangan besar baginda dalam memperkasa seni tekstil serta seni kraf tradisional Melayu, khususnya menerusi Kain Tenun Pahang Diraja yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Kain Tenun Pahang Diraja menerima Anugerah Ikon Kraf 2019 daripada Majlis Kraf Dunia di India, sekali gus mengangkat seni warisan Melayu ke peringkat global dan membanggakan negara.

Latar Belakang Pendidikan

Diputerikan pada 5 Ogos 1960 di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Tengku Ampuan Pahang mendapat pendidikan awal di Sekolah Taman Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru. Baginda kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim sebelum menyambung pendidikan menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.

Menurut laporan Mingguan Wanita, baginda seterusnya mengikuti pengajian di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Nasional Singapura dalam bidang Sains Politik dan Sosiologi.

Perjalanan akademik dan sumbangan berterusan baginda jelas membuktikan bahawa ilmu pengetahuan tidak pernah mengenal batasan usia mahupun kedudukan.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/gen-z-muslim-pertama-jadi-first-lady-new-york-rama-duwaji-saksi-suami-angkat-sumpah-datuk-bandar/

Share
Published by
Norzalina