Terengganu Berduka! Bonda Sultan Mizan Zainal Abidin Mangkat, Umum Berkabung 5 Hari

Terengganu Darul Iman hari ini berduka dan berkabung selama lima hari berikutan bonda kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, iaitu Tengku Besar Terengganu Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff Abdillah kembali ke rahmatullah.

Tengku Besar Terengganu Fatimah@Sharifah Nong Alsagoff Abdillah mangkat di Kuala Lumpur pada 3.17 pagi, 3 Ogos 2023.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Mohd Sophian Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, jenazah Allahyarham dibawa dari Kuala Lumpur ke Terengganu dengan menggunakan pesawat khas.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Istana Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu untuk penghormatan terakhir dan urusan pemakaman.

Suasana pilu mengiringi istiadat pemakaman bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Allahyarham Tengku Besar Terengganu (Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff binti Abdillah) di Makam DiRaja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu, kira-kira jam 6 petang.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir. Menurut Mohd Sophian, Tuanku Mizan Zainal Abidin memperkenankan tempoh berkabung selama lima hari.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Pengurusan Majlis Dan Protokol memaklumkan perisytiharan perkabungan selama lima hari bermula 3 Ogos dan berakhir pada 7 Ogos 2023.

Selain itu, segala perhimpunan ramai dan majlis atau acara-acara anjuran kerajaan dan bukan kerajaan yang berunsurkan hiburan ditegah diadakan di seluruh negeri Terengganu Darul Iman dalam tempoh perkabungan.

Terdahulu, pada 4 Julai, adinda Sultan Mizan Zainal Abidin, iaitu Tengku Norhana Sultan Mahmud, 59, mangkat pada 4.52 pagi di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.

Sumber: Sinar Harian | Instagram: FB Korporat Suk Terengganu

IKLAN
Share