“Terima Kasih Pasukan SAR, Petugas Media. Salam Takziah Buat Semua Mangsa” FAHMI FADZIL

Penantian dan usaha pencarian mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali, Selangor berakhir selepas mayat mangsa itu ditemukan pada petang 24 Disember 2022.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menzahirkan penghargaan kepada pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. (Kredit Foto: FB Fahmi Fadzil)

Beliau turut menitipkan ucapan buat semua petugas media yang bertungkus lumus membuat liputan dan menyampaikan perkembangan terkini sejak hari pertama tragedi itu berlaku.

Memetik hantarannya di laman Facebook: –

“Setinggi-tinggi penghargaan buat semua yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat yang berakhir pada hari ini (24 Disember 2022) dan takziah buat semua keluarga mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali.”

Dalam hantaran Facebook berasingan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan turut merakamkan penghargaan buat pasukan SAR daripada pelbagai agensi yang mengerah keringat mencari mangsa tragedi itu.

“Jasa bakti anggota pasukan SAR yang terlibat amat dihargai,” katanya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan. (Kredit Foto: FB Datuk Seri Mohamad Hasan)

Mayat mangsa terakhir (ke-31) iaitu kanak-kanak lelaki dipercayai berusia lingkungan 7 hingga 12 tahun ditemukan pasukan SAR pada 4.53 petang pada kedalaman tanah 1.5 meter.

Setelah sembilan hari operasi SAR dilaksanakan, mayat terakhir itu ditemukan dalam keadaan telungkup di tebing bukit dalam beg tidur kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan sektor A (Hillview).

Kredit Foto: Bernama

Dalam insiden awal pagi pada 16 Disember 2022, seramai 92 mangsa terlibat dengan 61 daripadanya terselamat. Manakala 31 terkorban selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan mangsa.

Kejadian menyayat hati itu meragut nyawa 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

Sumber: Bernama

 

IKLAN
Share