Terima PhD Usia 43 Tahun & Ada 7 Anak, USTAZAH NORHAFIZAH MUSA Cetus Inspirasi!

Macam tak percaya, ketika usia mencecah 43 tahun dan mempunyai tujuh orang anak… Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa mampu menggenggam segulung PhD! Iyalah, dengan status beliau yang sudah pun bergelar isteri, ibu dan juga pendakwah, agak sukar sebenarnya untuk menggapai kejayaan sedemikian. Namun, Ustazah Norhafizah berjaya membuktikan ia bukanlah satu perkara yang mustahil.

Penganugerahan Doktor Falsafah (PhD) Ustazah Norhafizah dari Akademi Pengajian Islam tersebut berlangsung di Istiadat Konvokesyen ke-58 Universiti Malaya, Sabtu lalu.

Kongsinya, “Setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah Akademi Pengajian Islam (API), kepimpinan pengurusan dan pentadbiran API, Ketua-ketua Jabatan khususnya Jabatan Akidah & Pemikiran Islam, Penyeliaku Yang Berbahagia Prof Madya Dr Che Zarrina bt Saari dan Yang Berbahagia Dr Khairul Naim, semua pensyarah-pensyarah API yang merupakan tuan guru-tuan guru hebat semuanya.

Staf pentadbiran yang sangat baik hati dan sentiasa manis muka membantu seluruh proses PhD journey ini.. Hanya kepada Allah dirafa’kan doa agar Allah memakmurkan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, memberkati warga API di dunia dan di akhirat.”

Pasti ramai wanita yang terinspirasi dengan figura bernama Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa ini. Beliau bukan sahaja berjaya dalam bidang kerjaya dan pengajian, malah dikurniakan Allah nikmat rumah tangga yang bahagia bersama suami tercinta, Dr Azahar Yaakub dan tujuh anak iaitu empat perempuan serta tiga lelaki.

Bersama dua anak lelaki
Ustazah bersama Tengku Permaisuri Selangor

Keperibadian wanita hebat ini juga mencetuskan rasa kagum kerana Ustazah Norhafizah memiliki rupa paras yang sejuk mata memandang di samping pertuturannya yang penuh kelembutan dan nasihat. Masih terngiang-ngiang lagi suara lembut beliau menyampaikan ceramah di corong radio mahupun di kaca televisyen. Nampak bersahaja namun sampai ke lubuk hati setiap pendengar.

Ustazah Norhafizah mendapat pendidikan peringkat Sarjana Muda di Universiti of Yarmouk, Jordan dalam bidang Sastera Bahasa Arab dan Pengajian Islam sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan.

Bergelar pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, beliau juga merupakan penulis buku, kolumnis majalah, panel di radio Ikim FM, panel Tanyalah Ustazah, Al-Hidayah, Forum Perdana dan banyak lagi.

Oktober 2018 pastinya meninggalkan memori indah buat Ustazah Norhafizah kerana bukan sahaja menerima anugerah pengajian PhD, bahkan beliau turut dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Jempol, Negeri Sembilan Darul Khusus 1440 Hijrah bersamaan 2018 Masihi.. beberapa hari sebelum majlis konvokesyen berlangsung.

“Alhamdulillah.. walaupun tidaklah selayaknya kerana pasti di sana ada yang lebih berhak barangkali, tetapi mendapat penghargaan dari daerah kelahiran adalah sangat dihargai. Di daerah Jempol inilah, dibesarkan dengan sepenuh kasih sayang mak abah, keluarga, saudara mara, jiran tetangga, sahabat-sahabat.

Di daerah Jempol lah mulai kenal erti kehidupan, keseronokan zaman kanak-kanak dan remaja. Sejauhmana pun diri ini pergi, daerah Jempol tetap di hati. Alhamdulillah seterusnya terima kasih daerah Jempol atas penghormatan ini. Semoga Allah berkati dan lindungi selalu daerah Jempol.”

Sumber: Instagram Ustazah Norhafizah Musa

 

 

IKLAN
Share