Terkesan Kes Adik Amir, TAN SRI SHAHRIZAT Mohon Kerjasama Ramai Elak Insiden Berulang!

Kes kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun Zubaidi Amir Qushairi Malik atau lebih dikenali sebagai Amir pada 29 Januari lalu benar-benar meruntun hati banyak pihak. Ramai meluahkan rasa sayu, sebak dan menangisi pemergian Amir tidak hanya dalam kalangan masyarakat bahkan selebriti dan para pemimpin. Tidak terkecuali, ia turut menarik perhatian bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Selaku individu yang pernah diberi tanggungjawab menjaga kebajikan golongan wanita, keluarga dan orang awam, perkhabaran ini nyata mengusik emosi bekas pemimpin wanita ini. Menerusi perkongsian di media sosial miliknya, Tan Sri Shahrizat berkongsi rasa sedih dan berharap situasi luar jangkaan ini diselesaikan dengan segera.

“Saya harap siasatan kes penderaan yang teramat kejam hingga membawa maut ke atas kanak-kanak Zubaidi Amir Qusyairi Malek umur hanya tujuh tahun ini dipercepatkan. Sesiapa yang bertanggungjawab mesti diadilkan tidak kira ibu ke bapa tiri ke atau sesiapa. Apa pun tragedi seperti ini tidak boleh dibiarkan berulang lagi.

Apa dia sebenarnya berlaku yang boleh membawa maut kejam seperti ini. Every life is precious. Kita hidup bermasyarakat. Jangan kita ahli keluarga mahupun masyarakat setempat diam membisu apabila kita nampak ada tanda-tanda penderaan terutama ke atas kanak-kanak. They are powerless.

Kanak-kanak dipercayai mangsa dera, Zubaidi Amir Qusyairi Malek
Tan Sri Shahrizat
Kenangan turun padang bertemu masyarakat
Jiwa prihatin Tan Sri Shahrizat sewaktu bergelar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat

Sambil memuatnaik gambar Amir yang termenung di jeriji tingkap rumah, Tan Sri Shahrizat menambah, “Setidaknya boleh maklum kepada mana-mana Jabatan Kebajikan Masyarakat atau polis. Atau pemimpin masyarakat. Saya tahu wanita Umno di peringkat akar umbi jika mereka dimaklumkan akan membantu setidaknya untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa. Terlalu menyayat hati membaca kes ini. Ya Allah Ya Rabb didoakan semoga roh kanak-kanak Zubaidi Amir disemadi di Jannatul Firdaus. Kanak-kanak yang suci.”

Mengikut kronologi kes, Amir telah dibesarkan oleh keluarga angkatnya selama enam tahun sebelum keluarga tersebut bersetuju untuk menyerahkan kanak-kanak bijak itu kepada ibu kandungnya sekitar Oktober tahun lalu. Namun hanya tiga bulan berada di samping ibu kandung, Amir ditemui meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa dera berdasarkan penemuan kesan lebam di tubuh badan kanak-kanak berkenaan.

Tan Sri Shahrizat di samping suami tercinta

Sementara itu, pada 17 Januari lepas Tan Sri Shahrizat turut berkongsi kegembiraannya sempena ulang tahun ke-20 penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beliau mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi Menteri pertama menerajui kementerian tersebut pada tahun 2001.

“Selamat menyambut 20 tahun penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Happy 20th Anniversary Ministry of Women, Family and Community Development. Saat yang amat bersejarah kerana dengan penubuhannya bermulalah perjuangan wanita dan keluarga secara tersusun dalam kerajaan. People change but legacies and memories remain.”

Bagaikan sudah sebati dengan kerja kebajikan, baru-baru ini Tan Sri Shahrizat dilihat turun padang membantu menghulurkan bantuan untuk Misi Bantuan Banjir di Pahang. Walau tidak lagi bergelar Menteri namun jiwa prihatin terhadap nasib masyarakat masih menjadi keutamaan.

Turun padang bantu agihan sumbangan misi banjir
Turun padang bantu agihan sumbangan misi banjir
Melayan karenah cucu tersayang
Taman mini di kediaman Tan Sri Shahrizat

Tan Sri Shahrizat mengumumkan persaraan dari dunia politik pada Jun 2018 dengan melepaskan semua jawatan dalam peringkat parti, cawangan, bahagian dan pusat selepas 39 tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan.

Selepas bersara dari arena politik, wanita berusia 66 tahun ini banyak menghabiskan masanya dengan beriadah bersama keluarga selain rajin menghias taman mini di perkarangan rumah. Beliau juga dilihat kerap berkongsi aktiviti bersama tiga cucu kesayangan.

Malah, kini Tan Sri Shahrizat juga makin rancak bercucuk tanam dan mempunyai pelbagai jenis tanaman segar. Antaranya tanaman terung, tomato, limau kasturi dan sebagainya. Itu belum lagi kira pokok-pokok bunga yang ada di kediaman beliau.

Tan Sri Shahrizat mendirikan rumah tangga bersama Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Ismail dan mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan iaitu Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh, Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh.

 

IKLAN
Share