Teruknya Karbunkel, Bonda Rozita Ibrahim Jalani Pembedahan Buang Bisul Sebesar Dua Tapak Tangan!

Allahuakbar, dah kena baru tahu sakitnya! Hanya mereka yang pernah kena bisul je tahu susahnya nak tidur bila karbunkel terbentuk dan berdenyut-denyut. Peritnya ibarat kalau tersentuh kain pun boleh meraung.

Itulah derita yang dialami usahawan Jamu Ratu Malaya (JRM) yang juga pengusaha pusat peranginan Rumah Hutan dan Rumah Sungai, Bonda Rozita Ibrahim. Beberapa hari lepas, penyakit bisul memaksa ibu kepada Dato’ Sri Aliff Syukri itu menyerah diri ke hospital.

Empat hari kena bisul bukan main sakitnya. Bisul sebesar bra cup C, muncung saiznya sebiji macam breast!

“Doktor klinik kata dia pun tak boleh buat sebab akar bisul sangat dalam, lebar dan banyak pendarahan. Sebab tu dirujuk ke hospital, memang tak sangka masuk OT kena bedah tadi.

Pertama kali saya masuk bilik OT, menitik air mata gak sebab takut tak pernah dibedah. Musim COVID-19 orang tak boleh temankan, itu syarat di KPJ. Kena test COVID-19, ECG, X-Ray, blood test

maklumlah bonda dah 50-an.

Sakitnya bisul ni tersentuh kena kain pun sakit apa lagi tersentuh tangan sendiri. Rasa ke hujung sum sum sakit. Masa kena bisul tu, malam-malam saya menangis sebab bisul berdenyut-denyut kumpul nanah.

Saya ingatkan bisul biasa-biasa je, jadi saya tepeklah herba sejuk supaya boleh tidur.

Lepas hari ketiga, saya picit dengan jarum pada mata bisul… tak sabar saya sebab susah nak jalan, bergerak pun senget, duduk pun senget. Menyusahkan. Masa saya picit tak berapa keluar lagi matanya. Lepas tu agaknya bentan atau jarum kurang bersih, mata bisul terus tak jadi keluar.

Tiba-tiba melengkung pulak dah. Masuk ke dalam matanya. Alamak, ni drama bersiri pulak bila dia masuk ke dalam! Sakitnya makin menjadi-jadilah malam tadi.

Saya ronda-ronda Rumah Sungai. Lepas tengok ular sawa pagi tadi makan ayam, terus gi klinik, Doc cakap bisul saya sangat besar dan kena bedah. Alhamdulillah saya dah selesai bedah, bermalam di Damansara Hospital saya malam ni,” cerita bonda.

Kelmarin, bonda telah pun selamat discaj daripada KPJ Damansara Specialist. Beliau turut berkongsi beberapa info tentang bisul yang turut digelar sebagai bisul ‘Raja Satong’ itu.

“Baru saya tau ni bukan bisul biasa. Dalam banyak-banyak komen tu, saya terbaca ia adalah bisul ‘Raja Satong’ iaitu sejenis bisul dengan berbelas-belas matanya dalam satu kelompok.

Bisul kalau tak dibedah, ia akan merebak dan makan daging lain. Bahaya sebab kumannya boleh merebak dan bawa maut bergantung pada antibodi seseorang.

Apa yang saya share ni mudah-mudahan sebagai info kepada anda yang tak pernah kena bisul. Saya tak sangka teruk sebab baru empat hari ia boleh begitu serius merebak,” jelas bonda sambil berkongsi petua ubat gigi untuk redakan sakit bisul.

SEJENIS KARBUNKEL

Gambar hiasan

Penyakit bisul selalu dianggap penyakit biasa sedangkan ia boleh mendatangkan komplikasi lebih serius termasuklah keracunan dalam darah.

Bakteria seperti Stafilokokus aureus (S. aureus) sentiasa mencari peluang untuk memasuki badan menerusi permukaan kulit yang luka dan merekah. Jika tidak ditangani dengan amalan kesihatan yang baik, dalam kes tertentu, bakteria daripada bisul berkemungkinan besar menjadi serius hingga menyebabkan keracunan dalam darah (septisemia) dan boleh mengancam nyawa.

Jika tidak dirawat dengan sewajarnya, septisemia disebabkan bakteria itu boleh masuk ke aliran dalam darah dan menjangkiti organ lain termasuklah tulang dan injap jantung.

Selain masalah lain seperti kerap berulang dan demam, saiz bisul yang lebih besar daripada lima sentimeter memerlukan rawatan segera oleh doktor di mana antibiotik intra-vena boleh diberikan.

Bukan setakat di punggung, tapi bisul sebenarnya boleh tumbuh di mana-mana saja termasuklah muka, namun ia lebih kerap berada di bahagian tubuh terutamanya pada kulit yang lebih mudah bergesel, mempunyai rambut dan kerap berpeluh.

Ia bermula dengan bisul nanah kecil atau boil mahupun dalam bentuk bisul kelompok nanah yang besar di bawah permukaan kulit dikenali dengan karbunkel.

Dalam kes lebih serius ialah membabitkan karbunkel yang terkumpul di tempat yang sensitif seperti pada tempat sulit kerana mengundang risiko berlakunya jangkitan kuman yang lebih agresif akibat kontaminasi daripada najis.

Gambar hiasan

Tanda awal bisul seperti tanda merah kecil lebih berpotensi untuk membesar dan disusuli demam panas terutama apabila karbunkel terbentuk. Biasanya tempoh pemulihan mereka yang mengalami karbunkel lebih perlahan dan nanah besar itu akan meninggalkan parut pada bahagian terjejas.

Biasanya lelaki remaja atau dewasa lebih mudah untuk mendapat bisul berbanding kanak-kanak mahupun wanita. Malah ada juga kumpulan berisiko lain terbabit untuk menghidapi penyakit berkenaan.

Risiko komplikasi dari bisul lebih tinggi kepada pesakit berimunisasi rendah seperti diabetes, individu obes, wanita mengandung dan pesakit kanser, individu kulit berjerawat dan mereka yang mengalami masalah berkaitan kulit ekzema atau mempunyai kulit yang terlampau berminyak dan banyak berjerawat.

IKLAN
Share